HUBUNGAN diplomatik antara Arab Saudi dengan musuh ketatnya di Asia Barat iaitu Israel dikatakan hampir menjadi kenyataan. Sekiranya terjadi, maka Arab Saudi akan menjadi negara Arab kelima menjalin hubungan diplomatik dengan Israel selepas Mesir, Jordan, Bahrain, Maghribi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sekiranya itu berlaku kelak, tidak mustahil negara-negara Arab lain yang selama ini menganggap Israel sebagai seteru juga akan membina hubungan damai dengan rejim Yahudi itu. Malah negara-negara Islam di luar bumi Arab juga berkemungkinan menyemak semula persepsi mereka terhadap Israel.
Namun bila hubungan Riyadh-Tel Aviv akan terjalin masih menjadi tanda tanya. Hal ini kerana ada tiga hambatan pokok yang perlu diselesaikan terlebih dahulu iaitu soal Palestin, jaminan keselamatan dan pembangunan program tenaga nuklear yang dijanjikan Amerika Syarikat (AS) kepada Arab Saudi tetapi memerlukan persetujuan Israel.
Mengenai Palestin pendirian Arab Saudi dan negara-negara Arab yang lain adalah jelas.
Penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat, termasuk di Tebing Barat yang diduduki oleh Israel kekal menjadi tuntutan Riyadh kepada Tel Aviv dalam membina hubungan diplomatik itu.
Tebing Barat mesti diserahkan semula kepada pihak berkuasa Palestin dan dijadikan sebahagian daripada negara Palestin yang merdeka itu. Rejim Yahudi juga hendaklah merobohkan pos keselamatan yang dibina di wilayah tersebut dan menghentikan pembinaan penempatan baharu di Tebing Barat.
Sebagai 'gula-gula' kepada pihak berkuasa Palestin supaya tidak menentang upaya Riyadh hendak membina hubungan dengan Tel Aviv, Saudi berjanji untuk meneruskan bantuan kewangan kepada Palestin mulai tahun ini yang sebelum ini dihentikan pada 2021.
Status perwakilan Arab Saudi di Ramallah, pusat pemerintahan Palestin, juga naik taraf menjadi kedutaan. Sebagai balasan, Palestin tidak lagi menganggap tindakan Saudi mahu menjalin hubungan diplomatik itu sebagai satu pengkhianatan terhadap perjuangan untuk menegakkan sebuah negara Palestin.
Sebelum itu apabila Bahrain, UAEi membina hubungan diplomatik dengan Israel pada 2020 di bawah Perjanjian Abraham, pihak berkuasa Palestin menganggapnya perbuatan menikam perjuangan Palestin dari belakang.
Tetapi sudah tentu pendorong utama Arab Saudi untuk mengadakan perdamaian dengan Israel adalah kepentingan nasional negara Arab itu sendiri khususnya berkaitan keselamatan dan membangunkan tenaga nuklear.
Kesediaan AS untuk menyediakan payung pertahanan melindungi Saudi jika diserang dan menghulurkan bantuan persenjataan untuk memperkukuhkan keselamatan negara Arab itu serta janji Washington untuk membekalkan Riyadh dengan teknologi bagi membangunkan program tenaga nuklear yang diperlukannya tentulah tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja.
Bagaimanapun, dua janji AS kepada Arab Saudi masih belum dapat diterima sepenuhnya oleh Israel pada waktu ini. Begitu juga dengan penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat. Tetapi para pemerhati percaya jurang perbezaan Israel dan Arab Saudi mengenai tiga perkara pokok itu akan mengecil dipengaruhi oleh dua faktor.
Pertama, kepentingan strategik AS di Asia Barat yang ingin menjadikan Arab Saudi sebagai sekutu Washington adalah amat signifikan bagi kuasa besar dunia itu.
Kedua, faedah pasaran dan ekonomi yang bakal diperoleh oleh Israel setelah terjalin hubungan diplomatik dengan Arab Saudi juga penting untuk kemakmuran Tel Aviv itu sendiri.
Cuma sekarang rejim yang berkuasa di Tel Aviv kena meyakinkan golongan haluan kanan yang mendukung Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu supaya memberi lampu hijau untuk menjalin hubungan diplomatik tersebut.
Bukan mudah untuk Netanyahu berbuat demikian, tetapi mengambil kira kepentingan geopolitik dan geostrategik negara Yahudi itu sendiri, tidak ada apa yang mustahil dalam pertimbangan elit-elit politik yang berkuasa di Tel Aviv.
*Chamil Wariya ialah Pengarah VOA MEDIA NETWORK, penyedia kandungan faktual.
Klik di sini untuk terus membaca