KEHIDUPAN sukar yang dilalui ketika membesar di Felda Chemomoi menjadi antara pendorong untuk calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Kasim Samat kembali berbakti di tanah kelahirannya.
Setelah kali kedua menjadi calon wakil rakyat Pelangai, beliau yang mesra dengan panggilan Cikgu Kasim menganggap ia sebagai peluang terbaik untuk menjadi pemimpin setempat dan menginfakkan diri kepada masyarakat.
Bekas guru Biologi dan jurulatih silat ini juga menyifatkan, meskipun peluang yang ada sekadar menjadi wakil rakyat pembangkang, suara rakyat boleh didengari dengan lebih lantang.
Ikuti wawancara eksklusif bersama Wartawan Sinar Ahad, Rosilawati Rosedi, Norawazni Yusof dan Nurhidayah Hairom bersama Cikgu Kasim yang berkongsi pandangan dan hala tuju sebagai calon wakil rakyat di DUN Pelangai.
SINAR AHAD: Ini kali kedua cikgu dicalonkan selepas bertanding di DUN sama pada PRU15. Apakah cikgu yakin kali ini cikgu mampu menarik perhatian pengundi?
Alhamdulillah kempen yang berjalan setakat ini sangat positif. Rakyat di DUN Pelangai telah menilai.
Pada PRU15, saya rasa aura penyandang DUN Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun berikan kelebihan buat BN... tapi dalam PRK kali ini, rakyat telah menilai contohnya kenaikan harga barang. Semua rakyat terkesan, terlibat... ia bukan pembohongan.
Ketika PRU15 lepas, saya baru diperkenalkan oleh PN. Jadi saya yakin PRK kali ini rakyat telah kenali saya dan akan memilih PN dengan membandingkan janji-janji yang belum tertunai kerana selepas 10 bulan mereka memerintah, rakyat makin susah. Saya yakin rakyat akan beralih sokongan terhadap PN.
SINAR HARIAN: Apakah ‘gelombang hijau’ akan ‘berombak besar’ di Pelangai kali ini? Apakah faktor pengundi Melayu mencecah 74 peratus merupakan peluang baik untuk PN? Komen cikgu?
Gelombang hijau ini bukan gelombang Pas tapi gelombang rakyat menyatakan ketidakpuasan hati mereka dengan kos sara hidup yang tinggi, semuanya naik.
Selain itu, ramai rakyat khususnya di DUN Pelangai menyatakan kekesalan mereka selepas BN yang dipilih mereka telah bergabung dengan DAP.
Mereka akan beralih atau memberi signal (tanda) kepada kerajaan yang ada sekarang ini bahawa rakyat sangat terkesan janji-janji 10 bulan belum dapat dilihat, tapi kesusahan yang dirasai sekarang.
SINAR HARIAN: PN dilihat masih bermain naratif lapuk dengan kenyataan-kenyataan seperti BN tak layak dapat mandat pengundi pada PRK DUN Pelangai kerana pakatan PH-BN dilihat gagal membela nasib rakyat, selain hanya pandai menabur janji kosong yang tak pernah dikotakan. Kalau PN menang, apakah semua janji kepada rakyat mampu dikotakan?
Insya-ALLAH kita boleh tunaikan janji kepada pengundi, kita boleh lihat negeri-negeri lain yang diperintah oleh PN.
Kalau la betul PN tidak dapat menjalankan amanahnya, mana mungkin keseluruhan atau saya boleh kata rakyat kini memberikan kepercayaan kepada PN.
SINAR HARIAN: Kebanyakan rakyat sedang susah sekarang. Isu harga barang naik, termasuk beras, bawang dan terbaru dikatakan harga roti juga bakal naik. Sebagai pemimpin, apa strategi cikgu untuk menenteramkan rakyat dan memastikan nasib mereka terbela?
Pertamanya berikan peluang kepada kita untuk mentadbir DUN ini dan bandingkan dengan negeri-negeri lain.
Sekiranya kami menang, PN dapat kerusi ke-18, tapi masih tidak dapat memerintah Pahang, tapi ia adalah satu tanda kepada kerajaan sekarang ini bahawa rakyat tidak berpuas hati dengan apa mereka (kerajaan) buat selepas diberikan mandat.
SINAR HARIAN: Undi anak muda sangat penting. Apa pendekatan yang cikgu lakukan untuk mendekati golongan ini? Apakah cikgu aktif di media sosial?
Komitmen pertama untuk jadikan golongan muda DUN Pelangai celik al-Quran.
Saya juga nak jadikan DUN Pelangai ini dikenali sebagai satu mercu tanda dengan silat, bila sebut Pelangai, orang kenal kerana silat dan golongan muda meminati seni bela diri ini.
Selain itu, anak muda juga mungkin lebih suka dengan alam sekitar... kalau di Pelangai ada dua lagi tempat untuk dibangunkan sebagai tarikan pelancongan.
Pertamanya di Bukit Kemasul, orang luar dah teroka... kita dapat lihat karpet awan dan pemandangannya boleh meliputi semua Felda.
Seterusnya kita ada air terjun di Hulu Manchis dekat Shafie, boleh dibangunkan lagi, ada kolam untuk anak-anak, chalet, suasana yang kita panggil eko-pelancongan.
Betul, golongan muda ini lebih kepada media sosial. Maklumat di hujung jadi. Jadi tidak boleh nak tipu, bohong dengan kaedah lama.
Kita kena salurkan perkara-perkara yang mereka tidak puas hati, dengan menggunakan media baharu ini.
Saya sendiri aktif di semua platform sosial. Ini juga dah jadi hobi, hidup hari-hari dengan maklumat, salurkan maklumat dan perlukan pandangan orang muda guna media baharu ini.
Secara peribadi, cara terbaik untuk berkomunikasi dengan golongan muda, platform TikTok jadi pilihan, kalau golongan dewasa mereka lebih suka gunakan Facebook..dan macam saya semua guna, buat sendiri, dan ia pengalaman baharu selepas bersara, seronok dapat maklumat. Semuanya saya kendalikan sendiri.
SINAR HARIAN: Jika nanti terpilih dan menang sebagai ADUN Pelangai, apa perkara pertama yang cikgu ingin lakukan atau ubah untuk penduduk kawasan ini?
Apabila saya menang nanti, Insya-ALLAH saya akan cuba laksanakan lima komitmen yang telah dijanjikan semasa PRK ini.
Pertama saya nak jadikan DUN Pelangai celik al-Quran, kembangkan seni budaya, carikan dana sebanyak mungkin khusus untuk golongan muda, remaja dan rakyat yang susah serta sentiasa bersama rakyat dalam kata lain, saya telah infakkan diri untuk mereka (pengundi), lebih mudah didekati selaras dengan tagline, ‘Mudoh Bawa Bincang’.
Jadi apa-apa permasalahan yang berlaku, kita gunakan cara bermuafakat, saya yakin ia lebih berkat dan semua pengundi di sini akan beroleh kemakmuran.
Jika saya menang nanti kalau tuan-puan percayakan, saya akan bawakan suara rakyat di Pelangai di DUN..biarpun kami di pihak pembangkang, tidak dapat peruntukan tapi saya akan pastikan kerajaan yang ada sentiasa cakna dengan keluhan rakyat di sini DUN Pelangai.
Saya akan bekerjasama dengan semua agensi kerajaan yang ada dan menyalurkan bantuan yang sepatutnya rakyat dapat kerana suara sebagai pembangkang lebih didengari di sidang DUN berbanding suara mereka yang memerintah ketika ini.
SINAR HARIAN: Apa yang membuatkan cikgu nak jadi pemimpin dan apa yang cikgu pegang selama ni?
Dua perkara yang menyebabkan saya bersemangat untuk menjadi pemimpin di DUN Pelangai ini.
Ayah saya merupakan pengasas menubuhkan Pas Cawangan Felda Chemomoi dan ayah saya menerima tekanan yang tinggi ketika itu.
Jadi ayah pesan, nak jadi pemimpin inilah asam garam. Ayah saya teruskan perjuangan... sehingga hari ini tak pernah gagal menghantar laporan atau tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan.
Keduanya, kesusahan hidup kami dahulu dengan keadaan serba kekurangan. Pergi sekolah naik basikal 12 kilometer selama dua tahun naik lori buah sawit pergi sekolah.
Saya masih terngiang-ngiang ditelinga saya ketika guru saya cakap ketika itu.
Anak peneroka ingat, kesusahan kamu bukan menjadikan kamu tidak boleh belajar. Kesusahan untuk diatasi bukan untuk ditangisi.
Jadi orang yang berjaya, bila dah berjaya, balik ke kampung ingatkan adik-adik, orang kampung, rakan-rakan, supaya belajar bersungguh-sungguh. Kalau boleh, bila dah berjaya, jadi pemimpin’.
Jadi peluang yang ada sekarang ni, seperti yang disebut guru-guru dan ayah, maka saya ambil peluang ini untuk infakkan diri saya untuk memimpin setempat. Insya-ALLAH.
Klik di sini untuk terus membaca