KIRA-KIRA dua bulan lalu, ada debat berkaitan Model Baharu Ekonomi Malaysia antara Rafizi Ramli dan Syahir Sulaiman. Seorangnya menteri, seorang lagi ahli Parlimen yang datang dari Bachok, Kelantan. Antara yang dikritik MP Bachok itu ialah... Klik di sini untuk terus membaca

KIRA-KIRA dua bulan lalu, ada debat berkaitan Model Baharu Ekonomi Malaysia antara Rafizi Ramli dan Syahir Sulaiman. Seorangnya menteri, seorang lagi ahli Parlimen yang datang dari Bachok, Kelantan.

Antara yang dikritik MP Bachok itu ialah model ekonomi kita tiada identiti kerana ia seperti begitu banyak meniru laporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. Tentu ramai yang telah menontonnya.

Kita tak tahu sama ada kritikannya itu salah atau betul. Tapi, secara kebetulan Syahir ialah wakil rakyat dari Kelantan, yang negerinya memang terkenal hebat berniaga.

Walaupun Kelantan sering dimomokkan sebagai negeri miskin, realiti sebenarnya mungkin terbalik.

Di mana-mana pun, di tepi jalan atau di dalam gedung bangunan, seperti rakyatnya - atau bahasa mudahnya, orang Melayu, menguasai perniagaan mereka sendiri.

Dari kedai runcit sehinggalah gedung borong. Jarang-jarang bertemu restoran mamak di Kelantan. Gelang emas yang dipakai wanita Melayu Kelantan pun sudah menggambarkan mereka tidaklah susah.

Jadi, sepertinya Kelantan moden bukanlah miskin seperti selalu dihebohkan. Yang mungkin miskin ialah kerajaannya, tetapi bukan rakyatnya. Ia seperti sebuah negeri Melayu yang menguasai ekonomi dan kehidupan mereka sendiri.

Mungkin inilah ‘identiti’ yang cuba digambarkan Syahir dalam pidatonya. Tetapi disebabkan Rafizi yang memang terkenal dengan kebolehan debat dan angkanya, mungkin hujah Syahir tenggelam begitu sahaja.

Jadi, bila musuh politik menyerang Kelantan sebagai negeri miskin, mungkin sebab Kelantan tidak ada sistem air paip yang baik, atau lebuh raya indah merentas satu kawasan ke kawasan lain seperti banyaknya negeri lain.

Atau hanya kerajaan Kelantan sahaja miskin, tetapi rakyatnya tidak. Mungkin di tempat lain, kerajaan negerinya kaya, tetapi rakyatnya miskin? Kita bukan ahli ekonomi untuk menjawabnya.

Di banyak tempat di negara ini, banyak kita lihat kemajuan fizikal menakjubkan. Banyak bandar baru atau kawasan kilang dibangunkan. Tentu juga banyak pasar raya atau gedung beli belah besar. Tapi ia mungkin bukan isyarat orang Melayu sedang hidup senang.

Memanglah, banyak pembangunan baharu menyediakan peluang pekerjaan. Anak-anak muda boleh mendapat kerja.

Dengan slip gaji, mereka boleh membuat pinjaman bank dan membeli rumah atau kereta. Tapi akhirnya, mereka tetap hidup dibelenggu hutang. Kerana kita hanya sekadar menjadi pekerja, bila ekonomi merudum, ramai menganggur.

Untuk membolehkan orang Melayu setidak-tidaknya hidup lebih senang ialah dengan berniaga dan menguasai jaringan ekonomi mereka sendiri.

Jika pun kita ada 1,000 atau 2,000 orang nelayan di satu-satu kawasan, mereka tidak akan menjadi jutawan jika orang tengahnya ialah orang lain. Jika pun kita ramai yang menjadi petani atau pekebun, tetapi tak juga mampu keluar dari lingkaran kemiskinan jika baja atau jentera penuai itu tak dikuasai orang kita.

Tapi, walaupun tak semuanya, kelihatan masyarakat Kelantan menguasai jaringan perniagaan dalam banyak hal. Mungkin inilah sebab masyarakat Melayu Kelantan maju kerana mereka ada model perniagaan mereka sendiri. Mereka menjadi bukti bahawa orang Melayu boleh berniaga. Ramai daripada mereka bergelar usahawan ternama.

Jadi, apakah model terbaik ekonomi di negara kita? Mungkin yang terbaik ialah kedua-kedua rakyat dan kerajaan sama-sama kaya. Kita tak mahu kerajaan kaya, tetapi rakyat melarat. Atau rakyat hidupnya mewah, tetapi kerajaannya pula miskin. Mungkin Kelantan boleh melakukan sesuatu untuk menjadi model ekonomi baharu.

Tapi, sebelum itu, selesaikan dahulu isu air yang boleh merosakkan reputasinya. Isu kebersihan, penyediaan fasiliti di tempat awam dan bas percuma mungkin perlu difikirkan.

Jika semua ini boleh dilakukan, kita tak perlukan pun sebarang debat untuk membuktikan model siapa yang terlebih baik.

* Dr Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.

Klik di sini untuk terus membaca