SHAH ALAM - Pusat pemeriksaan sempadan di sepanjang perbatasan Malaysia- Thailand sedia ada sudah mencukupi untuk aktiviti perdagangan, pembangunan dan peningkatan hubungan serta interaksi antara individu.
Penganalisis Pertahanan dan Geostrategik, Muhammad Fuad Mat Noor berkata, sebarang cadangan menambah pusat berkenaan memerlukan pertimbangan dan penelitian wajar terutamanya dalam aspek keselamatan.
"Pada saya, pusat pemeriksaan sedia ada di negeri bersempadan dengan Thailand sudah mencukupi. Tiada keperluan kita tambah sebenarnya dan kalau ada perancangan ke arah itu, lebih baik tumpukan usaha tingkatan infrastruktur seperti lebarkan jalan raya dan sebagainya.
"Dalam hal ini, kerajaan kena teliti bukan hanya mengambil kira aspek perdagangan tetapi perlu lihat adakah dengan kewujudan lebih banyak pusat pemeriksaan sempadan ini dapat mengatasi isu penyeludupan, kemasukan pendatang asing tanpa izin dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Thailand mewujudkan lebih banyak pusat pemeriksaan di sepanjang perbatasan dengan Malaysia dalam usaha memacu perdagangan rentas sempadan, pembangunan dan peningkatan hubungan serta interaksi antara individu.
Cadangan dibuat semasa pertemuan antara Speaker Dewan Rakyat Thailand, Wan Muhamad Noor Matha dan Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel, baru-baru ini.
Dalam pertemuan itu, Jojie memaklumkan Wan Muhamad mengenai pelbagai projek di sepanjang sempadan yang dipersetujui seperti Jambatan Persahabatan Kedua antara Rantau Panjang-Sungei Kolok dan jajaran semula laluan Sadao dan Bukit Kayu Hitam.
Menjelaskan lebih lanjut, Muhammad Fuad berkata, kerajaan juga perlu mengambil kira kemampuan pasukan keselamatan negara.
Ujarnya, sudah pasti setiap pusat pemeriksaan diwujudkan memerlukan kawalan teliti.
"Kita bimbang terlampau banyak pusat pemeriksaan, kita tidak dapat kawal dengan baik. Jadi, kita perlu teliti pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Imigresen, Kastam dan agensi lain sama ada mempunyai tenaga mencukupi.
"Jangan kita terlampau tumpu sangat kepada ekonomi hingga abai keselamatan dan pada saya, Thailand bukanlah antara rakan dagang terbesar Malaysia. Jadi, inilah perkara yang perlu diteliti,” katanya.
Ketika ini terdapat sembilan pusat pemeriksaan sempadan Malaysia-Thailand termasuk dua pusat pemeriksaan feri dibuka iaitu Padang Besar (Perlis)-Songkhla, Wang Kelian (Perlis)-Wang Prachan (Satun), Bukit Kayu Hitam (Kedah)-Sadao (Songkhla), Durian Burung (Kedah)-Ban Prakop (Songkhla), Rantau Panjang (Kelantan)-Sungai Kolok (Narathiwat), Bukit Bunga (Kelantan)-Ban Bukheta (Narathiwat), Bukit Berapit-Betong (Perak-Yala), Pengkalan Kubor (Kelantan)-Tak Bai (Narathiwat) dan Jeti Kuah-Jeti Tammalung (Satun).
Klik di sini untuk terus membaca