MALAYSIA merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan. Amalan demokrasi terpelihara dengan pilihan raya digunakan untuk memilih ketua kerajaan. Walaupun begitu, ketua utama negara adalah Yang di-Pertuan Agong... Klik di sini untuk terus membaca

MALAYSIA merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan. Amalan demokrasi terpelihara dengan pilihan raya digunakan untuk memilih ketua kerajaan.

Walaupun begitu, ketua utama negara adalah Yang di-Pertuan Agong sebagaimana tertera di bawah Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan. Nyanyian lagu kebangsaan turut memberikan suluhan ke atas ‘takhta’ yang mencerminkan ‘kerahmatan dan kebahagiaan daripada kurniaan Tuhan’.

Lawatan Yang di-Pertuan Agong ke negeri Borneo di bawah Jelajah Kembara Borneo baru-baru ini serta negeri lain telah mewajahkan kedudukan raja sebagai tiang seri negara baik di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak. Pertemuan dengan rakyat jelata membawa kepada pengertian raja dan rakyat berpisah tiada.

Hubungan mesra menyebabkan ‘kerinduan’ rakyat negeri lain untuk turut bersua dengan Yang di-Pertuan Agong, sekali gus menunjukkan keabsahan ke atas institusi raja sebagai badan induk kepada kesemua cabang pentadbiran negara yakni eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Raja Berperlembagaan adalah ‘pelindung’ termasuk Perkara 3 (Ugama bagi Persekutuan); Perkara 152 (Bahasa kebangsaan); Perkara 153 (Perezapan kuota mengenai perkhidmatan, permit dsb., untuk orang Melayu); Perkara 39 (Kuasa memerintah Persekutuan) dan Bahagian III (Kewarganegaraan). Perteduhan di bawah kerahmatan Yang di-Pertuan Agong menjadikan Seri Paduka melangkaui mana-mana nilai kancah politik kepartian.

Oleh itu, dengan kedudukan sebagai ketua utama negara, sebarang unsur aib, hina, caci dan memalukan kedudukan raja-raja Melayu mesti dihentikan. Bingkai kepelbagaian masyarakat majmuk Malaysia turut bergantung kepada bucu-bucu ‘perlindungan’ oleh institusi raja-raja Melayu.

Telapak ‘terang kabut, teduh hujan’ seolah-olah memberi gambaran bagaimana keyakinan dan kepercayaan kepada raja-raja Melayu kekal sebagai keindukan wajah Malaysia.

Hatta, Majlis Raja-Raja adalah struktur ‘pengimbang’, ‘pendamai’, ‘merekayasa’ dan ‘kata putus’ ke atas apa sahaja usaha untuk mencabar kedaulatan, keamanan, keselamatan, kesejahteraan dan kebahagiaan penghuni negara ini.

Adat istiadat dan agama Islam adalah di bawah jagaan Majlis Raja-Raja sebagaimana Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama Islam di Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Pada masa yang sama, kedudukan ini juga menjamin keharmonian dengan agama-agama lain dipelihara agar kerangka keanekaragaman tidak digugat oleh anasir yang cuba mengelirukan apa sahaja yang sudah termaktub di bawah Perlembagaan.

Rukun Negara melengkapi kedudukan institusi raja dalam Perlembagaan. Prinsip kedua iaitu ‘Kesetiaan kepada raja dan negara’ menunjukkan ‘setia’ adalah asas dalam konteks tata panji kenegaraan. Jiwa kebangsaan prinsip ini memberi maksud dan makna ke atas persoalan kewarganegaraan tanah air.

Jika warganya jujur, ikhlas dan memahami nilai kesetiaan yang perlu diberikan sebagai petunjuk kepada ketaatan, maka ia juga menjadi lambang hubungan antara pemerintah dan rakyat.

Pendekatan intergenerasi perlu diambil supaya kedudukan raja sebagai pelindung difahami bukan sahaja oleh generasi lepas tetapi juga generasi hari ini. Walaupun persekitaran sudah berubah,

Perlembagaan dan Rukun Negara adalah dokumen keramat penyatuan warganya termasuk memastikan masing-masing bertanggungjawab ke atas institusi yang diiktiraf dalam dokumen ini.

Raja-raja Melayu bukan memainkan peranan sekadar secara simbolik. Teladan dan pekerti serta jasa yang dibawa sepanjang pemerintahan menunjukkan bahawa cabang pentadbiran negara baik eksekutif, perundangan atau kehakiman akan tempang tanpa perakuan ke atas kewibawaan raja-raja.

Sudah tiba masanya kedudukan raja sebagai pelindung yang melangkaui kedudukan politik diberikan keutamaan. Komuniti alam realiti dan alam maya juga mesti berwaspada untuk tidak mengukur pemahaman mengikut keselesaan tetapi kembali kepada kerangka Perlembagaan dan Rukun Negara sebagai rujukan.

Payung kenegaraan adalah raja Melayu; sanjungan dan penghargaan wajar dipertahankan demi keutuhan tadbir urus negara.

*Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca