SEPULUH bulan selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 mungkin satu masa yang agak singkat untuk menilai prestasi sebenar beliau.
Kita harus akui Anwar Ibrahim mewarisi satu koalisi yang penuh bermasalah dan bebanan imej yang tercemar.
Walaupun kita tidak mengharapkan hasil luar biasa dalam tempoh sepuluh bulan ini, kita juga tidak boleh menolak hakikat bahawa sepuluh bulan ini adalah masa yang cukup sesuai untuk menilai gambaran masa depan negara.
Ini kerana Anwar bukan pemimpin yang baru lahir semalam atau secara tiba-tiba diangkat menjadi Perdana Menteri. Beliau adalah bakal Perdana Menteri Malaysia sejak 30 tahun lalu.
Suatu masa dahulu Anwar adalah satu figura yang penuh enigma dan membina aura tersendiri dalam politik negara. Dinaungi oleh Perdana Menteri keempat, Datuk Seri (sekarang Tun) Dr Mahathir Mohamad,
Anwar seumpama pelari 100 meter dalam politik UMNO. Beliau hanya mengambil masa sekitar sepuluh tahun untuk naik daripada Ketua Pemuda UMNO kepada Timbalan Presiden UMNO.
Gabungan Dr Mahathir dan Anwar menjadikan UMNO hampir sukar dihalang daripada memenangi satu demi satu Pilihan Raya Umum.
Ketika Dr Mahathir mendapat sokongan masyarakat ahli perniagaan, Melayu bandar dan bukan Melayu; Anwar menampung lompang kekurangan pengaruh Dr Mahathir dalam kalangan intelektual Melayu dan Islam.
Apabila terpaksa membuat pilihan antara timbalan presiden paling setia, Tun Ghafar Baba dengan Anwar - anak muda yang sedang meningkat naik; Dr Mahathir menyebelahi Anwar atas alasan beliau pemimpin masa depan UMNO.
Pada Februari 1997, saya antara ratusan orang yang berbaris untuk mendapatkan tandatangan Anwar untuk bukunya - The Asian Renaissance.
Beliau dengan mesra menyapa nama dan bertanya dari mana, menunjukkan sikap peramah dan mudah mesra di khalayak awam.
Mungkin ramai tidak menyedari bahawa istilah Asian Renaissance ini terlebih dahulu dipelopori oleh Dr Mahathir ketika merasmikan Kongres Pemimpin Muda Asia Timur pada 1994.
Dr Mahathir dilaporkan berkata, "Sudah tiba masanya untuk melakukan proses yang panjang dan hebat yang destinasi terakhirnya harus menjadi kebangkitan Asia yang bertahan lama dan komprehensif, yang diasaskan pada tradisi terbaik Asia dan Etika Asia.”
Anwar sedang diprojeksikan oleh Dr Mahathir sebagai pemimpin masa depan negara dan Asia. Dengan kata lain Asian Renaissance dalam konteks Malaysia banyak berkait rapat dengan ‘Anwar Renaissance’.
Namun sejarah yang dirancang terencat pada September 1998. Soal siapa salah atau benar sudah tidak relevan. Masa depan dan kebangkitan Anwar tersekat dalam sekelip mata.Kebangkitan Anwar
Dua puluh empat tahun selepas tersingkir, Anwar mendapat peluang kedua untuk bangkit mencipta semula ‘renaissancenya’.
Dalam bukunya Anwar menyatakan, "Asia perlu mengalami anjakan paradigma, kerana ia berusaha untuk bertindak balas terhadap tuntutan utilitarian masa depan tanpa meninggalkan identitinya: cabaran yang memerlukan pemulihan tradisi Asia.”
Anwar mendukung pandangan Ibnu Khaldun bahawa "...pengurangan cukai boleh membawa kepada peningkatan dalam jumlah hasil yang dikumpul.”
Bagaimanapun selepas sepuluh bulan, pentadbiran Anwar mula bercakap soal pengenalan sistem cukai yang lebih progresif, pengenalan cukai barangan mewah dan pengurangan subsidi yang akan membebankan rakyat.
Mungkin zaman telah berubah dan The Asian Renaissance sudah tidak begitu relevan, namun Anwar Renaissance adalah sangat penting bagi memastikan negara ini mampu bergerak ke hadapan.
Malangnya sepanjang sepuluh bulan ini ‘rennaisance’ Anwar belum jelas. Di sebalik projeksi imej politik demokrat, Anwar lebih menumpukan usaha menyerang musuh politiknya, berbanding bercakap soal polisi terutama tentang gagasan syumulnya – Ekonomi Madani.
Lebih membimbangkan, di sebalik masalah kos sara hidup yang menjadi kemarahan rakyat, jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup masih lagi kosong selama lebih dua bulan.
Sedikit sebanyak ia menimbulkan kecurigaan mengenai kesungguhan Perdana Menteri bertindak secara efektif.
Jika Anwar mahu mencipta kebangkitan semula, beliau harus kurang bercakap hal remeh tetapi lebih banyak bertindak menguruskan hal kerajaan dan rakyat.
* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
Klik di sini untuk terus membaca