PUTRAJAYA - Kewujudan kedai yang menawarkan harga yang lebih rendah menggunakan konsep Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) boleh dilaksana kerajaan dengan syarat bukan bermotifkan populis mahupun politik. Sebaliknya kata Pensyarah Kanan Fakulti... Klik di sini untuk terus membaca

PUTRAJAYA - Kewujudan kedai yang menawarkan harga yang lebih rendah menggunakan konsep Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) boleh dilaksana kerajaan dengan syarat bukan bermotifkan populis mahupun politik.

Sebaliknya kata Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Mohd Faisol Ibrahim, kedai tersebut haruslah bertujuan memberi kesejahteraan hidup terhadap rakyat dengan menawarkan barangan keperluan pada harga mampu milik.

Beliau berkata, antaranya kedai seperti itu mestilah mempunyai barangan yang harganya lebih murah daripada kedai lain dan bukannya mahal selain terletak di lokasi strategik serta mesra golongan bawahan.

"Cadangan mewujudkan semula kedai ala KR1M ini agak realistik jika dikaitkan dengan keadaan ekonomi semasa, di samping melihat kepincangan penawaran serta permintaan barangan asas pada saat kuasa membeli menurun berbanding harga barangan.

"Dalam erti kata lain, pengguna yang berpendapatan rendah tidak mempunyai pilihan untuk merancang pembelian barangan asas,” ujar beliau.

Mohd Faisol berkata, selain jaminan bekalan yang sentiasa mencukupi, kedai ini harus memastikan hanya rakyat tempatan mendapat banyak manfaat daripada kewujudannya.

"Kedai yang menjual barangan keperluan dengan harga murah akan menjadi tarikan warga asing di negara ini. Jika tidak dibendung ia akan merugikan negara dan rakyat itu sendiri,” tegas beliau.

Tambahnya, sebuah jawatankuasa khas turut perlu diwujudkan bagi memantau kedai tersebut agar mematuhi tatakelola ditetapkan.

Ujar beliau, jawatankuasa khas tersebut boleh terdiri daripada pihak industri yang terlibat dengan program khidmat masyarakat (CSR), ahli ekonomi, persatuan pengguna dan wakil kementerian.

"Kedai ini juga mungkin perlu diletakkan di bawah satu kementerian tertentu untuk mengawal selia dari peringkat awal hingga akhir dengan dibantu oleh pihak industri peruncitan yang terpilih,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Faisol berkata, kerajaan juga digesa mengetengahkan strategi bagi memastikan kedai tersebut mampu bertahan lama.

"Banyak pasar raya dan kedai lain turut menawarkan harga rendah sekarang, jadi inisiatif ini harus memikirkan strategi persaingan agar boleh bertahan bagi tempoh yang panjang,” ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh mencadangkan supaya Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan semula konsep KR1M.

KR1M diilhamkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2011 bertujuan mengurangkan beban rakyat, selain membantu memasarkan produk pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan.

Ia berhasrat menjual pelbagai barangan harian pada harga 30 hingga 50 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

KR1M mempunyai 185 cawangan di seluruh negara sehingga ia ditutup sementara pada September 2017.

Difahamkan, penutupan itu ada kaitan dengan pengumuman kerajaan untuk menamatkan kontrak pengendali KR1M, Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) kerana menjual barang lebih mahal daripada harga pasaran.

KR1M kemudian ditukar kepada KR1M 2.0 dengan penambahbaikan dan dilancarkan pada awal Februari 2018, namun dihentikan selepas pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Klik di sini untuk terus membaca