BENTONG - Berbaki tiga hari kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, sokongan pengundi muda dan warga Felda menjadi kebimbangan terbesar buat Pakatan Harapan (PH) dalam memastikan sama ada Barisan Nasional (BN) mampu mengekalkan mandat tersebut.
Pengarah Pilihan Raya Parti Amanah Negara (Amanah) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Ahmad Wafiuddin Shamsuri bagaimanapun berkata, berdasarkan gerakan kempen daripada jenteranya sehingga kini, potensi kemenangan calon BN mencapai 80 hingga 90 peratus.
Menurutnya, sokongan padu akar umbi yang tinggal di Pelangai mampu merealisasikan kemenangan itu ditambah dengan keyakinan peralihan 2,031 undi PH kepada BN.
"Berdasarkan hasil turun padang kami di lapangan, potensi kemenangan kini antara 80 hingga 90 peratus.
"Jika peratusan keluar mengundi rendah, (sokongan) akar umbi di sini pula kuat, jadi saya meletakkan harapan yang tinggi untuk BN menang di Pelangai.
"Sebabnya pengundi PN kebanyakan daripada golongan anak muda yang berada di luar...pengundi di Felda (PN) menang banyak dalam saluran undi empat dan lima, kebanyakan mereka generasi kedua, tiga, yang kebanyakan mereka bekerja di luar,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau yang juga bekas calon PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) lalu berkata, sekiranya berlaku peratusan keluar mengundi rendah yang boleh memberi kelebihan kepada BN, tidak bermakna ia perlu diraikan.
Ini kerana, rakyat mempunyai tanggungjawab untuk kekalkan demokrasi yang baik untuk negara.
"Kalau peratusan keluar undi kurang, ia perkara yang tak sihat untuk negara kita,” katanya.
Namun, beliau yakin kebimbangan yang dinyatakan mampu diatasi dengan pendekatan terhadap pengundi hitam yang dilaksanakan jentera parti.
Bahkan sepanjang kempen setakat ini, Amanah berjaya mendapat hampir 50 ahli baharu yang menyertai parti itu.
"Apabila turun padang, kebimbangan sebelum ini berbeza daripada apa yang kita jangkakan.
"Contohnya di Felda Kemasul ada pengundi hitam yang kita kenal pasti, mereka ni boleh berbincang dan boleh kita yakinkan mereka untuk mengundi kita pada kali ini.
"Saya sendiri pengundi hitam dulu, siapa sangka sekarang dah jadi pengundi putih...sebab politik ni dinamik,” katanya.
PENERIMAAN MELAYU
Menurut anak jati Pelangai itu, PRK ini menjadi penentu penerimaan pengundi Melayu terhadap gabungan kerjasama BN-PH dalam Kerajaan Perpaduan.
Walaupun diakui agak ‘goyang’ dengan sentimen Melayu-Islam yang dimainkan lawan, beliau yakin warga Pelangai lebih tahu pilihan wakil rakyat terbaik untuk mereka.
"Saya membesar di Pelangai, saya kenal orang kampung saya. Pelangai berbeza kerana kebergantungan mereka kepada wakil rakyat amat tinggi.
"Jadi mereka memerlukan wakil rakyat yang selari dengan kepimpinan kerajaan negeri dan pusat untuk manfaat kepada mereka pada masa akan datang,” katanya.
Pada PRU lalu, Ahmad Wafiuddin tewas di Pelangai apabila hanya meraih 2,031 undi berbanding calon BN, Datuk Seri Johari Harun yang menang 7,308 undi manakala calon PN, Kasim Samat (3,250) dan calon Pejuang, Isa Ahmad (65).
PRK DUN Pelangai perlu diadakan setelah kerusi itu diisytiharkan kosong susulan Johari yang terlibat nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
BN meletakkan anak tempatan, Datuk Amizar Abu Adam manakala PN sekali lagi menampilkan semula bekas guru yang juga calon gabungan itu pada PRU15 lalu, Kasim Samat, manakala Haslihelmy DM Zulhasli menjadi lagi calon Bebas.
Klik di sini untuk terus membaca