SHAH ALAM - Keputusan kerajaan menyerahkan semula aset milik Lembaga Tabung Haji (TH) yang dipindahkan kepada syarikat tujuan khas (SPV) pada 2018 berjaya menangkis tuduhan kononnya ia diserahkan kepada pemilikan bukan Islam. Pengerusi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan menyerahkan semula aset milik Lembaga Tabung Haji (TH) yang dipindahkan kepada syarikat tujuan khas (SPV) pada 2018 berjaya menangkis tuduhan kononnya ia diserahkan kepada pemilikan bukan Islam.

Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Aman (Suara), Datuk Hadzir Md Zain berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menunjukkan bahawa pengurusan kewangan TH berjaya dipulihkan melalui Pelan Penstrukturan dan Pemulihan TH pada tahun berkenaan.

"Tuduhan aset TH dijual dan dilelong adalah fitnah jahat untuk merosakkan imej PH (Pakatan Harapan) pada masa itu. Kini sudah jelas bahawa tindakan memindahkan aset TH pada 2018 ke SPV adalah langkah paling tepat dan terbaik pada waktu itu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau mengulas keputusan Perdana Menteri itu selepas Lembaga TH melakukan perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) berkaitan pengambilan semula asetnya yang dipindahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd.

Hadzir menerangkan, tindakan tersebut membolehkan aset lain yang berdaya maju dapat diuruskan dengan cekap dan menguntungkan.

Tambah beliau, hibah patuh undang-undang dikeluarkan lebih baik pada tahun berikutnya iaitu 3.05 peratus dan 3.10 peratus.

Beliau berharap, TH menyegerakan perbincangan bersama MOF untuk langkah-langkah pentadbiran pengambilan semula aset yang dipindahkan.

"Suara amat yakin Kerajaan Perpaduan akan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk melonjakkan Lembaga TH dengan amalan tadbir urus baik, berintegriti dan profesional demi menjaga kepentingan umat Islam di negara ini.

"Justeru, umat Islam diminta supaya mengamalkan sikap tabayyun dan mengelakkan diri daripada terjebak dalam perangkap pihak tidak bertanggungjawab,” tambah beliau.

Klik di sini untuk terus membaca