SETELAH 66 tahun negara merdeka, kesyukuran wajar dipahatkan dalam kalangan penggiat sastera Melayu tanah air lantaran memiliki sejumlah khazanah untuk diteroka dan dibaca. Hal ini bukan sahaja dalam konteks perkembangan karya kreatif,... Klik di sini untuk terus membaca

SETELAH 66 tahun negara merdeka, kesyukuran wajar dipahatkan dalam kalangan penggiat sastera Melayu tanah air lantaran memiliki sejumlah khazanah untuk diteroka dan dibaca.

Hal ini bukan sahaja dalam konteks perkembangan karya kreatif, namun turut terlaksana dalam kewujudan teori, gagasan dan pendekatan yang dibangunkan oleh sarjana sastera tempatan.

Bagi pengkaji sastera Melayu, fenomena ini bukan perkara baharu kerana tanah air mempunyai deretan teori, gagasan dan pendekatan yang tersendiri sejak tahun 1990-an.

Situasi ini sangat menarik kerana kesedaran para sarjana untuk menggunakan kritikan sastera yang bernuansa Melayu dan Islami kerana teori Barat yang ada tidak cocok dengan karya yang dihasilkan pengarang tanah air.

Antara teori dan gagasan yang terkenal adalah Takmilah (Shafie Abu Bakar), Pengkaedahan Melayu (Hashim Awang), Teksdealisme (Mana Sikana), Persuratan Baru (Mohd. Affandi Hassan), SPB4L (Mohd. Yusof Hassan), Puitika Sastera Melayu (Muhammad Haji Salleh), Konseptual Kata Kunci (Mohamad Mokhtar Hassan), Rasa-Fenomenologi, dan Kritikan Fitrah (Sohaimi Abd. Aziz), dan Model Rasa Insaniah (Samsudin Othman).

Golongan sarjana ini berusaha sedaya upaya untuk membangunkan teori tempatan lantaran peri pentingnya sebuah pendekatan dan kritikan yang sejajar dengan agama dan budaya.

Maka hari ini teori dan pendekatan demikian telah diaplikasikan para mahasiswa di kampus untuk melakukan penyelidikan dan kritikan terhadap karya sastera Melayu.

Bermula daripada peringkat sarjana muda sehingga kepada sarjana dan akhirnya Doktor Falsafah, teori dan pendekatan tempatan telah dijadikan sandaran hujahan.

Kalungan tahniah diucapkan kepada penjana teori, pengkaji teori dan pencinta teori yang menyebabkan dunia kritikan sastera Melayu bertambah meriah dan sarat dengan perbincangan ilmiah.

Kritikan

Pelbagai tajuk yang dihidangkan pengkaji yang akhirnya diterbitkan dalam bentuk buku amatlah membantu perkembangan sastera Melayu. Hal ini dapat menyuburkan dunia kritikan sastera sekali gus memperkenalkan karya kreatif kepada masyarakat dengan lebih luas dan luwes.

Bagaimanapun kebimbangan turut dirasakan kerana hasil daripada kajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah itu tidak disebarluaskan dalam bentuk penerbitan buku.

Usaha perlu dipergiat secara tuntas terhadap hasil kajian daripada mahasiswa yang telah lulus di peringkat Doktor Falsafah yang menggunakan teori tempatan sebagai sandaran penganalisisan supaya dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat khususnya dalam kalangan pelajar di universiti.

Hal ini dapat diperhatikan semasa awal tahun 2000 yang mana sejumlah penerbitan buku teori diterbitkan hasil daripada kejayaan menyempurnakan kajian sastera di peringkat Doktor Falsafah.

Antara buku tersebut adalah Takmilah dalam Novel Melayu (Kamariah Kamarudin, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2011), Seksualiti dalam Novel Melayu (Mohd. Zariat Abdul Rani, Universiti Kebangsaan Malaysia, 2011), Unsur Alam dalam Puisi Melayu Moden (Zurinah Hassan, UKM, 2015), dan Kosmologi Zurinah Hassan (Muhamad Fadzil Yusoff, DBP, 2018).

Kebimbangan seterusnya adalah apabila penjana teori tempatan juga mulai renta, dan ada dalam kalangan mereka yang telah meninggal dunia.

Terkini, Profesor Emeritus Dr. Mohd. Yusof Hassan yang memperkenalkan teori SPB4L meninggal dunia pada penghujung Ogos lalu. Sumbangan dan jasa Allahyarham dalam dunia sastera Melayu amatlah besar, dan beliau telah meninggalkan sejumlah buku kajian seputar dunia kritikan yang wajar diteroka oleh generasi muda.

Sosoknya sebagai sarjana yang gigih dan aktif menulis sesungguhnya dapat dijadikan inspirasi untuk anak muda yang baharu berjinak-jinak untuk terjun dalam dunia akademik.

Prolifik

Pengalaman penjana teori dan gagasan tempatan tanah air ini sememangnya sangat istimewa. Begitu juga halnya dengan Dr. Hashim Awang yang pernah menetap puluhan tahun di Brunei Darussalam selepas usai baktinya di Universiti Malaya.

Beliau merupakan sosok sarjana yang memperkenalkan Pengkaedahan Melayu yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan mahasiswa kampus, dan sangat cekal menulis dalam dunia kritikan sastera Melayu. Hal yang sama terjadi kepada Dr. Shafie Abu Bakar, mantan pensyarah di UKM.

Beliau bukan hanya mencetuskan Takmilah yang kini digemari pelajar siswazah untuk digunakan dalam penyelidikan, bahkan merupakan sarjana yang aktif menulis karya kreatif.

Sajak-sajak yang dihasilkannya sejajar dengan nuansa Islami yang diperkenalkan dalam Takmilah.

Kecenderungan yang sama untuk Mohd. Affandi Hassan yang pernah berkhidmat di Kanada sebagai pegawai tadbir diplomatik (PTD) yang bukan hanya memperkenalkan Persuratan Baru bahkan aktif menulis novel dan cerpen.

Sebenarnya amat kecil jumlah sarjana di Malaysia yang boleh memakai dua busana, iaitu sebagai seorang ahli akademia dalam bidang sastera, dan turut berkecimpung sebagai pengarang kreatif yang prolifik berkarya.

Antara yang tersenarai adalah Datuk Dr Siti Zainon Ismail, Profesor Dr Abdul Halim Ali, Dr Mohamad Saleeh Rahamad, Profesor Madya Dr Norhayati Abd. Rahman, Profesor Madya Dr Mawar Safei, Dr Samsudin Othman, Dr Mohd. Faizal Musa@Faisal Tehrani, Dr Halis Azhan Mohd. Hanafiah, Dr Muhamad Fadzil Yusoff, Profesor Madya Dr Nik Rafidah Nik Muhammad Affendi, Profesor Madya Dr Roslina Abu Bakar, Profesor Madya Dr Norazimah Zakaria, Dr. Ghazali Din@Ihsan Noorzali dan Dr. Arif Mohamad.

Justeru, apakah yang perlu dibangunkan lagi untuk sastera dan sarjana setelah 66 tahun negara menempah merdeka?

Soalan ini hanya terjawab jika penerbitan buku sastera Melayu yang menggunakan teori dan gagasan tempatan dapat tersebar dengan luasnya merentas Nusantara dan seluruh pelosok benua.

Sebagaimana ungkapan Imam Malik: "Bukan ilmu yang seharusnya mendatangimu, tapi kamu yang seharusnya mendatangi ilmu”, ini wajar dijadikan renungan bersama.

*Profesor Madya Dr Kamariah Kamarudin ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Beliau juga Penyelidik Bersekutu di Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), UPM.

Klik di sini untuk terus membaca