SHAH ALAM - Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) kesal dengan penurunan harga padi daripada RM1,700 untuk satu tan metrik kepada RM1,200 dalam tempoh tidak sampai sebulan.
Pengerusinya, Mohd Fuad Yaacob mendakwa, kejatuhan nilai yang kembali kepada harga lantai itu berlaku susulan tindakan kerajaan yang ingin mengekalkan harga beras tempatan RM26 sekampit atau RM2.60 sekilogram (kg).
Keadaan itu katanya, memberi tekanan kepada petani dalam keadaan kos pengeluaran padi yang semakin meningkat.
"PeSAWAH baru sahaja ingin menarik nafas lega selepas pengilang menaikkan harga padi kepada RM1,700 untuk satu tan metrik bulan lepas tetapi semalam (Selasa), kami dimaklumkan ia kembali kepada harga lantai iaitu RM1,200.
"Ia sangat mengecewakan tambahan pula masih ada petani yang belum selesai menuai hasil bagi musim ini.
"Mewakili semua pesawah, saya sangat kesal tetapi kita tidak boleh salahkan sepenuhnya pengilang kerana mereka juga berdepan masalah sama,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.
Mohd Fuad berkata, sudah tiba masanya juga untuk kerajaan mengkaji kembali harga lantai padi yang kali terakhir dibuat pada tahun 2014, memandangkan petani terbeban dengan kos pengeluaran susulan kenaikan harga racun dan baja.
"Kerajaan perlu menyatakan pendirian tempoh harga RM26 sekampit untuk beras tempatan dikekalkan.
"Kalau kerajaan tetap ingin harga itu untuk tempoh lima ke 10 tahun, golongan petani perlu diberikan subsidi tambahan,” katanya.
Di ALOR SETAR, KEDAH, harga belian padi yang turun mendadak memberi kesan besar kepada petani yang masih belum menuai padi musim ini.
Petani, Zulkifli Derani, 32, berkata, semasa pengumuman harga padi naik kepada RM1,700 untuk satu tan metrik semua petani berasa lapang dada, namun semuanya tidak kekal lama selepas harga ini turun kepada RM1,200.
"Setakat ini, sudah menuai padi kira-kira satu hektar. Ada lagi tiga hektar yang belum dituai, tiba-tiba dapat berita harga padi menjunam, siapa yang tak kecewa?" katanya.
Zulkifli berkata, pengumuman itu sepatutnya dibuat selepas musim penanaman padi tamat.
"Hendak umum apa pun, biarlah habis musim ini dulu. Bagi selesai semua, barulah petani tak kelam-kabut,” katanya.
Seorang lagi petani, Mohd Sobri Osman, 60, percaya penurunan harga belian padi itu sebagai langkah untuk mengurangkan harga beras, namun nasib para pesawah juga perlu diambil kira.
"Kita tengok harga yang diturunkan itu lajak lebih daripada musim lepas iaitu RM1,280, kemudian turun lagi kepada RM1,200.
"Mujur saya menuai awal musim ini. Tapi kasihanlah kepada kawan-kawan yang belum ambil padi. Kos buat bendang musim ini dah banyak, tiba-tiba padi dibeli harga murah,” katanya.
Bagi Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Petani MADA, Che Ani Mat Zain, kerajaan dan pengilang perlu adil dan bertimbang rasa kepada petani.
"Kerajaan perlu kaji semula harga siling beras yang munasabah. Harga padi dan beras perlu selaras dan seimbang kepada harga yang lebih adil antara petani, pengilang dan pengguna,” katanya.
Untuk rekod, Padiberas Nasional Bhd (Bernas) pada 1 September lalu mengumumkan pelarasan harga jualan beras putih import seluruh negara daripada RM2,350 setan kepada RM3,200 setan sejajar harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.
Maklum Bernas, faktor luaran seperti iklim tidak menentu dan kadar pertukaran mata wang yang lemah mencetuskan kesan ketara ke atas pasaran dagangan beras global ditambah dengan kesan larangan pengeksportan beras putih India baru-baru ini.
Padi ikut harga lantai KPKM Sementara itu, Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood berkata, penentuan harga padi ditetapkan oleh pengilang berdasarkan harga lantai dikeluarkan kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Menurutnya, kerajaan menetapkan harga lantai padi RM1,200 untuk satu tan metrik dan pengilang tidak boleh membelinya kurang daripada nilai itu.
"Ia bergantung kepada permintaan dan penawaran kilang. Kalau mereka sepakat untuk naik, maka akan naik begitu juga sebaliknya.
"Dalam hal ini, kerajaan hanya tetapkan harga lantai iaitu minimum RM1,200. Kalau mereka beli bawah RM1,200, saya tangkap. Kalau beli harga lebih daripada itu tidak salah," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau mengulas mengenai penentuan harga padi di negara ini.
Sinar Harian melaporkan golongan pesawah ketika ini terbeban selepas pengilang membeli padi pada harga lantai RM1,200 untuk satu tan metrik berbanding RM1700 bulan lalu.
Padiberas Nasional Bhd (Bernas) pada 1 September lalu, mengumumkan pelarasan harga jualan beras putih import seluruh negara daripada RM2,350 setan kepada RM3,200 setan sejajar harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.
Menurut Bernas, faktor luaran seperti iklim yang tidak menentu dan kadar pertukaran mata wang yang lemah, secara kolektif mencetuskan kesan ketara ke atas pasaran dagangan beras global ditambah dengan kesan larangan pengeksportan beras putih diumumkan India baru-baru ini.
Susulan itu, rakyat beralih kepada beras tempatan hingga mengakibatkan bekalan makanan ruji tersebut sukar diperoleh ketika ini.
Dalam pada itu, Azman sebelum ini berkata, kenaikan harga beras putih import memberi manfaat kepada industri padi dan beras negara kerana ia mendorong peningkatan permintaan pengguna kepada beras putih tempatan.
Akuinya, kenaikan harga beras putih import di seluruh negara berlaku susulan penyelarasan harga oleh Bernas, menyebabkan pengguna kini lebih cenderung membeli beras putih tempatan yang dijual pada harga dikawal iaitu sekitar RM2.60 sekilogram atau RM26 sekampit.
Klik di sini untuk terus membaca