SELEPAS kerja, saya dan rakan-rakan bersembang santai di sebuah restoran. Tiba-tiba Jai yang baharu sampai, membebel seraya menunjukkan sebuah berita di skrin telefonnya.
Apabila menekur ke skrin saya nampak wajah Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How. Beliau dikecam kerana dikatakan merujuk ayat-ayat al-Quran dalam memberikan pandangannya berhubung hal berkaitan politik.
Kami semua tidak setuju dengan tindakan Ahli Parlimen itu. Jadi, kami tidaklah berhujah panjang sambil tepuk-tepuk meja seperti selalu.
Namun, perbualan kami melarat tentang agama. Jai yang suka bertanya, mula mengemukakan soalan kepada kami, ‘Apa itu Islam? ’Alhamdulilah, saya teringat buku Tadabur Hikmah Hadis 40 Imam Nawawi oleh Dr Rozaimi Ramle.
Kebetulannya saya sedang membaca buku itu. Lantas, saya pun menjawab soalan Jai. Kata saya, terdapat riwayat yang disampaikan oleh Saidina Omar RA. Dalam sebuah majlis bersama Rasulullah SAW, malaikat Jibril muncul menyerupai manusia dan mengemukakan beberapa soalan kepada Baginda SAW.
Jibril bertanya Rasulullah SAW apa itu Islam? Dan Baginda menjawab dengan menyatakan apa yang terkandung dalam Rukun Islam iaitu mengucap dua kalimah syahadah, solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji.
Afandi yang mendengar jawapan saya pula mencelah, apa itu iman? Dari pada gayanya, saya mengagak yang Afandi tahu riwayat hadis itu. Lantas saya menjawab dengan ringkas bahawa iman itu ada enam rukunnya iaitu percaya kepada ALLAH, malaikat, kitab, rasul, hari akhirat serta percaya pada qada dan qadar.
Tanpa menanti Affandi bertanya, saya terus memperkatakan mengenai ihsan pula. Saya berkata, ihsan itu adalah satu kondisi bila mana ketika beribadah, kita seolah-olah melihat ALLAH. Tetapi oleh kerana kita tidak boleh melihat ALLAH, kita hendaklah maklum bahawa ALLAH sentiasa melihat kita. Sudahnya, petang itu saya menjadi ustaz yang baru nak start apabila mereka minta saya mengupas mengenai Islam, iman dan ihsan.
Rukun Islam, Iman dan Ihsan itu adalah keperluan fizikal, mental dan spiritual manusia. Rukun Islam itu memacu amalan Islam secara fizikal melalui perbuatan. Mengucap dua kalimah syahadah adalah lafaz, sementara solat, puasa, zakat dan haji adalah perbuatan yang melibatkan fizikal.
Rukun Iman pula adalah kefahaman Islam melalui daya mental. Percaya pada ALLAH, Malaikat, Kitab, Rasul, Hari Akhirat serta Qada dan Qadar kesemuanya memerlukan IQ untuk memahaminya. Sementara Rukun Ihsan pula adalah penghayatan kepada Yang Esa secara spiritual.
Kita banyak sekali pengetahuan mengenai Rukun Islam dan Rukun Iman, tetapi tidak banyak didedahkan mengenai Rukun Ihsan. Jika kita buat carian di Google atau YouTube, kita akan lihat betapa sedikitnya kupasan mengenai Rukun Ihsan berbanding dengan Rukun Islam dan Rukun Iman.
Buat saya, ini menyumbang kepada kecacatan kefahaman dan amalan umat Islam. Ramai yang mudah sahaja mempraktikkan Rukun Islam, menunaikan solat wajib dan solat sunat yang pelbagai, kerap berpuasa atau berkali-kali menunaikan haji. Seperti Rukun Islam, ramai yang jelas memahami Rukun Iman. Namun, mereka kalah dalam menghayati Rukun Ihsan.
Sebab itulah terdapat mereka yang rajin bersolat tetapi berperangai tidak senonoh, kerap berpuasa tetapi tidak punyai sifat penyabar atau setiap tahun ke Makkah tetapi tidak takut makan rasuah.
Mereka yang hanya memahami Rukun Islam dan Rukun Iman, masing-masing tidak berasa takut berbuat dosa kerana punyai panjang angan-angan bahawa ALLAH Maha Pengampun dan mereka pasti akan diberi masa untuk bertaubat.
Sedangkan jika Rukun Ihsan kuat terpasak dalam hati, diri akan sentiasa rasa diperhatikan. Setiap langkah, kata dan perbuatan dirasai sedang dilihat. Maka dengan itu mereka tidak berani berbuat jahat.
*Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca