SHAH ALAM - Pakar ekonomi menjelaskan, kejatuhan nilai ringgit ke paras melepasi RM4.70 pada ketika ini adalah disebabkan faktor global, antaranya pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS).
Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pergerakan ringgit juga boleh dipengaruhi oleh keputusan pelabur-pelabur asing terhadap pegangan ekuiti mereka.
"Apabila pelabur-pelabur asing menjual pelaburan mereka dalam ekuiti, pegangan bon atau hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), ini akan menyebabkan nilai ringgit lebih mudah terjejas,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurutnya, situasi tersebut adalah serius, malah lebih membimbangkan apabila terdapat ramalan ringgit akan terus lemah berbanding dolar AS pada minggu depan.
Oleh itu, katanya, perkara penting yang perlu dilakukan sekarang ialah langkah intervensi kerajaan dalam memastikan kebergantungan pergerakan ringgit tidak mudah dipengaruhi oleh faktor luar terutama AS.
"Untuk jangka pendek ini tidak banyak yang kita boleh lakukan kecuali mengurangkan kebergantungan barangan import dan memperkasakan pengeluaran domestik supaya boleh dapat mengambil sedikit manfaat daripada kelemahan ringgit ini.
"Apabila ringgit lemah, eksport kita lebih murah. Pembeli luar akan lebih cenderung untuk membeli barangan buatan Malaysia kerana lebih murah, sekali gus meningkatkan eksport negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Ahmed Razman berkata, apabila peniaga tempatan mengeksport barangan ke luar negara, mereka sepatutnya membawa balik wang dolar AS hasil jualan tersebut ke dalam negara ini.
Ujarnya, wang tersebut akan digunakan semula untuk membeli komponen atau barangan import bagi jualan seterusnya.
"Namun apa yang berlaku, disebabkan mereka menjual dalam dolar AS dan nilai wang itu makin lama makin meningkat, mereka rasa adalah lebih baik simpan sahaja wang tersebut.
"Apabila peniaga memilih untuk tidak menukarkan wang dolar AS kepada ringgit, ia menyebabkan nilai mata wang negara kita terus melemah,” jelasnya.
Selain itu, katanya, faktor seperti perkhidmatan pemindahan wang tidak cekap dan kebergantungan kepada pekerja warga asing juga menyebabkan nilai ringgit terjejas.
"Lagi banyak kita bergantung kepada warga asing, lagi banyak wang akan keluar setiap bulan. Ini kerana apabila mereka bekerja di negara ini, mereka akan membawa duit itu ke negara mereka.
Itu akan melemahkan lagi nilai ringgit.
"Apabila ringgit makin melemah, ia akan menyebabkan barangan yang diimport terutama makanan lebih mahal. Itulah kebimbangan sebenar,” ujar beliau.
FAKTOR BERLAKUNYA KEJATUHAN RINGGIT
1. Ekonomi
Pertumbuhan ekonomi lemah, defisit perdagangan besar akan menyebabkan pelabur kurang berminat untuk melabur, seterusnya kekurangan aliran wang masuk berlaku.
2. Politik
Ketidakstabilan politik dalam sesebuah negara yang berlarutan menyebabkan pelabur tidak yakin dan menarik balik pelaburan mereka.
3. Global
Ekonomi global lemah atau ketidakstabilan dalam pasaran kewangan global boleh memberi kesan kepada nilai mata wang Malaysia.
4. Kadar faedah
Semakin berkurang kadar tingkat faedah, daya tarikan pelabur akan menurun kerana mereka akan memilih untuk melabur dalam mata wang dengan tingkat faedah lebih tinggi seperti dolar AS.
5. Konflik antarabangsa
Konflik perdagangan antara negara besar akan mencetuskan ketidakstabilan dalam pasaran kewangan global dan tarif perdagangan yang dikenakan atau ancaman pengecilan pasaran eksport negara turut memberi kesan kepada nilai ringgit.
6. Spekulasi pasaran
Spekulasi meluas mengenai kejatuhan ringgit atau kelemahan ekonomi Malaysia boleh menyebabkan penurunan nilai mata wang tersebut berbanding dolar AS serta memberi kesan besar terhadap kestabilan mata wang dan mencipta tekanan jualan yang lebih tinggi.
Klik di sini untuk terus membaca