SHAH ALAM - Kebanyakan negara Asia Tenggara termasuk Malaysia akan terjejas jika pertumbuhan ekonomi China lebih perlahan pada tahun depan, sebagaimana ramalan Bank Dunia.
Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Firdaos Rosli berkata, kebanyakan negara terlibat mempunyai hubungan dagangan yang besar dengan China dan apa sahaja berlaku di negara itu akan memberi kesan secara langsung.
Menurutnya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia misalnya, menyederhana kepada 2.9 peratus pada suku tahun kedua tahun ini, kesan tempias daripada ekonomi Amerika Syarikat, Eropah dan China.
"Ramalan ini berasas kerana Bank Dunia akan membuat unjuran KDNK untuk kebanyakan negara di dunia termasuk Malaysia sebanyak dua kali setahun.
"Unjuran berkurang pertumbuhan KDNK China bukanlah sesuatu yang aneh sebab selepas perang perdagangan dengan Amerika Syarikat, China telah mengumumkan dual circulation strategy, dengan menganggap bahawa ekonomi negara itu akan mengimbangkan kebergantungan kepada eksport dan memberi lebih tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi dalaman mereka.
"Jangkaan Bank Dunia agak jauh iaitu kepada 4.4 peratus pada 2024, menurun daripada jangkaan 4.8 peratus pada April lalu. Walaupun tidak besar dari aspek peratusan tetapi dari aspek nilai nominal, ia sangatlah besar kerana pertumbuhan KDNK suku lepas sahaja bersamaan dengan 45 kali ganda KDNK Malaysia.
"Oleh itu, ia tentu akan memberikan impak sama ada besar atau sangat besar,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Bank Dunia sebelum ini meramalkan pertumbuhan China lebih perlahan pada tahun depan, sekali gus memberi amaran bahawa pembangunan ekonomi Asia Timur berdepan dengan prospek terburuk dalam tempoh lima dekad.
Menurut portal Financial Times, Bank Dunia turut menzahirkan kebimbangan pergerakan ekonomi China dan kesannya terhadap Asia, dengan pembuat dasar menjangkakan pertumbuhan terendah dalam beberapa dekad iaitu sekitar lima peratus untuk 2023.
Bagaimanapun, Firdaos berkata, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) China meningkat ke atas paras 50 mata pada September yang pertama sejak lima bulan lepas, sekali gus mencerminkan usaha-usaha kerajaan mereka meningkatkan semula aktiviti ekonomi telah berhasil.
"Masih terlalu awal untuk ramal tetapi jika PMI China kekal berada di atas paras 50 mata untuk bulan-bulan akan datang, mungkin impaknya tidaklah seteruk mana.
"Jadi, mungkin unjuran untuk tahun depan tidaklah seteruk dijangkakan, selagi tiada kemelut ekonomi dunia disebabkan oleh kadar faedah di negara-negara maju yang akan kekal tinggi pada tahun ini. Impak tetap akan ada, cuma besar atau sangat besar,” jelasnya.
Ditanya tentang persediaan yang harus dilakukan Malaysia, ujarnya, kerajaan sepatutnya sudah mempunyai solusi apabila melihat trend global ketika ini.
"Tapi bila kerajaan hendak turunkan subsidi dan naikkan kadar inflasi tatkala persekitaran luaran yang semakin suram, saya tak faham apa rasionalnya langkah itu apabila harga barang kekal tinggi,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca