SHAH ALAM - Ketiadaan pertandingan merebut jawatan Top 5 iaitu presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden sempena Muktamar Tahunan Pas ke-69 yang dijadualkan berlangsung di Shah Alam, Selangor pada 20 hingga 22 Oktober dinilai tidak... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ketiadaan pertandingan merebut jawatan Top 5 iaitu presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden sempena Muktamar Tahunan Pas ke-69 yang dijadualkan berlangsung di Shah Alam, Selangor pada 20 hingga 22 Oktober dinilai tidak bagus untuk masa depan parti politik itu.

Ini kerana kata pemerhati politik bebas, Dr Zulqarnain Lukman, Pas kini berdepan dengan pelbagai cabaran walaupun penyokong parti itu berpuas hati dengan kepimpinan sedia ada.

Zulqarnain

"Trend pemusatan kuasa dan ketiadaan pertandingan untuk jawatan Top 5 ini tidak bagus untuk masa depan parti dalam keadaan Pas sekarang menghadapi pelbagai cabaran.

"Situasi sekarang menunjukkan Pas tidak mahu berubah dan doktrin ‘walaun’ atau ungkapan ‘kami dengar dan kami patuh’ memang wujud sehingga menyebabkan penyokong parti menjadi sangat taasub kepada seseorang pemimpin,” katanya kepada Sinar Premium.

Bagaimanapun Zulqarnain tidak melihat demokrasi dalam Pas semakin pudar biarpun tiada siapa berani mencabar jawatan Top 5 terutama Presiden Pas sejak lebih dua dekad lalu dan ia bukan satu perkara pelik kerana sudah menjadi amalan biasa dalam parti itu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Jumaat mengesahkan keputusan itu dibuat susulan sehingga kini hanya ada masing-masing satu pencalonan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden manakala satu daripada empat calon naib presiden menarik diri.

Keputusan juga menyaksikan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang kekal sebagai Presiden Pas untuk tahun ke-18 selepas beliau mengambil alih pucuk kepimpinan parti daripada Datuk Fadzil Mohd Noor yang meninggal dunia pada tahun 2002.

Tambah Zulqarnain, antara faktor lain jawatan utama Pas tidak dicabar ialah kerana kebanyakan pemimpin berhaluan kiri kini sudah diketepikan ‘secara senyap’ daripada parti.

Antaranya termasuk bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz; Ahli Majlis Syura Ulamak Pas, Nasrudin Hassan Tantawi dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Manakala bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pula sudah keluar parti dan menyertai UMNO.

Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain pula berpandangan, ketiadaan pertandingan utama dalam pemilihan menunjukkan pemimpin Pas lebih mengutamakan kestabilan berbanding perebutan kuasa dan kebebasan bertanding.

"Mungkin juga Pas melihat tiada keperluan untuk membuka persaingan memandangkan telah menang besar dalam pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini. Mereka perlu kekalkan kepimpinan sedia ada kerana terbukti diterima,” jelasnya.

HUSSAIN YUSRI

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, walaupun tiada pertandingan jawatan Top 5 namun ia bukan bermakna Pas ketandusan barisan kepimpinan di peringkat akar umbi.

Buktinya kata Hussain Yusri, Pas menjadi parti paling banyak memenangi kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, mengalahkan UMNO dan DAP.

"Ini menunjukkan bahawa tiada soal ketandusan pemimpin atau sebaliknya timbul sama sekali.

"Asas kejayaan Pas dalam Perikatan Nasional menunjukkan bahawa kepimpinan sedia ada telah menampilkan prestasi terbaik terutama dari sudut kerjasama kepelbagaian parti dan juga keterbukaan.

"Ketiadaan jawatan dipertandingkan bukan bermakna mematikan demokrasi dalam kepimpinan Pas tetapi realiti politik semasa telah menjadikan ahli dan penyokong di luar parti boleh menerima kepimpinan sedia ada,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca