KAWASAN tropika, termasuk Malaysia, sedang mengalami pemanasan bumi yang perlahan namun semakin teruk.
Pemanasan bumi mempercepatkan perubahan iklim di samping menyebabkan bencana cuaca seperti banjir, kemarau dan taufan.
Pemanasan bumi terjadi akibat gas-gas haba terperangkap (GHT) atau greenhouse gases. Sebahagian besar GHT dilepaskan akibat pembakaran bahan hidrokarbon fosil, seperti arang, minyak dan gas serta pembalakan hutan yang pernah menyerap GHT.
GHT, terutamanya karbon dioksida (CO2) ibarat selimut yang memerangkap haba matahari dan menghalangnya keluar dari atmosfera bumi. Fenomena ini dikenali sebagai kesan haba terperangkap yang menyebabkan pemanasan bumi.
Pasaran karbon diperkenalkan kononnya sebagai langkah membendung pemanasan bumi namun, pendekatan ini agak bermasalah.
Melalui pasaran karbon, diharapkan perdagangan karbon akan menggalakkan jual-beli permit atau kebenaran mengeluarkan GHT. Dengan demikian, diharapkan harga permit meningkat dan menggalakkan pengeluar mengurangkan keluarannya.
Pasaran Karbon Sukarela (PKS) merupakan salah satu sistem perdagangan karbon yang menggalakkan perusahaan mengurangkan GHT secara ‘sukarela’ misalnya dengan membiayai projek hijau seperti pemulihan hutan.
Sekiranya diwajibkan, perusahaan terpaksa membeli kredit karbon untuk melepaskan GHT. Pihak yang melepaskan GHT kurang dari had izin yang diperoleh boleh menjual baki kreditnya kepada pihak yang memerlukannya.
Perusahaan yang melepaskan karbon dikenakan denda melalui harga karbon. Kadar denda sengaja ditetapkan pada paras rendah bagi menggalakkan penerimaan harga dan pasaran karbon.
Pelaburan dalam teknologi jimat tenaga dan penjanaan tenaga yang boleh diperbaharui jauh lebih berkesan mengurangkan lepasan GHT.
Teknologi baharu pula biasanya menelan pelaburan lebih besar, manakala pulangan pelaburannya berisiko tinggi dan memakan masa lama. Sebaliknya, pembelian kredit karbon kurang mahal dan kurang berisiko serta lebih mudah.
Pembelian kredit karbon pula mengizinkan perusahaan melepaskan GHT. Implikasinya, dengan adanya pilihan membeli kredit karbon, pelaburan hijau yang amat diperlukan akhirnya ditangguhkan atau dielak sama sekali.
Projek imbangan karbon merujuk kepada projek hijau oleh perusahaan untuk mengimbangi lepasan GHT terkumpul. Pihak yang membiayai projek hijau seperti penanaman semula hutan, menerima kredit karbon sebagai ganjaran.
Maka, mereka yang melaksanakan projek imbangan karbon seolah-olah menebus lepasan GHT terkumpul.
Projek imbangan karbon dipercayai mengurangkan jumlah GHT terkumpul dalam atmosfera, sedangkan projek demikian tidak mampu mengurangkan GHT terkumpul. GHT sudah lama terkumpul dalam atmosfera sejak dua abad lalu akibat pembakaran bahan fosil serta pembalakan hutan.
Pengumpulan GHT bertambah teruk akibat kegiatan zaman moden seperti perindustrian pesat yang sudah lama menambah GHT terkumpul dalam atmosfera.
Maka, paras lepasan GHT baharu akan terus melebihi paras GHT yang mampu diserap projek pengimbangan dan hutan yang tertinggal di seluruh dunia.
Jumlah GHT terkumpul dalam atmosfera bumi sejak sekian lama sedang terus meningkat pada kadar yang amat berbahaya dan membimbangkan.
Akhirnya, bumi termasuk Malaysia akan mengalami kesan pemanasan seperti cuaca melampau, ribut, banjir serta kemarau yang lebih teruk.
Tuntasnya, walaupun perdagangan kredit karbon mampu mengurangkan lepasan GHT baharu ke atmosfera, pendekatan ini tidak mampu mengurangkan GHT yang lama terkumpul. Maka, jelas bahawa pasaran karbon memupuk gambaran kemajuan sebenarnya palsu kerana tidak membawa penyelesaian segera yang amat diperlukan dunia kini.
Malah, pasaran karbon melambatkan peralihan kepada teknologi mampu menjana dan mengguna tenaga boleh diperbaharui, walhal teknologi ini amat diperlukan untuk melambatkan dan mengurangkan pemanasan bumi.
Bak pepatah Melayu, ‘melentur buluh, biarlah dari rebungnya’, penyelesaian krisis pemanasan bumi sepatutnya cukup berkesan, berjangka panjang dan adil dari awal lagi. Pasaran karbon gagal sama sekali.
* Siti Sarah Abdul Razak dan Jomo KS berkhidmat di Khazanah Research Institute
Klik di sini untuk terus membaca