PADA 25 September, kadar tukaran ringgit jatuh ke paras paling rendah berbanding dolar Amerika bagi sepanjang tahun ini. Ini bukan berita palsu atau fitnah. Ini adalah apa yang betul-betul berlaku dan diketahui satu dunia.
Untuk beli satu dolar Amerika, kita kena bayar RM4.70. Apabila pasaran mata wang tahun ini dibuka pada 2 Januari, kita hanya perlu bayar RM4.40.
Maksudnya, nilai duit kita sudah jatuh 30 sen bagi setiap AS$1 dalam tempoh lebih kurang sembilan bulan. Pada Jumaat ia pulih sikit kepada RM4.69.
Semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim mula jadi Perdana Menteri akhir November lalu, kadarnya adalah RM4.38. Perlu disebut, beliau juga adalah Menteri Kewangan yang bertanggungjawab terus ke atas hal ehwal mata wang.
Yang membimbangkan adalah perkara ini berlaku ketika penyokong beliau di dalam dan luar negara sedang memuji-muji kejayaan lawatan beliau ke Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat.
Mungkin benar banyak orang, terutama yang bersemuka dengan beliau buat kali pertama, kagum terhadap kepelbagaian bakat dan peranan beliau - daripada berpidato di PBB kepada berdialog dengan kapitalis, menjadi khatib dan mensyahadahkan saudara baru.
Kembali ke alam nyata, di bumi Malaysia, suka atau tidak, kita terpaksa terima hakikat bahawa apabila nilai duit kita jatuh pada saat-saat harga barangan dunia naik, kesannya kepada kita adalah berganda.
Contohnya, harga beras di pasaran dunia meningkat manakala nilai duit kita merosot. Apabila kita import beras, kita kena tanggung kesan harga dunia yang lebih mahal dan nilai duit kita yang rendah.
Dalam bahasa Inggeris, double whammy. Apakah jawapan kepada masalah berantai kita ini? Mula-mula sekali, kerajaan kena cari jalan menyekat kejatuhan ekonomi dan lepas itu menjana pertumbuhan yang lebih baik.
Alasan bahawa satu dunia sedang mengalami pertumbuhan ekonomi yang perlahan adalah sekadar penyedap rasa saja. Apatah lagi bagi kerajaan Madani yang bervisikan kemampanan, kesejahteraan, daya cipta dan keyakinan.
Ahli ekonomi selalu berkata, apabila nilai ringgit jatuh, eksport naik. Alasannya negara luar akan mengambil kesempatan daripada kadar tukaran yang rendah itu untuk membeli lebih banyak barang keluaran kita.
Malangnya, buat masa ini yang sebaliknya berlaku. Sudah beberapa bulan eksport negara jatuh.
Misalnya, pada bulan Ogos ia jatuh 18.6 peratus atas dasar tahun ke tahun kepada RM115.16 bilion iaitu lebih buruk daripada ramalan 16.3 peratus. Nasib baiklah import pun jatuh juga pada kadar 21.2 peratus kepada RM97.85 bilion.
Pasaran modal pun terus suram. Indeks komposit Bursa Malaysia pada hari Jumaat, 29 September adalah 1,424.17 mata berbanding 1,480.55 mata apabila perniagaan bermula tahun ini pada 2 Januari lalu.
Penjualan oleh pelabur asing melebihi pembelian. Ertinya lebih banyak modal keluar daripada masuk. Pada 11 September lalu, akhbar New Straits Times melaporkan yang pelabur asing telah membuat penjualan bersih sebanyak RM2.7 bilion sepanjang tahun ini.
Kesimpulannya, dalam suasana ekonomi yang tidak menentu ini, penggiat ekonomi memerlukan tindakan segera, tepat dan meyakinkan daripada kerajaan dan agensi-agensinya. Mereka memerlukan petunjuk arah.
Tetapi apabila kerajaan nampak teragak-agak atau lambat bertindak, mereka akan hilang keyakinan. Contoh yang paling mudah adalah kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang sudah berlarutan lebih dua bulan.
KPDN ini adalah kementerian utama dan strategik. Apabila kerajaan lambat bertindak, pelbagai soalan sampingan timbul yang tidak baik kepada keyakinan terhadap ekonomi negara kita.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Klik di sini untuk terus membaca