KADANG kala kita sendiri tidak tahu mengapa kita mengatakan sesuatu atau melakukan tindakan yang kita tidak fahami.
Di Parlimen, bukan sahaja kadangkala kita, yang memerhatikan gelagat dan tabiat politikus, tidak tahu mengapa seorang wakil rakyat mengucapkan kata kesat atau bertindak secara luar jangkaan.
Sejak pertengahan dasawarsa 1980-an hingga kini, saya mengajar pelajar-pelajar perubatan subjek Sains Tingkah Laku.
Ini selain daripada pelbagai aspek perubatan yang lain seperti etika perubatan, sejarah perubatan dan sudah tentu kesihatan mental dan psikiatri klinikal di wad, klinik serta dewan kuliah.
Sering saya mengingatkan pelajar saya termasuk Menteri Kesihatan kini semasa beliau menjadi pelajar perubatan saya di Universiti Kebangsaan Malaysia dahulu bahawa dengan ilmu-ilmu ini, lebih mudah kita memahami manusia dan masyarakat. Yang lebih penting kita dapat mengenali dan mengawal diri sendiri.
Jika sesekali kita hilang sedikit kawalan diri, tidak mengapa asalkan akhlak terjaga dan tidak merosakkan diri dan orang lain. Kita adalah insan yang mudah lupa dan alpa. Bila kita terkeluar daripada landasan kelakuan yang beretika, cepat-cepatlah pulang ke pangkal jalan.
Kelakuan Perdana Menteri ke-10 (PM10) dan semua ahli Parlimen boleh kita fahami menerusi empat ranah berikut.
Pertama, biofizikal. Persekitaran Parlimen yang ‘selesa tapi panas’. Selesa kerana suasana fizikal yang berhawa dingin dan panas kerana banyak isu negara menjadi panas serta dipanaskan oleh ahli Parlimen.
Kedua, psikologikal. Emosi atau perasaan dan kognisi atau fikiran. Mereka yang hilang kawalan emosi dan berfikiran tidak menentu boleh menunjukkan kelakuan yang tidak senonoh atau tidak sopan.
Ketiga, sosial. Kehadiran dua kelompok iaitu pembangkang dan kerajaan. Ini mengukuhkan mentaliti ‘kita lawan mereka’. Apa-apa pun, ‘kumpulan dan parti kita didahulukan, salah atau benar’.
Keempat, spiritual. Pengaruh qarin (malaikat atau syaitan), syaitan jin dan insan, nafsu amarah bissuk (menyeru keburukan), nafsu lauwamah (mencela diri sendiri) dan nafsu mutmainnah (menjadi tenang) amat berpengaruh.
Parlimen ialah tempat para politikus mempamerkan sebaik-baik atau seburuk-buruk akhlak dan tingkah laku. Kita, para pengundi di pilihan raya menyaksikan perangai baik atau buruk ini.
Dalam mendidik kanak-kanak tadika, anak sekolah rendah dan remaja sekolah menengah, kita mengetengahkan akhlak mulia dan kelakuan sopan.
Apakah yang dikatakan oleh anak-anak sekolah dan para remaja bila mereka melihat perangai buruk para politikus?
Di medan siasah Malaysia, sudah wujud satu trend buruk yang dicetuskan oleh sebahagian, tidak semua politikus. Kita sudah mendengar bahawa berbohong dibenarkan demi kepentingan parti kerana ‘dalam politik dibolehkan’.
Usaha menjatuhkan kerajaan yang sah di sisi undang-undang dibolehkan kerana ‘dalam politik demokrasi dibolehkan’. Sudahkah kita mendengar dakwaan bahawa jika ahli Parlimen mencarut dan terpekik-pekik macam pesakit histeria OK sahaja, kerana ‘dalam politik demokrasi dibolehkan’?
Apabila kita melihat ahli Parlimen terpekik terlolong, kita diingatkan oleh maksud ayat al-Quran dalam surah Luqman (31:19)
"Sederhanalah kamu dalam berjalan dan turunkan nada suara mu; sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.”
Politikus yang buruk akhlak menunjuk kehandalannya dengan bersikap hodoh dan menuduh membuta tuli.
Kini zaman politikus membodohkan orang lain, bercakap kasar dan mengguna kata-kata kesat semakin menjadi-jadi. Ia disorak dan disokong pula ribuan pendengar ceramah di pentas fizikal dan disokong ribuan lagi di media sosial.
Masyarakat kini menjadi semakin litigious. Suka saman menyaman. Ini juga disorak oleh audiens di hadapan pentas pidato dan disukai pengikut setia media sosial.
Tanpa disedari pemimpin dan rakyat yang menggalakkan kata nista serta kelakuan buruk di medan siasah dan dewan Parlimen hilang kemanusiaan dan sifat rahmahnya.
Rakyat mengharapkan akhlak termulia di Parlimen ditunjukkan oleh PM-10 dan semua ahli Parlimen yang dilantik oleh rakyat.
* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah pakar psikiatri dan penulis
Klik di sini untuk terus membaca