DENGAN populasi lebih 15 juta penduduk dan pelancong yang tak putus, ramai punya persepsi ‘juallah apa saja di London, pasti laku!’ Tak kurang juga ber-pandangan ‘kalau mahu membina jenama antarabangsa, mulakan dari London’.
Kota itu juga sering mendapat jolokan syurga membeli-belah. Mungkin ada benarnya. Seperti New York dan Paris, London itu sendiri sudah menjadi jenama antarabangsa yang berprestij. Pastilah apa sahaja yang terkait dengan kota tersebut turut menumpang prestij bukan biasa-biasa.
Tapi sangkaan tersebut tak sepenuhnya benar. Sehebat apa pun London, ia tetap terpaksa menyaksikan jatuh bangun banyak perniagaan termasuk yang bermula di kota itu.
Sepanjang 2021 hingga 2022, hampir 28,600 kedai di seluruh United Kingdom (UK) terpaksa ditutup menyebabkan 260,000 orang hilang kerja. Ada ditutup sebagai strategi penjimatan tapi lebih banyak tutup akibat rugi atau bankrap kerana tak mampu membayar hutang perniagaan.
Jenama mega seperti Debenhams, Cath Kidston dan Topshop misalnya, turut hilang bukan sahaja dari kota London, malah dari UK juga. Walau ada masih bernyawa apabila memilih perniagaan online sebagai alternatif seperti Topshop, tetap masih banyak kurang bernasib baik.
Baru-baru ini, Wilko sebuah jenama UK yang bertapak sejak 1930 mengalami nasib sama. Bagi orang UK, Wilko ialah one-stop-centre untuk mereka dapatkan peralatan dapur, berkebun, hiasan taman, bilik tidur sehinggalah alat tulis dengan harga mampu milik.
Sebanyak 400 cawangannya di seluruh UK mula ditutup dan seramai 12,000 staf bakal hilang mata pencarian.
Sebenarnya desas-desus nasib Wilko sudah kedengaran lebih awal tetapi dengan usaha giat untuk menyelamatkannya termasuklah berunding dengan bakal pembeli syarikat berkenaan, Wilko diyakini terus bertahan. Sayangnya, usaha itu tak berhasil.
Wilko gagal diambil alih dan akhirnya terpaksa mengecewakan pelanggan setia. Bagi peminatnya, meski ada kedai yang menjual barang sama seperti Poundland, namun ia tak pernah sama seperti Wilko.
Sebenarnya, bukan setakat syarikat yang membina jenama di UK ditimpa nasib malang ini. Banyak kedai jenama antarabangsa gah yang beroperasi di UK juga terpaksa ditutup seperti Victoria’s Secrets, Aldo, Le Pain Quotidien dan Laura Ashley. Itu belum masuk kisah peniaga kecil dan sederhana yang terpaksa gulung tikar walau tak sampai setahun dua beroperasi.
Menyalahkan pandemik mungkin alasan lapuk. Namun, kita tak boleh menyangkal kenyataan bahawa Covid-19 telah mentransformasikan banyak hal dalam kehidupan hari ini, antaranya kecenderungan pelanggan membeli barang atas talian mengurangkan kun-jungan ke kedai fizikal.
Namun, itu hanya isu kecil berbanding kemelut ekonomi. Tak seperti negara-negara rakannya yang semakin pulih, UK nampaknya terus sakit. Awalnya ramai pakar ekonomi menjangka kadar inflasi di UK bakal turun mulai Mei 2023 susulan penurunan kos tenaga.
Malangnya sehingga hari ini, inflasi bukan sahaja tak turun, Perdana Menterinya, Rishi Sunak malah memberi amaran krisis ekonomi akan menuju kemuncak pada 2024.
Pakar model makroekonomi UK, Paula Bejarano Carbo menjangka inflasi terus kekal. Jika pun menurun, kadarnya sangat perlahan. Tambahnya lagi, penduduk UK punya tabiat tak suka menabung.
Tanpa simpanan mencukupi dan inflasi tinggi, kuasa membeli rakyat menurun drastik. Keadaan diburukkan lagi dengan krisis perumahan yang menelan hampir 50 peratus hingga 70 peratus pendapatan isi rumah.
Tanpa kuasa membeli yang baik, perniagaan sehebat apa pun pasti gagal bertahan, sedang penutupan banyak premis perniagaan bermakna semakin ramai orang hilang punca pendapatan dan kuasa membeli.
Statistik terkini turut menunjukkan peratusan miskin tegar di UK meningkat dan dijangka terus naik pada masa akan datang.
Jika UK, negara maju dengan teras ekonomi kukuh dan kuasa membeli tinggi pun teruk terkesan, apatah lagi kita di Malaysia. Tak pasti berapa ramai pula yang kini termasuk dalam kumpulan miskin tegar tanpa sedar.
Conficius pernah menyebut - "In a country well governed, poverty is something to be ashamed of. In a country badly governed, wealth is something to be ashamed of.” Kerajaan Malaysia silakan bertanya, duduk kita di mana?
* Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena Michiko Ohara.
Klik di sini untuk terus membaca