SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, petang ini.
Sumber terdekat kepada seorang pemimpin kanan BN berkata, pertemuan tersebut adalah kebiasaan bagi Anwar bagi membolehkan Ahli Parlimen Tambun tersebut memaklumkan inti pati mesyuarat kabinet yang bakal dibincangkan pada setiap Rabu.
Bagaimanapun, sumber itu tidak menolak kemungkinan Anwar akan mengambil kesempatan daripada pertemuan itu bagi mempersembahkan senarai nama menteri kabinet baharu yang bakal dilantik bagi mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.
"Ya, kemungkinan besar (rombakan kabinet) berlaku esok (Rabu). Esok ada mesyuarat kabinet, jadi saya difahamkan Perdana Menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada petang ini.
"Selain bincang inti pati mesyuarat kabinet, mungkin juga Perdana Menteri akan persembah senarai nama menteri kabinet baharu bagi mendapatkan perkenan baginda.
"Soal berapa menteri yang bakal dilantik atau digugurkan, itu bergantung kepada budi bicara Anwar. Boleh juga jadi tiada rombakan langsung," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.
Sumber terdekat BN itu berkata demikian di tengah-tengah spekulasi Anwar dijangka mengumumkan rombakan kabinet pada Rabu, usai selesai mesyuarat kabinet.
Sumber rapat dengan Putrajaya memaklumkan sebuah portal berita tempatan bahawa pengumuman penting itu perlu dilaksanakan Perdana Menteri ke-10 (PMX) itu sebelum beliau berlepas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Khamis.
Jelas sumber, ia turut melibatkan beberapa portfolio dan kementerian kanan, antaranya Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Sumber Manusia (KSM), Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Terdahulu, Sinar Premium melaporkan sumber terdekat dengan seorang menteri BN menyuarakan kemungkinan berlaku pertukaran portfolio kementerian di antara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu rombakan kabinet yang dijangka dilaksanakan Anwar kelak.
Dengan kembalinya Ahmad Zahid menerajui Menteri Dalam Negeri, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka bakal mengambil alih Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang sebelum ini dipegang Presiden UMNO itu.
Dalam perkembangan lain, sumber terdekat pemimpin kanan BN itu turut memaklumkan satu pertemuan tertutup di antara Presiden UMNO dengan pucuk kepimpinan kanan dan barisan menteri BN bakal diadakan pada sebelah malam hari ini.
Bagaimanapun, ia menegaskan lokasi pertemuan itu dirahsiakan.
"Beberapa menteri BN turut difahamkan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri hari ini.
"Sama ada ini petanda berlaku rombakan kabinet besar-besaran pada esok (Rabu), saya tidak boleh menolak kemungkinan itu. Apa pun, kita tunggu sahaja sebarang pengumuman daripada Perdana Menteri selepas mesyuarat kabinet," jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca