DALAM apa jua dasar yang mahu ditentukan kerajaan, tentunya fasa perancangan amat penting bagi memastikan ia mampu dilaksanakan. Perancangan lazimnya akan didokumentasikan untuk memberi road-map jelas kepada pemegang taruh dan rakyat marhaen.
Dengan kewujudan pakar dalam pelbagai bidang, di dalam kementerian serta pelbagai institusi baik awam mahupun swasta, dokumen terhasil akan memperincikan apa yang mahu dilaksanakan dalam tempoh ditetapkan.
Satu contoh paling menonjol, kepada mereka yang sanggup membaca dokumen diterbitkan ialah berkaitan program memperkasa kekuatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjelang tahun 2030.
Kesemua ini terkandung dalam laporan komprehensif berjudul Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB 2030) yang dilancarkan secara rasmi pada Disember 2021 oleh Perdana Menteri ketika itu.
Pembaca (yang tidak terlelap) bernasib baik kerana hanya halaman 323 hingga 344 sahaja membincangkan berkaitan pertahanan daripada keseluruhan dokumen setebal 592 muka surat dari kulit ke kulit!
Antara yang diketengahkan adalah Kementerian Pertahanan telah memperkenalkan Kertas Putih Pertahanan pada 2020 yang merupakan rangka pelan pembangunan ATM.
Ia mengambil kira pelan peningkatan keupayaan serta kelengkapan moden ketiga-tiga cabang ATM iaitu tentera darat dengan program 4NextG, tentera laut, 15to5 dan tentera udara dengan CAP55.
Salah satu perkara bakal membantu menjadikan rangka pelan pembangunan ini menjadi kenyataan adalah dengan inisiatif Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN).
Secara amnya, DIPKN bakal menyaksikan satu anjakan kemampuan hakiki industri berkaitan pertahanan dan keselamatan negara dengan membangunkan keupayaan industri tempatan.
Ia bukan sahaja dapat memenuhi sebahagian besar kehendak peralatan dan kelengkapan ketenteraan negara, tetapi bakal mampu menjana pendapatan melalui eksport sistem dan kelengkapan berkaitan kepada negara luar.
Mengikut perancangan asal, DIPKN bakal diperkenalkan pada 2021. Pada masa sama, menjelang 2022, kerajaan bakal mengkaji polisi berkaitan sumber tenaga mahir tempatan dalam bidang pertahanan.
Hasil kajian tersebut akan diwujudkan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) memberi fokus bagi peningkatan kemahiran dan kepakaran semua pemegang taruh berkaitan pertahanan negara, termasuk anggota ATM serta agensi sivil berkaitan pertahanan dan keselamatan.
Objektif RTKP adalah menambah baik koordinasi, perolehan dan perkongsian maklumat antara agensi berkaitan ketenteraan dan keselamatan serta pelbagai agensi lain yang relevan.
Hasil dari kajian ini akan dikemukakan dalam Pelan Pelaburan Pertahanan Negara dikenali sebagai 3PN, dijangka dimuktamadkan penghujung tahun 2021.
Jika dilihat kepada fasa pelan atau perancangan, Kertas Putih pertahanan, DIPKN, RTKP dan 3PN bakal memakan masa dua tahun.
Perancangan DIPKN bermula awal hingga penghujung tahun 2020, RTKP dari pertengahan 2020 hingga 2021, manakala 3PN dari awal hingga penghujung 2021.
Fasa pelaksanaan pula, DIPKN pada awal 2021, RTKP pada pertengahan 2021 dan 3PN pada awal 2022. Fasa ini akan merangkumi dua Rancangan Malaysia iaitu RMK12 sebagai Fasa 1 dan RMK13 untuk Fasa 2 dan bakal berakhir pada tahun 2030.
Malangnya sehingga hari ini, memasuki penggal akhir tahun 2023, semua yang dirancang masih lagi terus dalam fasa perancangan. DIPKN yang menjadi penentu hala tuju pembangunan industri pertahanan masih gagal dilaksana.
Ini bermakna, apa jua kontrak perolehan yang telah dibuat ATM semenjak tahun 2021 masih tidak mempunyai garis panduan terkini peranan bakal dimainkan industri pertahanan tempatan khususnya berkaitan pemindahan teknologi dan kepakaran dari pengeluar produk luar negara.
Peliknya gong DIPKN terus menerus dipalu oleh Kementerian Pertahanan seakan fasa pelaksanaan akan bermula dalam tempoh singkat, walhal ia telah tersasar jauh.
Pada Mac, Menteri Pertahanan telah mengadakan sesi sumbang saran atau brainstorming dengan 60 pemain industri pertahanan berkaitan DIPKN. Pada April, Ketua Setiausaha telah membentangkan draf akhir DIPKN dengan cadangan ia dilancar Perdana Menteri pada pameran LIMA 2023 pada Mei.
Malangnya sehingga September lalu, ketika pameran pertahanan DSEI 2023 di London, Menteri Pertahanan terus mengeluarkan kenyataan bahawa DIPKN masih sedang dibangunkan.
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca