PADA saat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengambil alih jawatan utama parti itu daripada Allahyarham Datuk Fadzil Noor yang meninggal dunia pada tahun 2002, Pas terus kuat dan cekal menongkah arus politik negara selepas 21 tahun... Klik di sini untuk terus membaca

PADA saat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengambil alih jawatan utama parti itu daripada Allahyarham Datuk Fadzil Noor yang meninggal dunia pada tahun 2002, Pas terus kuat dan cekal menongkah arus politik negara selepas 21 tahun diterajui Ahli Parlimen Marang itu.

Dipertanggungjawabkan memangku jawatan Presiden Pas pada tahun 2003 sebelum dilantik sepenuhnya pada tahun 2005, Abdul Hadi berdepan dengan cabaran getir memastikan parti itu terus relevan di persada politik tanah air.

Selepas Pas bersama Barisan Alternatif (BA) yang mencatat keputusan membanggakan pada Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10) apabila memenangi 27 kerusi Parlimen dan mengambil alih Terengganu dari tangan Barisan Nasional (BN), namun PRU11 pada tahun 2004 menyaksikan parti itu berdepan kemerosotan prestasi.

Bagaimanapun, Pas belajar daripada kesilapan PRU11. Melalui pelbagai kerjasama politik termasuk Pakatan Rakyat (PR) pada PRU12 dan PRU13, penubuhan Gagasan Sejahtera pada PRU14, Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO pasca PRU14 dan pernah berada di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), Abdul Hadi menjadi figura penting yang mengemudi parti itu sehingga mencetuskan fenomena ‘gelombang hijau’ pasca PRU15.

Lebih menarik, di sebalik dakwaan Abdul Hadi sering dibayangi pengaruh dua tokoh pemimpin spiritual terkemuka Pas iaitu dua bekas Mursyidul Am parti itu, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Allahyarham Datuk Haron Din, hakikatnya beliau berjaya memperkenalkan beberapa gagasan pemikiran yang memberi kesan besar kepada rakyat.

Mohd Zuhdi Marzuki

Menurut Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, pada peringkat awal Abdul Hadi mengambil alih tampuk kepimpinan parti, tokoh ulama Pas itu diakui berdepan pelbagai kontroversi seperti isu perdebatan ‘Amanat Haji Hadi’ pada tahun 1981 yang ditimbulkan kembali musuh politik.

Selain itu, Pas turut bergelut untuk meraih kembali sokongan pengundi Melayu yang beralih kepada kerajaan BN pasca kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri kelima.

"Bagaimanapun, Abdul Hadi mempunyai satu kekuatan untuk membawa idea atau gagasan yang boleh mengubah tanggapan umum. Gagasan beliau itu akhirnya boleh diterima masyarakat setelah mereka menyedari ia berlandaskan teras politik umat Islam.

"Sebagai contoh, apabila kontroversi ‘Amanat Haji Hadi’ timbul, ia merupakan satu gagasan idea Abdul Hadi bagi menyedarkan masyarakat Islam yang selama ini melihat agama dari sudut sekularisme, di mana mereka menganggap agama adalah terasing daripada politik.

"Selain itu, Abdul Hadi turut membawa gagasan Negara Berkebajikan, Islam Untuk Semua, Budaya Politik Matang Sejahtera dan Penyatuan Ummah yang akhirnya menjadi naratif utama mengubah landskap politik negara sehingga tercetusnya fenomena gelombang hijau pasca PRU15,” ujar Mohd Zuhdi kepada Sinar Premium pada Isnin.

Muktamar Tahunan Pas ke-69 yang dijadualkan berlangsung dalam bulan ini menyaksikan Abdul Hadi secara tidak langsung dianggap antara ketua parti yang paling lama berkhidmat di Malaysia selepas bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun, bekas Setiausaha Agung DAP, Tan Sri Lim Kit Siang (30 tahun) dan bekas Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (20 tahun).

TOKOH PEMIMPIN SPIRITUAL

Bagi Pengerusi Sidang Assabiqun Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, antara faktor Abdul Hadi kekal menjadi pilihan akar umbi Pas untuk menerajui parti itu disebabkan beliau turut memiliki karakter ketokohan pemimpin spiritual yang kebiasaannya terdapat pada seorang Mursyidul Am Pas.

"Sejak Abdul Hadi memegang jawatan presiden secara rasmi 18 tahun lalu, beliau tidak pernah dicabar mana-mana pihak kecuali pada sidang Muktamar Pas tahun 2015 di Kuala Selangor.

"Beliau bukan sahaja memiliki kualiti kepimpinan baik, bahkan ilmu pengetahuannya tentang siasah politik dan agama Islam sangat mendalam. Jika tidak, masakan beliau dilantik Naib Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia pada tahun 2014,” jelasnya.

Mahfodz turut menyorot satu-satunya peristiwa Abdul Hadi dicabar oleh bekas Pesuruhjaya Pas Perak yang kini menjadi Penasihat Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Ahmad Awang bagi jawatan presiden parti pada Muktamar Pas tahun 2015.

"Bila timbul kemelut politik dalaman Pas tahun 2015, kepimpinan parti ketika itu terpecah kepada dua kumpulan. Satu kumpulan mahu mengekalkan kepimpinan Abdul Hadi. Satu lagi kumpulan diketuai Timbalan Presiden ketika itu (Datuk Seri Mohamad Sabu) mahu memecahkan status quo.

"Sungguhpun usaha menjatuhkan Abdul Hadi ketika itu satu gerakan terancang, namun beliau terbukti menerima sokongan padu perwakilan dan akar umbi Pas. Ini kerana akar umbi menyedari ketegasan dan buah fikiran beliau amat diperlukan bagi mengekalkan agenda perjuangan Pas dalam menegakkan syiar Islam,” tegasnya.

TERUS KUKUH

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berpandangan, kedudukan Abdul Hadi dijangka terus mengukuh sebagai Presiden Pas selagi hayat beliau dikandung badan.

SIVAMURUGAN
SIVAMURUGAN

Ini kerana beliau melihat peranan institusi Presiden Pas semakin penting dan menyamai pengaruh Mursyidul Am Pas setelah parti itu melalui beberapa fasa kematangan politik sehingga mencapai prestasi kemuncak pada PRU15 lalu.

"Abdul Hadi memainkan peranan sangat penting dalam mewujudkan pelbagai bentuk kerjasama politik strategik seperti MN dan PN sehingga parti itu berjaya membantu PN membolosi benteng pertahanan kukuh PH di Pulau Pinang dan Selangor pada PRU15 dan pilihan raya negeri (PRN) lalu.

"Selain itu, perancangan awal Pas dan Abdul Hadi mengadaptasi strategi ‘senyap dan tawan’ dengan menggunakan platform surau, sekolah tahfiz dan madrasah selain mendekati golongan mahasiswa di Timur Tengah bagi mentarbiahkan masyarakat setempat agar mendekati parti itu, kini menampakkan kejayaan besar.

"Pendekatan ini bukan sahaja berjaya menembusi pemikiran kelompok pengundi muda dan umur pertengahan, bahkan golongan profesional sudah boleh menerima penjenamaan baharu parti itu yang lebih progresif,” ujarnya.

Di sebalik kejayaan besar Pas pada PRU15, Sivamurugan tidak menolak kemungkinan Pas bakal ditolak segmen pengundi yang menyokong mereka pada masa depan, sekiranya kepimpinan parti itu tidak berhati-hati dalam tindakan politik mereka.

"Pada masa sama, Pas juga perlu menyediakan pelan peralihan tampuk kepimpinan parti pasca Abdul Hadi kerana ia memberi isyarat kepada akar umbi bahawa hala tuju perjuangan parti itu masih kekal sama,” jelasnya lagi.

Abdul Hadi kini terus menerajui Pas apabila menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti bagi sesi 2023-2025.

Klik di sini untuk terus membaca