KUALA LUMPUR - Mahasiswa mencadangkan kerajaan supaya menyediakan peruntukan khas pelan tindakan 'ekonomi gig' bagi mereka yang berhasrat melakukan kerja sampingan ketika dalam tempoh pengajian.
Cadangan itu disuarakan Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ahmad Muntasir Aznan, 22, sempena Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada 13 Oktober ini.
Ahmad Muntasir berkata, bantuan itu merangkumi Lesen Vokasional untuk kenderaan perkhidmatan awam (PSV) atau lesen kemahiran untuk mahasiswa memperoleh wang poket sambil menimba pengalaman kerja.
"Kebanyakan kemudahan di universiti seperti kolej kediaman, bangunan fakulti dan fasiliti sukan perlu diselenggara dan ditambah baik.
"Tumpuan khusus perlu diberikan kerana kebanyakan kemudahan ini sudah lama dan tidak dibaik pulih,” katanya.
Bagi Pengerusi Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya (UM), Muhammad Aiman Dhaifullah Dzulkarnain, 21, juga senada apabila memohon kemudahan universiti segera di tambah baik.
"Harapan saya peruntukan di semua universiti dinaikkan supaya kemudahan lebih terjaga, selesa dan senang digunakan mahasiswa.
"Saya juga berharap kerajaan menaikkan peruntukan program yang menyediakan peluang pekerjaan baharu termasuk berkemahiran tinggi kerana lambakan graduan yang memiliki skil tinggi tetapi tiada pekerjaan,” ujar beliau.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Izuan Faiz Abdul Rahman, 25, berharap kerajaan dapat memberi fokus terhadap peluang pekerjaan membabitkan 'mismatch' dan gaji minima.
"Saya juga berharap kerajaan memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) untuk tingkat kebolehpasaran graduan selain mempertingkatkan usaha membentuk mahasiswa berciri holistik pada masa hadapan.
"Penumpuan juga harus diberikan kepada usaha meningkatkan capaian internet selari pembelajaran hari ini yang digiatkan secara dalam talian sejajar kecanggihan teknologi semasa,” katanya.
Menurut Yang Dipertua MPP Universiti Putra Malaysia (UPM), Fatin Amirah Mohd Hisham, 23, berkata kerajaan perlu meningkatkan insentif kemudahan tiket penerbangan kepada mahasiswa dari Borneo atau Semenanjung yang menuntut di Sabah dan Sarawak.
"Insentif sebelum ini diberikan secara one-off sahaja, jadi saya cadangan insentif ini ditambah kepada setiap semester atau sekurang-kurangnya setahun sekali.
"Ini kerana ada dalam kalangan mahasiswa mengeluh apabila terpaksa berdepan isu tiket mahal selain jadual pengajian berubah-ubah menyukarkan masalah tempahan tiket,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca