SHAH ALAM - Kerajaan perlu menumpukan peruntukan lebih besar membaik pulih infrastruktur dalam sektor pendidikan terutama di sekolah pedalaman selain mengekalkan bantuan sedia ada.
Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, langkah itu penting sebagai pelaburan masa depan.
"Peruntukan dalam sektor pendidikan adalah antara terbesar dan berharap belanjawan kali ini tetap sama kerana kita tahu ia adalah satu pelaburan kepada negara.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Kementerian Pendidikan menerima peruntukan tertinggi iaitu RM55.2 billion menerusi pembentangan Belanjawan 2023.
Menurut Alimuddin, bantuan kepada sekolah di pedalaman dan pulau terpencil boleh diberikan dengan menyediakan kemudahan lengkap seperti asrama, makanan percuma dan pengangkutan.
Tambah beliau, kursus perkhidmatan guru juga perlu dilakukan secara berkala memandangkan pendidikan kini berkembang dengan pesat bukan sahaja dalam negara tetapi peringkat global.
"Banyak inovasi dan penemuan kaedah baru dalam proses pengajaran dan kursus perlu diteruskan mengikut keperluan supaya negara tidak ketinggalan.
"Pada masa sama, peruntukan juga perlu difokuskan kepada pelajar berkeperluan khas dengan menyediakan kemudahan sewajarnya kepada mereka,” ujarnya.
Alimuddin berkata, perkara sama juga perlu dilakukan terhadap institusi pengajian tinggi (IPT) yang memerlukan lebih banyak peruntukan terutama dalam bidang teknikal seperti kejuruteraan, perubatan, penyelidikan dan sebagainya.
"Kekalkan semua bantuan diberikan kepada pelajar seperti sebelum ini supaya mudah untuk mereka membeli barangan keperluan asas dan pembelajaran,” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca