BALING - Mangsa banjir Iboi yang dikategorikan berada dalam kawasan zon kuning memohon kerajaan Persekutuan mempercepatkan projek pembinaan rumah fasa kedua selepas kediaman mereka dikatakan tidak lagi selamat untuk diduduki.
Mahmud Mat Rejab, 78, berkata, selagi rumah baharu yang dirancang kerajaan di Kampung Bok Bak belum siap, dia bersama isteri, Halipah Ahmad, 71, terpaksa tinggal di rumah pusaka biarpun sering dinaiki air disebabkan kedudukannya tidak jauh dari tebing sungai.
Menurutnya, walaupun trauma terbayang kejadian kepala air apabila rumahnya dinaiki air mencecah empat meter tahun lalu, dia sentiasa berdoa dan bertawakal agar terhindar daripada perkara tidak diingini.
Ishak Saad, 57, turut mengharapkan agar kerajaan memberi tumpuan kepada pembinaan rumah fasa kedua dengan segera berikutan hakisan sungai yang semakin teruk.
Ujarnya, selain rumahnya dikategorikan berisiko berada dalam zon kuning, kerja-kerja di dusun yang diusahakan termasuk kebun getah di Lata Celak juga tidak dapat diteruskan berikutan terputus hubungan setelah titi runtuh akibat arus deras.
Menurut seorang ibu tunggal, Rahmah Din, 58, walaupun telah dikategorikan tidak selamat kerana tebing sungai makin terhakis, namun dia terpaksa kembali ke rumah asal kerana tidak mampu membayar sewa.
"Takut setiap kali hujan, bimbang air naik tetapi duduk juga selagi tak boleh pindah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Iboi, Nor Mohamad Che Hussain berkata, kerajaan perlu mempercepatkan pembinaan rumah fasa kedua kerana keadaan mangsa yang trauma setiap kali banjir.
"Saya harap perhatian serius diberikan kepada projek ini agar penduduk dapat berpindah ke tempat selamat,” katanya.
Menurut Nor Mohamad lagi, sistem perparitan dan keadaan sungai yang cetek kemungkinan menyebabkan lebih banyak rumah dinaiki air minggu lalu.
Hujan lebat berterusan juga menyebabkan lebih 1,000 mangsa berpindah ke lima buah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Daerah Baling akibat rumah dinaiki air.
Media sebelum ini melaporkan tragedi kepala air pada 4 Julai 2022 menyebabkan tiga beranak maut apabila 12 buah rumah rosak teruk atau musnah dihanyutkan arus deras, manakala 17 buah rumah dilaporkan mengalami kerosakan.
Kesemua 12 keluarga yang berada dalam zon merah telah dipindahkan ke rumah baharu yang dibina kerajaan negeri di Kampung Keda Sadek, dengan penyerahan kunci disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Jun lalu.
Sementara itu pembinaan fasa kedua pula melibatkan kos keseluruhan RM3 juta seperti diumumkan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa melakukan kunjungan ke Kampung Iboi selepas tragedi berkenaan, akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Proses pengambilan tanah oleh kerajaan negeri dipercayai melibatkan kos RM600,000 dikatakan telah selesai dilakukan.
Klik di sini untuk terus membaca