SHAH ALAM - Muktamar Tahunan Pas ke-69 pada bulan depan yang menyaksikan tiada pertandingan bagi lima jawatan tertinggi berkemungkinan antara strategi parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, parti-parti politik mempunyai strategi jangka masa panjang dan pendek untuk menentukan hala tuju pentadbiran serta dominasi disasarkan.
"Ini adalah hak mutlak parti politik dalam menentukan hala tuju masing-masing selagi tidak bertentangan dengan perlembagaan kepartian serta undang-undang.
"Semua pihak perlu menghormati keputusan yang dibuat parti berkenaan,” katanya kepada Sinar Ahad.
Tambah Noor Nirwandy, parti dalam negara mempunyai tahap kesetiaan yang tinggi dan masih mengamalkan konsep kepartian bersifat hierarki termasuk juga Pas.
"Maka, jawatan-jawatan penting ini jarang dicabar secara terbuka walaupun negara mengamalkan sistem demokrasi, raja berperlembagaan dan Parlimen tetapi masih lagi terikat dengan pemikiran tersebut.
"Ia adalah budaya dan tradisi terutamanya parti gergasi, di mana mereka perlu menceburinya bermula peringkat bawahan seterusnya bergerak menjadi ketua cawangan dan bahagian sebelum menjadi presiden.
"Ini bukan perkara mengejutkan dan banyak terjadi dalam parti lain yang mengamalkan budaya tertutup apabila bercakap soal kepimpinan dan lazimnya, ia tidak akan dicabar,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca