SHAH ALAM - Rombakan kabinet yang dijangka berlaku dalam masa terdekat dilihat bakal memberi kesan baik dan buruk kepada negara. Pensyarah Kanan Sains Politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, tindakan itu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Rombakan kabinet yang dijangka berlaku dalam masa terdekat dilihat bakal memberi kesan baik dan buruk kepada negara.

Pensyarah Kanan Sains Politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, tindakan itu membolehkan kerajaan menyusun semula peranan kabinet supaya ia berfungsi dengan lebih berkesan dalam menjalankan tugas.

"Ia memandangkan kita lihat ada rungutan daripada rakyat yang mengkritik ataupun memberikan input bahawa kerajaan hari ini perlu bekerja lebih keras lagi.

Mujibu Abd Muis

"Banyak perkara perlu diselesaikan, penyampaian kena lebih pantas dan ini semua perlu kepada kepimpinan menteri.

"Jadi mungkin akan ada penyusunan semula. Ini saya rasa tidak ada masalah dari sudut itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Terdahulu pada Ahad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan rombakan kabinet di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berlaku dalam masa terdekat.

Beliau berkata, antara sebabnya ialah kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Dalam pada itu, Mujibu berkata, rombakan kabinet juga boleh menyebabkan kesan buruk seperti perselisihan dalam parti sekiranya terdapat nama-nama tertentu digugurkan atau berlaku perubahan portfolio kementerian.

"Kalau ada nama-nama besar gugur atau individu tertentu dicalonkan bagi mengisi jawatan kabinet yang mungkin akan diwujudkan semula seperti Menteri Kewangan Kedua, Menteri Wilayah atau ada pemecahan kementerian, ini mungkin akan menimbulkan perang dalaman parti,” kata beliau.

Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan berdepan cabaran mengenalpasti tokoh atau individu sesuai dan berkebolehan untuk memegang portfolio kementerian.

"Kedua, kalau ada pemecahan kementerian atau perlu mewujudkan menteri baharu yang barangkali akan membesarkan saiz kabinet, mungkin perlu ada justifikasi kukuh bagi Perdana Menteri (berhubung keputusan itu).

"Sebab ia sudah tentu mengundang kritikan memandangkan Perdana Menteri sendiri sudah beri komitmen bahawa saiz kabinet tidak akan dibesarkan dalam masa sama juga nampak macam ada desakan daripada parti untuk minta portfolio menteri,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca