PENULIS pada 28 Ogos lalu dalam ruangan Untung Rugi telah memberikan saranan agar peranan koperasi di Malaysia diperkasakan untuk berdepan sebarang kemungkinan dan cabaran disebabkan oleh krisis makanan yang boleh berlaku sebagaimana krisis beras ketika ini.
Krisis itu jika tidak diatasi dengan segera boleh menjurus kepada krisis makanan lain yang berpotensi merumitkan keadaan dan memberikan kesan kepada rakyat secara keseluruhannya.
Penulis juga telah menyatakan bahawa sudah sampai masanya koperasi bekerjasama secara kolektif untuk menawarkan lebih banyak barangan keperluan harian dan memperkenalkan kedai serbaneka atau kedai runcit yang lebih meluas di pelbagai lokaliti dengan harga mampu milik.
Konsep Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang pernah diperkenalkan sebelum ini perlu dijenamakan semula dan koperasi boleh memainkan peranan penting memperkenalkan kedai serbaneka atau kedai runcit dengan jaringan meluas.
Terbaharu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga sedang mempertimbangkan cadangan untuk melibatkan kerjasama strategik bersama Kedai Koperasi.
Tentu sekali konsep sebelum ini iaitu KR1M dan Inisiatif Kedai Ekonomi Pengguna (i-KeeP) perlu diperhalusi dari segi kemampanan serta faktor-faktor yang menyebabkan ia tidak mampu bertahan lama.
Namun, itu tidak bermakna konsep tersebut tidak boleh dijenamakan semula dengan pendekatan baharu. Penglibatan lebih banyak Kedai Koperasi dengan kerjasama kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu diperkenalkan dalam usaha mengawal harga barangan daripada melambung lebih tinggi.
Faktor penting perlu diambil kira dalam pelaksanaan kerjasama tersebut, antaranya dari segi accessibility yang mudah dan penawaran barangan diperlukan oleh penduduk setempat dengan pelbagai jenis barang mampu milik.
Apa yang diperlukan oleh rakyat adalah accessibility kedai serbaneka atau kedai runcit tersebut yang perlu berdekatan dengan setiap kawasan perumahan dan menawarkan pelbagai jenis barangan diperlukan mereka dengan harga mampu milik.
Seterusnya, kita juga perlu menerima hakikat ketika ini rakyat berdepan pelbagai tekanan ekonomi dengan kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan barangan bersubsidi, antaranya beras putih tempatan, telur serta minyak masak peket.
Pada masa sama, peniaga juga berdepan kesukaran mendapatkan beras tempatan, di samping kenaikan harga beras import memberi tekanan kepada peniaga makanan yang berpotensi menjejaskan mata pencarian mereka.
Dengan tekanan dihadapi ketika ini termasuk melibatkan harga barang keperluan harian, maka lebih ramai yang terpaksa berjimat dan mencatu makanan disebabkan oleh krisis kenaikan harga barangan serta kekurangan bekalan makanan.
Lebih membimbangkan, terdapat pihak yang mengambil kesempatan atas tekanan dihadapi rakyat dengan memberikan pinjaman bersama kadar faedah amat tinggi.
Semuanya disebabkan oleh situasi yang terdesak dan selepas mengambil pinjaman tersebut, ia bakal memberikan lebih banyak tekanan kepada peminjam terutama dari segi mental yang boleh menjejaskan prestasi di tempat kerja dan kualiti kehidupan bersama keluarga.
Rakyat Malaysia perlu berhati-hati dan mengelak daripada terlibat dengan sebarang aktiviti berunsurkan riba. Ia berpotensi menjerat kita secara ber-panjangan dan akhirnya tidak menemui jalan keluar.
Penulis masih ingat lirik lagu Suci Sekeping Hati dinyanyikan oleh kumpulan Saujana yang selalu kedengaran di bilik sahabat baik penulis di Bilik 207, Blok Pintar, KPZ, Universiti Putra Malaysia.
Ungkapan liriknya yang ditulis Pahrol Mohamad Juoi cukup indah dan mendalam maksud tersiratnya. Nukilan lirik itu adalah realiti yang berlaku ketika ini.
Jalannya tak seindah sentuhan mata,
Pangkalnya jauh hujungnya belum tiba, Ada ujian yang datang melanda,
Ada perangkap menunggu mangsa.
* Dr Anuar Shah Bali Mahomed ialah
Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca