SHAH ALAM - Golongan berpendapatan sederhana (M40) mungkin terpaksa mengubah perancangan kewangan mereka sekiranya sebahagian daripada mereka tidak menerima bahan api bersubsidi. Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam, Fakulti Ekonomi dan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Golongan berpendapatan sederhana (M40) mungkin terpaksa mengubah perancangan kewangan mereka sekiranya sebahagian daripada mereka tidak menerima bahan api bersubsidi.

Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, selain simpanan menyusut, kumpulan berkenaan akan berhadapan kemerosotan kuasa berbelanja.

"Kumpulan M40 terpaksa menambah peruntukan perbelanjaan minyak kenderaan menyebabkan simpanan bulanan berkurangan. Saya juga menjangkakan mereka juga akan terpaksa melakukan kerja sampingan bagi menambah pendapatan.

"Bagaimanapun, perkara yang lebih merisaukan ialah sekiranya mereka tidak dapat mengurus kewangan dengan baik akibat kenaikan kos bahan api ini sehingga terjebak dengan skim pinjaman along,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Kenanga Research sebelum ini menjangkakan sebahagian kumpulan M40 mungkin tidak akan menerima bahan api bersubsidi selepas pengenalan sistem subsidi bersasar.

Firma penyelidikan itu berkata, subsidi bahan api yang disasarkan semasa pembentangan Bajet 2024 di Parlimen pada 13 Oktober ini dijangka akan berkuat kuasa bermula 1 Januari 2024.

Sementara itu, Mohd Faisol berkata, kerajaan perlu mengambil perhatian terhadap isu berkenaan kerana sebahagian golongan M40 yang tidak menerima subsidi itu mungkin bekerja jauh dari lokasi rumah.

"Keadaan itu akan menyebabkan mereka berasa terbeban lebih-lebih lagi pekerjaan yang memerlukan pergerakan dari satu tempat ke tempat lain,” katanya.

Beliau bagaimanapun menggesa kerajaan merangka satu mekanisme agar subsidi bahan api diberikan kepada golongan yang benar-benar layak.

Katanya, sebanyak 35 peratus daripada RM77.3 bilion telah digunakan pada tahun 2022 untuk subsidi bahan api yang dimanfaatkan kumpulan berpendapatan tinggi (T20).

"Sepatutnya kerajaan perlu mewujudkan satu indikator yang mampu mencegah dan membanteras kumpulan ini (T20) daripada menggunakan minyak bahan api bersubsidi,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca