WASHINGTON - Kongres Amerika Syarikat (AS) akhirnya meluluskan rang undang-undang (RUU) pembiayaan sementara sebagai usaha mengelakkan shutdown yang dikhuatiri bakal menjejaskan banyak perkhidmatan dan kakitangan persekutuan serta menggugat politik negara itu.
Kesepakatan itu dicapai anggota Dewan Perwakilan berdasarkan 335-91 undi pada lewat Sabtu termasuk 126 anggota Parti Republikan yang menzahirkan sokongan dan berpihak kepada Demokrat.
Jika RUU itu gagal digubal, agensi persekutuan terpaksa menghentikan kesemua jabatan tidak penting dan tidak dapat membayar gaji kakitangan sepanjang tempoh shutdown tersebut.
Presiden Joe Biden menandatangani RUU tersebut selepas ia diluluskan Senat yang dikawal Parti Demokrat.
Hakikatnya, RUU tersebut hanya dapat bertahan untuk tempoh 45 hari dan AS bakal menyaksikan lagi perdebatan sengit di Kongres untuk mengelakkan kemungkinan shutdown pada masa akan datang.
Oleh itu, jika tiada kesepakatan dapat dicapai menjelang 17 November depan, jutaan kakitangan persekutuan termasuk anggota tentera sekali lagi bakal berdepan kelewatan pembayaran gaji.
Sebelum kata sepakat pada saat akhir itu dicapai, beberapa agensi persekutuan telah pun merangka pelan terperinci yang menyatakan jenis perkhidmatan akan terus beroperasi dan yang terpaksa dihentikan secara sementara.
Kebuntuan yang membawa kepada penutupan kerajaan AS berlaku beberapa bulan selepas Kongres memberi amaran negara itu berada di ambang ‘bencana ekonomi’ atas kegagalan membayar hutang berjumlah AS$31.4 trilion (RM147.8 trilion).
10 KALI SHUTDOWN
Sejak lebih empat dekad lalu, AS sudah berdepan 10 kali insiden shutdown sedangkan negara lain masih terus berfungsi walaupun ia mengalami krisis teruk seperti peperangan.
Penutupan kerajaan yang biasanya berpunca daripada revolusi, pencerobohan atau bencana adalah satu khabar buruk bagi kebanyakan negara.
Tetapi, negara kuasa besar seperti AS seakan-akan sudah lali dengan fenomena sedemikian.
Mengapa ia terus berlaku?
Sistem persekutan Amerika membenarkan cabang kerajaan dikawal pihak berbeza sebagai langkah untuk menggalakkan kompromi, namun ia memberi kesan sebaliknya sejak kebelakangan ini.
Tindakan Peguam Negara di bawah pentadbiran Presiden ke-39 AS, Jimmy Carter ‘mengehadkan’ kuasa kerajaan di bawah Akta AntiKekurangan 1884 menetapkan beberapa isu penting seperti bajet perlu mendapat kelulusan Kongres terlebih dahulu.
Ia telah membezakan AS daripada negara demokrasi tanpa Parlimen lain seperti Brazil yang memberi kuasa kepada badan eksekutif untuk membuat sebarang keputusan ketika berdepan kebuntuan berhubung belanjawan.
Di negara lain, langkah penutupan sedemikian boleh dikatakan agak mustahil.
Sistem Parlimen yang diguna pakai kebanyakan negara Eropah akan memastikan badan eksekutif dan perundangan dikawal oleh parti atau kerajaan gabungan sama.
Parlimen masih boleh menolak bajet dikemukakan perdana menteri dan keputusan tersebut hanya akan mencetuskan pilihan raya baharu dan tidak melibatkan penutupan perkhidmatan atau agensi kerajaan.
Situasi ini boleh dilihat pada tahun 2011 ketika pembangkang Kanada tidak bersetuju dengan belanjawan dicadangkan bekas Perdana Menteri, Stephen Harper daripada Parti Konservatif yang hanya meraih kerusi minoriti di Parlimen.
Di Belgium, agensi persekutuan di negara itu masih berfungsi seperti biasa ketika ia masih tidak mempunyai kerajaan yang dilantik sepanjang tempoh 589 hari antara 2010-11.
Persoalan yang timbul kini, mampukah AS mengelakkan satu lagi shutdown selepas tempoh 45 hari berakhir pada bulan depan? - Agensi
Info:
- AS berdepan shutdown pertama pada 1981 selepas Presiden ke-40 AS, Ronald Reagan memveto RUU pembiayaan yang berlarutan selama beberapa hari. Sejak itu, AS pernah melaksanakan 10 kali penutupan yang membawa kepada pemberhentian perkhidmatan untuk tempoh sehingga lebih sebulan.
- Pelaksanaan shutdown paling lama pernah direkodkan adalah pada 21 Disember 2018 hingga 25 Januari 2019. Ia adalah langkah penutupan terakhir pernah menggegarkan Amerika.
Klik di sini untuk terus membaca