TIDAK ramai mengetahui calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam sebenarnya seorang pemain muzik dan mempunyai kumpulan bersama ahli keluarganya.
Berperanan sebagai pemain gitar, jiwa seni yang dimiliki beliau membuatkan anak Felda Chemomoi ini mudah didekati golongan muda.
Namun, dunia seni tidak menjadikan anak tempatan ini leka dengan duniawi kerana beliau juga begitu dekat dengan al-Quran sejak zaman kanak-kanak lagi kerana pernah bertanding dalam tilawah al-Quran peringkat daerah.
Ikuti wawancara eksklusif Wartawan Sinar Ahad, Nurhidayah Hairom bersama Amizar yang berkongsi sudut pandang dalam pelbagai aspek dan hala tuju sebagai calon wakil rakyat di DUN Pelangai.
SINAR AHAD: Bagaimana dengan mood pengundi sepanjang kempen Datuk setakat ini?
AMIZAR: Semakin menarik dan saya juga semakin bersemangat. Selepas pertemuan dengan pengundi-pengundi ini, mereka menunjukkan reaksi yang positif, menerima dan senang dengan kehadiran saya.
SINAR HARIAN: Datuk pernah bertanding di DUN Ketari pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) namun tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti tipis 120 undi. Apa yang Datuk belajar tentang kekalahan sebelum ini? Kebangkitan baharu yang bagaimana Datuk bakal bawa kali ini?
Itu sejarah saya pada PRU lepas dan apa yang saya nampak pada hari ini, pemimpin negara dan pemimpin parti memberikan suntikan semangat.
Juga kepada UMNO Bentong sendiri. Mereka (UMNO Bentong) ramai calon tetapi mengambil satu mandat suara yang mengatakan bahawa kita memerlukan seseorang mewakili mereka.
Jadi ini menjadikan semangat saya kembali bangkit untuk menjadi wakil daripada enam, lima dan empat (calon lain).
Ini bermaksud UMNO mempunyai pemimpin yang ramai dan saya sedia untuk sekali lagi menjadi calon mewakili BN.
Selain ahli keluarga, keyakinan kepimpinan parti sendiri yang menyebabkan semangat kebangkitan dan roh untuk saya bergerak jauh lagi.
SINAR HARIAN: Secara tradisinya, Pelangai dilihat memang kubu kuat UMNO namun kekuatan gelombang hijau juga tidak boleh dinafikan. Apatah lagi pengundi Melayu Pelangai mencecah 74.19 peratus. Komen Datuk?
Sebenarnya gelombang hijau atau gelombang biru adalah persepsi. Sebab kita dalam politik ini kerana persepsi. Untuk memenangi hati seseorang itu ialah persepsi.
Sebab itu saya bercakap, kita ada dua, persepsi dan prestasi. Saya tekankan prestasi supaya rakyat faham kita nak hidup dalam kerajaan bukan hanya persepsi sahaja. Kita mesti hidup dengan prestasi. Jadi, untuk menjadi kerajaan yang bagus, prestasi kena bagus dan cemerlang.
Menteri Besar (MB) pun dah sebut kita (Pahang) berjaya mengurangkan hutang daripada RM3 bilion menjadi RM990 juta. Ini satu perkara yang sukar dibuat negeri-negeri lain. Tapi Pahang mampu buat. Ini satu kecemerlangan.
Maksudnya kalau kita nak sekat gelombang, itu jadi salah satu objektif dan kita mesti berperang dan mesti nak menang.
Pada kami, kita perlu menyekat gelombang ini kerana parti lawan berpolitik dengan cara yang kita rasa tidak berapa harmoni jika diteruskan.
SINAR HARIAN: Pelangai mempunyai tiga kawasan Felda iaitu Chemomoi, Kemasul dan Kemahal. Betulkah dakwaan mengatakan Felda bukan lagi kubu kuat BN dan sokongan peneroka sudah beralih kepada Perikatan Nasional (PN)?
Orang Felda bijak memilih. Di Pahang, Feldanya tidak sama macam Felda di negeri lain. Allahyarham Tun Abdul Razak mengilhamkan maka tercetuslah Felda.
Cuba kita semak bersama, negeri mana yang buka peneroka Felda kepada negeri-negeri lain? Contoh di Pahang, kita buka kepada orang Melaka, Kelantan dan Kedah. Tapi negeri-negeri lain, kalau Kedah, mereka tidak beri orang Pahang masuk (Felda).
Jadi, ini keunikan Pahang. Sultan kita dan pemimpin-pemimpin dahulu memberi keistimewaan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk berkampung di Pahang.
Di Felda Pelangai ni pengundinya 49.7 peratus, lebih kurang 50 peratus. Jadi (dakwaan BN hilang sokongan) itu cara nak brainwash peneroka-peneroka Felda dengan naratif merekalah.
Pada saya senang, orang Felda memerlukan kerajaan negeri dan orang Felda perlu juga kerajaan pusat supaya banyak perkara boleh diselesaikan untuk anak muda dan peneroka.
Ini perkara yang saya nak selesaikan. Tapi jika Pelangai ini jatuh ke tangan pembangkang, bermaksud segalanya terbantut.
SINAR HARIAN: Kebanyakan rakyat sedang susah sekarang. Isu harga barang termasuk beras, bawang dan terbaharu harga roti juga naik. Sebagai pemimpin, apa strategi Datuk untuk menenteramkan rakyat dan memastikan nasib mereka terbela?
Mengenai harga barang sangat subjektif. Memang ada kenaikan, kena faham. Selepas Covid-19, apabila permintaan banyak produk tiada, memang harga barang akan naik.
Kita sedang mempromosikan di Pahang untuk membangunkan usahawan-usahawan tani. MB pun dah umum kita tubuhkan Lembaga Durian negeri.
Kita juga bersama usahawan muda membangunkan penternakan dan pertanian. Ini yang saya nampak. Perkara begini memang berlaku seluruh negara dan satu dunia.
Namun saya yakin kerajaan negeri ada penyelesaiannya dengan menitik beratkan apa produk-produk khas untuk rakyat.
SINAR HARIAN: Datuk juga ada mengatakan salah satu manifesto ialah fokus kepada anak muda. Apa yang Datuk mahu laksanakan?
Pada saya untuk anak muda, kita amalkan 3P bermaksud kita mesti adakan penempatan, pendapatan dan pekerjaan.
Jadi tiga elemen ini saya selalu sebut untuk anak muda. Anak muda yang penting mereka ada duit, dia dah lega. Tidak ada masalah. Itu yang kita perlu tekankan untuk generasi muda hari ini.
SINAR HARIAN: Datuk yakin bakal menerima sokongan 20 peratus pengundi Cina di Pelangai?
Setakat ini Alhamdulillah saya jumpa pengundi Cina one to one di kawasan mereka. Sambutan menggalakkan dan mereka dah mengenali dan ingat legasi daripada Long Nan (Datuk Seri Adnan Yaakob) dan legasi daripada Allahyarham Datuk Johari Harun dan mereka fikir saya perlu teruskan.
Ini yang menjadikan saya bertambah semangat. Maksudnya pengundi Cina ini sedia menerima kehadiran saya (sebagai wakil rakyat) mewakili BN.
SINAR HARIAN: Jika menang sebagai ADUN Pelangai, apa perkara pertama yang Datuk ingin lakukan untuk penduduk kawasan ini?
Kalau saya dipilih oleh rakyat, saya nak kembalikan beberapa perkara asas, logistik kita perlu dilihat.
Tapi perkara yang betul-betul saya nak buat adalah saya nak jadikan satu wow factor.Ini impian saya. Saya nak jadikan Simpang Pelangai yang menjadi asas pintu masuk kepada semua negeri sebagai ‘Pelangai Gateaway’ atau ‘Pahang Gateaway’ contohnya.
Ia nampak besar. Walaupun sederhana tapi sangat praktikal. Jadi ini visi yang saya nampak, why not? Bila ada nanti, nampak benda baharu yang kita nak buat.
SINAR HARIAN: Boleh Datuk kongsikan untold story tentang diri Datuk yang mungkin ramai tidak tahu?
Saya sebenarnya seorang ahli muzik. Dulu pernah main rumah orang kahwin. Keluarga saya juga bermain muzik. Tapi saya dididik dengan agama, saya mengaji di masjid seawal umur enam tahun.
Saya dilatih oleh Qariah Negeri Pahang, Ustazah Mak Teh. Saya juga pernah menjadi wakil daerah untuk pertandingan tilawah al-Quran.
Jadi walaupun ada darah seni, tapi saya masih tetap dengan al-Quran, ajaran agama kita, jadi seimbang. Ini yang mungkin orang tidak tahu. Amizar ini macam mana? Itulah diri saya. Muzik dan al-Quran adalah jiwa saya.
Klik di sini untuk terus membaca