CONTOH 1Misi: Mencari harga beras semasa di internet.
Medium: Pak Cik Google
Masa diperuntukkan: Dua minit (termasuk memilih jawapan yang meyakinkan)
Masa yang digunakan: Dua jam dengan carian terakhir ‘terkini tentang Puteri Sarah’.
Contoh 2Misi: Mencari minyak masak
Tempat: Kedai di belakang rumah
Masa diperuntukkan: 30 minit
Masa yang digunakan: Dua jam setengah, setelah pusing di tiga taman, berhenti 13 kali termasuk sembang dengan kawan tiga kali.
Contoh 3Misi: Minum
Tempat: Kantin pejabat
Masa diperuntukkan: 20 minit
Masa yang digunakan: Satu jam setengah, termasuk singgah di bilik kawan sepejabat dan bergosip dengan ‘tea lady’ di pantry.
Demikianlah tiga contoh mudah bagaimana kita menghabiskan masa setiap hari. Amat jarang setiap misi tugasan kita selesai dalam masa yang diperuntukkan. Ia sering meleret atas pelbagai sebab.
Jika dicampurkan dengan masa tidur, masa mandi, masa makan, masa menjelajah medsos, masa terperangkap dalam kesesakan jalan raya, masa melayan kawan, masa menguruskan suami dan anak-anak (bagi kaum wanita), masa menguruskan bakal isteri baharu (bagi lelaki), berapa jam sebenarnya waktu yang betul-betul kita gunakan untuk bekerja?
Tujuan tulisan ini adalah untuk mengajak anda dan saya mengurangkan aktiviti-aktiviti yang tiada dalam jadual tugasan asal itu, lalu menterjemahkannya kepada perkara-perkara yang lebih bermanfaat.
Daripada berborak kosong lebih baik jual insuran atau jadi broker hartanah; daripada menyibuk hal politik atau hal rumah tangga orang di medsos, lebih baik buat kuih atau kek atau biskut untuk ditumpang jual di kedai-kedai berdekatan. Daripada ‘asyik-asyik tidur, asyik-asyik tidur’, bukankah lebih elok ambil upah potong rumput atau berniaga air di tepi jalan?
Hidup ini keras dan ia tidak pernah memihak kepada sesiapa sahaja yang suka membazirkan masa. Kos sara hidup tidak akan menjadi lebih rendah hanya kerana keluhan dan rungutan kita.
Harus diingat zaman orang bergantung pada satu pekerjaan telah lama berlalu.
Zaman bapa dan datuk nenek kita dahulu lain keadaannya. Jadi guru dengan gaji 60 ringgit pun sudah lebih daripada cukup. Sudah boleh melaram dengan Vespa atau Lambretta ke sana ke mari.
Sebab itulah sekarang ini mencari pendapatan tambahan menjadi keperluan. Tidak penting sama ada ia secara kecil-kecilan atau sambilan, yang penting ia menambah jumlah wang yang kita dapat. Waima kadarnya hanya lima ringgit sehari, ia lebih daripada mencukupi untuk kita membeli sepeket gula premium setiap hari.
Jadi kepada yang sedang tidur, bangunlah. Manfaatkan masa. Jika boleh lakukan dua pekerjaan sehari, memang bagus. Siang bekerja di pejabat, malam bawa grab. Pagi menoreh, petang dan malam jual burger.
Jika itu menyulitkan, buat yang lebih mudah. Rancang pendapatan harian, mingguan, bulanan dan tahunan. Untuk bulanan tumpukan pada tugas hakiki anda, yang setiap hujung bulan akan memberikan anda gaji. Untuk harian pula anda boleh berniaga secara atas talian atau jadi pembantu gerai pada sebelah petang dan malam.
Mengambil upah mengemas rumah, memotong rumput, mengajar tuisyen bagi yang berkelayakan pada setiap hujung dan hari minggu tentunya menjamin anda ada pendapatan setiap minggu.
Pendapatan sampingan yang diperoleh secara harian dan mingguan itu sebaiknya diurus dengan cara ‘guna sebahagian simpan sebahagian’ bukannya ‘simpan sebahagian guna banyak bahagian’. Masukkan dalam ASB atau skim-skim lain yang terjamin selamat, dan dari itu akan terjanalah pula pendapatan tahunan anda.
Dalam tempoh dua tiga tahun pertama, kita mungkin tidak nampak sangat hasilnya. Ia mungkin sekadar memberikan kehidupan yang sedikit selesa. Tetapi selepas sepuluh lima belas tahun nikmatnya akan mula terasa apabila unit saham kita semakin banyak, wang di bank pula berkepuk-kepuk.
Tapi apabila duit dah banyak tu, janganlah bercinta dengan pempengaruh, dan jangan juga masuk politik....#dush!
*Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat
Klik di sini untuk terus membaca