MESKIPUN India merupakan negara pengeksport beras terbesar di dunia, mereka terpaksa melarang aktiviti eksport beras putih bukan Basmati pada Julai lalu gara-gara kenaikan harga makanan domestik, kadar inflasi yang tinggi serta kebimbangan dilanda fenomena El Nino. Langkah ini mengakibatkan bekalan beras global terkesan, termasuk Malaysia.
Sebagai makanan ruji bagi kebanyakan rakyat, penghasilan dan perolehan beras yang mencukupi serta stabil hendaklah dinilai sebagai salah satu elemen terpenting dalam keterjaminan makanan negara kerana kedudukan Malaysia di Asia Tenggara menjadikan kita antara rantau yang paling terdedah dengan impak perubahan iklim.
Satu kajian daripada Institusi Kajian Ekonomi Taipei ada menggariskan empat komponen yang menjadi tonggak kepada ekosistem keterjaminan makanan iaitu ketersediaan makanan, akses kepada makanan, kestabilan bekalan makanan dan penggunaan makanan.
Komponen ketersediaan makanan perlu didahulukan sebelum membicarakan komponen lain. Dengan unjuran penduduk yang bakal meningkat kepada 40.7 juta orang pada tahun 2040, Malaysia perlu menambah keluasan tanah pertanian menjadi 1.5 juta hektar berbanding 817,000 hektar sekarang bagi tujuan tanaman makanan, penternakan dan perikanan.
Indikator utama seperti indeks harga pengguna boleh digunakan bagi menilai perubahan harga kumpulan utama barangan dan perkhidmatan termasuk makanan. Keterjaminan makanan juga bermakna ia mesti diuruskan dengan bersih dan diambil dalam kuantiti zat yang diperlukan.
Namun kita tidak boleh berhenti setakat itu sahaja kerana krisis iklim yang semakin mengganas memerlukan sinergi antara penggubal dasar, agensi kerajaan dengan kumpulan petani untuk bertindak seiringan.
Ancaman perubahan iklim ini sedang memangsakan sektor pertanian dan tahap keterjaminan makanan kita melalui tiga senario; (1) mengubah persekitaran yang ideal untuk tanaman tumbuh; (2) merosotkan taraf hidup para petani; dan (3) menyusutkan kualiti produk tani.
Peningkatan karbon dioksida (CO2) dalam atmosfera kita tidak pernah berjaya diperlahankan sejak era Revolusi Industri. Kesan peningkatan ini bersama-sama gas rumah hijau lain telah memerangkap lebih banyak haba sekali gus meningkatkan suhu global dan mengakibatkan kemarau berterusan dan peningkatan paras air laut.
Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) pada Mei lalu mencatatkan kerugian lebih RM2.7 juta kerana hasil padi di Kelantan menurun hampir 30 peratus akibat musim kemarau. Peningkatan paras air laut juga berpotensi mengancam kawasan lembah delta yang menjadi lokasi pilihan penanaman padi seperti di Delta Mekong, Vietnam.
Menurut laporan khas yang diterbitkan oleh Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC), peningkatan CO2 telah menyebabkan penurunan kandungan zat penting dalam beras seperti protein, zink dan vitamin B.
Negara memerlukan cita-cita nasional bagi menggerakkan fokus, jentera dan kepakaran ke arah keterjaminan makanan demi generasi mendatang. Sekurang-kurangnya kerajaan pada hari ini boleh menyambut Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 sebagai komitmen yang setara seperti New Industrial Master Plan 2030.
Jika diberi pilihan industri yang perlu diberikan suntikan pelaburan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang lebih agresif, jawapannya ialah industri pertanian. Antara inovasi yang perlu diberikan perhatian adalah seperti benih yang mampu berdaya tahan dalam cuaca ekstrem dan automasi pengurusan ladang.
Pemain industri turut boleh meneroka amalan ‘regenerative agriculture’ yang menumpukan praktis pertanian yang lestari berdasarkan beberapa prinsip seperti pemeliharaan kesuburan tanah, kepelbagaian biodiversiti dan penyerapan karbon. Langkah ini dapat menjamin kelangsungan jangka hayat kawasan pertanian yang semakin tenat.
Pandemik yang lalu sudah mengajar kita apa yang akan berlaku jika sumber makanan menjadi terhad. Jangan biarkan krisis iklim pula menelan makanan kita!
* Ahmad Shauqi Johara adalah dari Yayasan Strategik Lestari
Klik di sini untuk terus membaca