SHAH ALAM - Peluang Barisan Nasional (BN) untuk menang agak tipis sekiranya mencalonkan kembali nama Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kemaman jika diadakan semula. Penganalisis... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Peluang Barisan Nasional (BN) untuk menang agak tipis sekiranya mencalonkan kembali nama Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kemaman jika diadakan semula.

Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, ia bersandarkan kepada kekuatan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum ini yang mana menyaksikan Terengganu telah disapu bersih oleh gabungan tersebut.

"Cuma bagi saya mungkin ia akan mengurangkan majoriti dimenangi oleh PN dan kita lihat momentum itu dibawa daripada Pelangai sendiri kerana apabila turun ke Pelangai, saya melihat kekuatan ataupun sokongan kepada UMNO di situ agak kuat.

"Momentum tersebut kalau dibawa ke Kemaman, sekurang-kurangnya akan mengurangkan majoriti yang dimenangi oleh Pas dan PN,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sebelum ini, Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili PN pada PRU15 lalu.

Pada Sabtu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui parti itu berada dalam kedudukan underdog untuk merampas kerusi Kemaman daripada Pas sekiranya berlaku PRK.

Bagaimanapun, beliau optimis BN mampu merampas kerusi tersebut jika bekerja keras.

Dalam pada itu ujar Mohammad Tawfik, Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dilihat lebih sesuai diangkat sebagai calon PRK Kemaman kerana mempunyai potensi lebih besar berbanding Ahmad.

"Seorang calon itu mestilah ada latar pendidikan yang tinggi. Kalau nak bandingkan dengan Ahmad Shabery, beliau merupakan bekas pensyarah dan itu lebih ke hadapan berbanding Ahmad.

"Ahmad ini mulut dia agak celupar tetapi Ahmad Shabery pula orang yang tenang.

"Bagi saya beliau (Ahmad Shabery) juga pernah menjawat jawatan menteri di peringkat persekutuan. Jadi ketiga-tiga ciri itu bagi saya sudah memadai untuk diletakkan sebagai calon,” tambah beliau.

Klik di sini untuk terus membaca