BERDEPAN kontroversi apabila kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun lalu tidak mematahkan semangat Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim untuk... Klik di sini untuk terus membaca

BERDEPAN kontroversi apabila kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun lalu tidak mematahkan semangat Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim untuk melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh dedikasi sebagai wakil rakyat.

Bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu bagaimanapun berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu selepas mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH), Azan Ismail dengan majoriti 47,266 undi semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu yang diadakan pada 12 Ogos lepas.

Antara isu menjadi perhatian utama beliau ketika ini adalah usaha untuk memperbaiki taraf hidup rakyat di Terengganu, selain berharap agihan secara adil dan seimbang menerusi peruntukan daripada kerajaan Persekutuan dapat dilaksanakan.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, Nurfardlina Izzati Moktar bersama Ahmad Amzad bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai agenda yang dibawa oleh beliau.

SINAR HARIAN: Apakah isu rakyat yang difokuskan oleh YB ketika ini?

AHMAD AMZAD: Sepanjang saya berkhidmat sebagai ahli Parlimen pada penggal lalu, saya melaksanakan pelbagai program bagi membantu rakyat Kuala Terengganu secara khususnya.

Bagi penggal ini, kita akan teruskan dengan usaha pembangunan untuk Pasar Borong Gong Pauh, pembangunan untuk Pasar Kampung Tiong (Kampung Cina), Medan Selera bersaiz besar yang baru di tapak Kuala Terengganu City Centre (KTCC), pembangunan bernilai RM10 juta sepanjang tepi sungai di belakang Astaka dan sebagainya.

Saya juga akan menyelesaikan masalah kesesakan jalan dari Hotel Seri Malaysia melalui Pasar Payang yang memerlukan penyuraian trafik yang efisien. Begitu juga masalah trafik di Ladang hingga ke jambatan angkat.

Selain itu, masalah kekurangan tempat meletak kereta dan keadaan tapak parkir di sebelah pasar sayur di Pasar Payang yang tidak diturap turut diatasi.

Ahmad Amzad (dua dari kiri) sentiasa turun padang untuk beramah mesra dan menyelami masalah penduduk setempat.

Masalah parit dan longkang kecil sedang diatasi, di samping menyediakan lebih banyak peluang kerja dan perniagaan untuk anak muda. Sektor ekonomi gig juga dibantu selain membasmi isu kemiskinan dan kemiskinan bandar.

Setelah hampir dua bulan bergelar ahli Parlimen. Apakah antara pencapaian penting yang boleh kongsi?Alhamdulillah, dua isu utama selalu dibawa ke Parlimen sama ada di sidang Dewan Rakyat atau sesi Kamar Khas telah mendapat perhatian kerajaan.

Pertama, masalah kecetekan di Pelabuhan Perikanan LKIM Chendering berjaya mendapat peruntukan sebanyak RM192 juta untuk kerja-kerja menaik taraf pelabuhan itu.

Kedua, masalah mendapan di muara Sungai Ibai. Mengenai isu ini, kerajaan meluluskan peruntukan sekitar RM30 juta untuk kerja-kerja pemuliharaan muara Sungai Ibai seperti kerja-kerja pengorekan sedimen di muara sungai dan pembinaan dua struktur pemecah ombak.

Insya-ALLAH, dengan pelaksanaan projek ini, ia dapat melancarkan laluan pelayaran bagi nelayan ke laut melibatkan sekurang-kurangnya 100 bot nelayan.

Semasa di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), saya meluluskan dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) bernilai lebih RM3 juta kepada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk membina konsep dan prototaip bot nelayan kelas B dengan teknologi baharu yang menggunakan kurang tenaga kerja, lebih cekap serta mampu menangkap lebih banyak hasil ikan.

Selain itu, saya memulakan inisiatif pemodenan salah satu ikon tradisi masyarakat Malaysia khususnya di Terengganu iaitu beca semasa menjadi Timbalan Menteri MOSTI.

Saya juga menumpukan untuk meningkatkan penggunaan teknologi transaksi tanpa tunai di pusat membeli-belah utama seperti Pasar Payang, Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan lain-lain.

SINAR HARIAN: Apakah usaha yang perlu dilakukan kerajaan untuk mempertahankan tanah rizab Melayu dan mengawal pemilikan tanah dari jatuh ke tangan orang asing?

AHMAD AMZAD: Saya cadangkan tanah terbiar dan tidak dibangunkan milik Kerajaan Persekutuan serta tanah Rizab Melayu untuk disewakan bagi projek pertanian atau perniagaan kepada golongan berpendapatan rendah dan belia termasuk graduan khususnya orang Melayu untuk menjana pendapatan. Melalui inisiatif ini, tanah-tanah tersebut juga dapat diuruskan secara optimum dan teratur.

Keduanya, berkaitan sistem dan perundangan sedia ada berhubung Tanah Rizab Melayu dan Tanah Wakaf perlu disemak semula dan dibaiki kelemahannya, penubuhan Lembaga Amanah untuk mengawal selia kedudukan Tanah Rizab Melayu.

Tanah Rizab Melayu yang dibangunkan mesti diagih kembali kepada peribumi Melayu sepenuhnya supaya pegangan tanah berkekalan di samping memelihara pegangan kuasa mengundi di kawasan kekal milik Melayu.

SINAR HARIAN: Apakah pandangan YB mengenai soal peruntukan kepada negeri-negeri pembangkang dan peranan dimainkan Kerajaan Perpaduan dalam menjaga kebajikan rakyat khususnya di negeri diterajui pembangkang?

AHMAD AMZAD: Pelbagai perkara perlu dibincangkan dengan penuh semangat keterbukaan dan positif, semangat federalisme yang tinggi terutama berkait dengan urusan negeri - Persekutuan, program pembasmian kemiskinan, pembangunan, kewangan dan lain-lain.

Saya telah mempersoalkan di dalam Dewan Rakyat sama ada kerajaan hari ini masih berpegang kepada komitmen Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) supaya sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan asas akan diagihkan kepada enam negeri kurang membangun iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis membabitkan penyediaan infrastruktur asas, telekomunikasi, pendidikan, penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi.

Program pembasmian miskin tegar juga membabitkan pembangunan seimbang antara wilayah untuk memastikan pembahagian ekonomi dapat dinikmati semua pihak. Bagaimanapun kerajaan persekutuan seperti meminggirkan negeri-negeri pembangkang, di mana seperti ada jurang di antara Kerajaan Perpaduan dan kerajaan negeri yang ditadbir oleh negeri pembangkang.

SINAR HARIAN: Apakah harapan YB tentang belanjawan 2024 dan apa yang diperlukan di Terengganu?

AHMAD AMZAD: Harapan saya, Kerajaan Persekutuan dapat memastikan Belanjawan 2024 akan memperteguh semangat federalisme dengan memastikan agihan secara adil dan seimbang dapat dilaksanakan. Cabaran semasa bagi Terengganu antaranya ialah soal menguruskan kemiskinan, memperbaiki taraf hidup rakyat selain memastikan peningkatan tahap mobiliti sosial.

Kerajaan Terengganu mengharapkan kerajaan pusat dapat membantu memperkukuh sektor pertanian yang meliputi subsektor tanaman, penternakan dan perikanan selain menyokong pertumbuhan industri dan keusahawanan tempatan serta memperbaiki pembangunan dan kesalinghubungan infrastruktur bagi mengembangkan lagi ekonomi di negeri ini.

PROFIL YB

Nama: Datuk Ahmad Amzad Hashim

Tempat lahir: Kuala Terengganu

Umur: 53 tahun

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Jawatan Pengerusi Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd

Jawatan dalam partiAJK Pas Pusat (Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Perumahan dan Hal Ehwal Orang Asal Pas Pusat)

AJK Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu

Klik di sini untuk terus membaca