ROMBAKAN kabinet dijangka akan berlaku selepas pilihan raya kecil (PRK) Pelangai dan kemungkinan besar sebelum pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober. Ini disebabkan oleh dua faktor.
Pertama, kekosongan yang ditinggalkan kerana pemergian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, mantan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. Kedua, keputusan pilihan raya negeri (PRN) Ogos yang kurang memuaskan.
Sungguhpun PRN bukan referendum kepada kerajaan pusat yang didakwa oleh sesetengah pihak, ia sudah pasti satu pengukur kejayaan kerajaan.
Rombakan kabinet boleh menghantar isyarat bahawa kerajaan mendengar rintihan rakyat dan bertekad mengubahsuai hala tuju atau pendekatannya dalam pentadbiran. Tidak cukup kalau beberapa orang menteri – reformasi institusi, pengangkutan, alam sekitar sebagai contoh – yang terseri.
Namun demikian, penting untuk kita memahami had-had yang dihadapi oleh Perdana Menteri dalam rombakan kabinet. Jangan kita harapkan keajaiban yang mengubah rupa bentuk bumi.
Pertama, beliau terpaksa mengimbangkan perwakilan antara parti, kaum, wilayah, jantina, dan generasi.
Sebagai contoh, kita cuma mempunyai lima orang (18 peratus) wanita di kalangan 28 menteri. Sejak tahun 2018, ini adalah kadar paling tinggi dalam negara kita tetapi jauh terkebelakang di seluruh dunia. Jika ada menteri wanita yang digugurkan, perlu ada menteri wanita baharu yang berkaliber dilantik sebagai ganti.
Kedua, sebahagian besar masalah yang dihadapi oleh Malaysia seperti nilai ringgit yang menjunam kerana kadar faedah tinggi di Amerika Syarikat dan kenaikan harga beras kerana larangan import India disebabkan faktor antarabangsa. Tiada menteri ajaib di Malaysia yang dapat ubah realiti di Amerika Syarikat atau India.
Pun begitu, Perdana Menteri ada ruang untuk memperbaiki prestasi kabinetnya, atau sekurang-kurangnya tidak membawa kepada kekecewaan yang lebih besar.
Pertama, Perdana Menteri harus melepaskan portfolio Kewangan dan Wilayah Persekutuan (bukan kementerian lagi) kepada menteri lain demi pengkhususan serta semakan dan imbangan.
Amalan buruk Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan bermula era Tun Dr Mahathir pada tahun 2001 dan harus dihentikan oleh Pakatan Harapan (PH) seperti dijanjikan dalam manifestonya pada 2018. Biarlah kita ada seorang Menteri Kewangan sepenuh masa yang menjaga kesihatan fiskal dan kewangan negara.
Kedua, Perdana Menteri harus menggalakkan presiden parti-parti kerajaan yang sudah berusia, seperti Amanah dan UMNO, untuk bersara dan memberi ruang kepada pemimpin parti yang lebih muda.
Ini membolehkan pembaharuan tanpa menggugat perwakilan parti.Ketiga, Perdana Menteri mesti mengelakkan daripada melantik semula menteri-menteri yang pernah didakwa dalam kes rasuah untuk memegang portfolio lama.
Sebagai contoh, jika seseorang itu mempunyai rekod didakwa (sungguh pun belum disabit) menerima sogokan untuk pemberian visa warga asing, janganlah dia diberi amanah sekali lagi untuk memegang Kementerian Dalam Negeri yang menjaga Jabatan Imigresen.
Keempat, janganlah ada saiz kabinet yang besar dengan barisan menteri dan timbalan menteri demi memuaskan pelbagai pihak. Seboleh-bolehnya kekalkannya pada 55 orang.
Sebagai pelengkap kepada rombakan kabinet, Parlimen harus menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) untuk menangani isu-isu mendesak seperti kos sara hidup dan keterjaminan makanan.
Dengan melibatkan ahli Parlimen pembangkang dan backbenchers kerajaan dalam JPKP, penyampaian suara rakyat dan dasar boleh dipertingkatkan.
Apabila wakil rakyat pembangkang pun terlibat dalam mencari penyelesaian, tak bolehlah mereka serang menteri seolah-olah mereka sendiri ada penawar ajaib.
*Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway
Klik di sini untuk terus membaca