SHAH ALAM - Masih selamat untuk rakyat Malaysia melancong ke Thailand meskipun negara dikejutkan dengan insiden tembakan di pusat beli-belah Siam Paragon di Bangkok pada Selasa?
Menurut Pakar Keselamatan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Profesor Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam, ia berikutan insiden tragis itu bersifat terpencil dan tidak memberi masalah besar kepada pelancong asing.
"Insiden tembakan di Thailand memang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi bukan bermakna ada pengaruh pengganas di situ.
"Dalam kes ini, ia berkait dengan masalah mental suspek. Maknanya ia kes terpencil, melainkan ia dilakukan oleh satu kelompok yang ada fahaman atau ideologi tertentu. Itu baru akan beri ancaman dan risiko yang besar,” katanya kepada Sinar Harian.
Media sebelum ini melaporkan, remaja lelaki berusia 14 tahun yang terlibat dalam insiden Siam Paragon disyaki mempunyai masalah kesihatan mental.
Sekurang-kurangnya dua maut dalam insiden jam 4.50 petang waktu tempatan.
Kejadian tembakan besar-besaran jarang berlaku di Thailand, namun ini adalah serangan senjata api ketiga sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada tahun 2020, seorang anggota tentera menembak dan membunuh 29 orang dan mencederakan 58 lagi dalam kejadian amuk merentasi empat lokasi di sekitar bandar timur laut Nakhon Ratchasima.
Pada 6 Oktober tahun lepas, 36 orang terbunuh dalam serangan senjata api dan pisau di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di wilayah Nong Bua Lamphu.
Dalam pada itu, ujar Mohd Mizan, aliran pelancong rakyat Malaysia mungkin sedikit terganggu susulan insiden tersebut namun ia tidak menjejaskan ekonomi Thailand.
"Ini kerana rakyat Malaysia yang sudah ada perancangan perjalanan ataupun urusan perniagaan di sana, saya nampak ia akan berjalan seperti biasa.
"Sama juga seperti di Selatan Thailand, walaupun berlaku letupan bom tetapi kemasukan rakyat Malaysia ke situ tidak begitu terjejas.
"Maknanya hanya segelintir yang ambil keputusan tarik diri atau membatalkan perjalanan, majoritinya tidak menganggapnya sebagai satu ancaman besar,” ujarnya.
Januari lalu, Sinar Harian melaporkan rakyat Malaysia gemar ke Thailand untuk menikmati makanan kerana bukan sahaja disifatkan lebih sedap, malah saiz hidangannya lebih besar walaupun harganya lebih kurang sama berbanding di negara ini.
Malah, keghairahan lebih 1.5 juta rakyat kita melancong ke negara jiran itu menyaksikan lebih RM3 bilion wang negara mengalir keluar dengan kira-kira RM600 juta dibelanjakan untuk makan-makan sahaja.
Agensi pelancongan ambil langkah berjaga-jaga Sementara itu, insiden tembakan rambang di Thailand tidak memberi kesan terhadap agensi pelancongan Malaysia.
Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Qaid Travel Sdn Bhd, Suzliana Mohamad berkata, pihaknya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan peka terhadap perkembangan semasa demi memastikan keselamatan pelanggan.
"Antara langkah yang diambil adalah memastikan tempat dituju selamat dengan mempertingkat kawalan keselamatan oleh rakan strategik kami di sana,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, bagi memastikan keselamatan pelanggan lebih terjamin, pihak agensi turut menyediakan insurans tempatan dan negara yang dituju.
"Selain jaminan keselamatan, insurans ini ibarat sediakan payung sebelum hujan sekali gus melancarkan urusan perjalanan pelancong ketika berada di luar negara,” katanya.
Beliau berkata, perjalanan pelancong tempatan ke Negara Gajah Putih itu menunjukkan peningkatan sejak Februari lalu.
"Bukan sahaja Thailand, kami menerima permintaan daripada pelanggan sama ada persendirian, kumpulan, organisasi korporat mahupun kerajaan secara berterusan untuk menguruskan perjalanan mereka ke luar negara,” katanya.
Ujar Suzliana, Hatyai dan Bangkok adalah antara lokasi yang menjadi tumpuan pelancong Malaysia ke Thailand dengan pelbagai tujuan.
"Ada yang pergi untuk urusan perniagaan, menikmati suasana berbeza, menjadi food hunter untuk menikmati makanan, melihat kebudayaan, berlibur dan sebagainya,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca