DEWAN Negara telah meluluskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) pada 26 September lalu dengan undian sebulat suara ahli Dewan Negara.
Usul ini berjaya diluluskan setelah mengambil masa enam hari persidangan melibatkan seramai 44 orang ahli Dewan Negara yang berbahas dan memberi maklum balas kepada 26 kementerian. KSP RMK12 menelan belanja sekitar RM415 bilion merangkumi 17 anjakan besar dalam aspek ekonomi.
Persoalannya, apakah tujuan KSP RMK12 ini dibahaskan dan dirangka? KSP RMK12 itu disediakan bagi mengukur pencapaian ekonomi pada tahun 2021-2022, serta hala tuju tahun 2023-2025 ke arah mencapai negara mampan, sejahtera dan berpendapatan tinggi dengan mengambil kira cabaran domestik dan trend global semasa.
Dari perspektif mahasiswa yang melihat kepada cabaran yang dihadapi dalam konteks isu dunia seperti peperangan Rusia-Ukraine, pemberhentian eksport makanan ke Malaysia dan pelbagai isu global telah mempengaruhi penggubalan dasar dan rancangan kerajaan.
Sebagai contoh, krisis ekonomi yang melanda Rusia dan Ukraine memberikan implikasi kepada Malaysia yang bergantung eksport bahan mentah menyebabkan negara terpaksa mengubah dasar kebergantungan petroleum dan arang batu dari Rusia serta meratifikasi 16 perjanjian perdagangan bebas khusus dengan negara pengeksport bahan mentah yang lain. Ini adalah salah satu contoh perubahan dasar yang dilakukan kesan daripada cabaran trend global semasa.
Jika dikaitkan dengan KSP RMK12 ini, ia berubah daripada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) kerana RMK11 berfokuskan kepada pertumbuhan ekonomi berpaksikan rakyat tetapi RMK12 lebih tertumpu kepada mencapai negara berpendapatan tinggi tetapi berpaksikan kepada teknologi tinggi untuk menarik pelaburan asing yang memberikan keuntungan melalui pemindahan teknologi dan pembukaan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Selain itu, jika dinilai secara teliti, dasar ini akan sentiasa berubah melihatkan kepada trend global semasa dan keperluan yang dikehendaki oleh rakyat. Ini kerana dasar yang tetap dan tidak melihat kepada perkembangan isu semasa dan permintaan akan menyebabkan dasar itu tidak berfungsi untuk menyelesaikan punca kepada sesuatu masalah.
Daripada 17 anjakan besar yang digariskan dalam RMK12, terdapat pelbagai anjakan yang dilihat terkait dengan mahasiswa tetapi penulis ingin fokus kepada anjakan yang paling hampir dengan mahasiswa iaitu tumpuan ke-29 berkenaan ketersediaan bakat masa hadapan di bawah sub tumpuan pembangunan pelan untuk penyeragaman pendigitalan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Perkara ini mencuri tumpuan kerana jika dilihat ia sejajar dengan Pelan Strategik Pendigitalan Kementerian Pengajian Tinggi 2021 – 2025. Pelan ini dirangka bertujuan untuk menyediakan sebuah rangka kerja pendigitalan kementerian yang lebih komprehensif dan holistik. Perkara ini juga bertujuan bagi mengatasi isu semasa Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan memacu ke arah kecemerlangan sistem penyampaian Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berteraskan ICT.
Dari perspektif mahasiswa, pelan tindakan ini adalah penting kerana sudah tiba masanya pembelajaran di peringkat tinggi menggunakan ICT dengan kadar sepenuhnya. Jika dinilai daripada kebanyakan negara maju seperti Finland, Australia, Kanada dan sebagainya sudah mengimplementasikan penggunaan ICT secara menyeluruh dalam pendidikan tinggi mereka.
Malaysia tidak seharusnya jauh ketinggalan dari aspek pendigitalan pendidikan kerana dunia sudah berevolusi daripada Masyarakat 1.0 dan yang terbaharu ialah Masyarakat 5.0. Malah, di bawah blue print Pelan Strategik Pendigitalan Kementerian Pengajian Tinggi 2021 – 2025 turut menekankan akses internet kepada pelajar.
Internet merupakan perkara asas yang menjadi kunci kepada pembelajaran digital mahupun pengoperasian digital. Maka, sekiranya kemudahan asas ini tidak dapat disediakan dengan baik, mana mungkin kita boleh mengadaptasikan pelan ini secara holistik di peringkat pengajian tinggi.
Capaian internet Pendidikan digital dan internet tidak dapat dipisahkan ibarat isi dan kuku. Campur tangan antara pihak berkepentingan perlu dilaksanakan dengan segera bagi memastikan isu capaian internet dan ICT di peringkat pengajian tinggi dapat diatasi dengan segera.
Memetik kenyataan Menteri KPT, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyatakan bahawa kementerian telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan peruntukan daripada Kementerian Kewangan bagi melaksanakan projek khasnya di beberapa universiti yang mengalami masalah dan tiada capaian internet.
Antara yang terbaharu ialah Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang telah memperuntukkan hampir RM10 juta untuk menaik taraf kelajuan capaian internet di universiti itu daripada 1 gigabit sesaat (Gbps) kepada 6.4 Gbps.
Inisiatif ini secara tidak langsung akan memudahkan urusan pembelajaran di kampus sekali gus mampu meningkatkan kemenjadian mahasiswa untuk mempelajari dan meneroka pelbagai ilmu dan kemahiran.
Masalah capaian internet di kampus ini memberikan impak yang besar kepada mahasiswa kerana mereka bergantung harap sepenuhnya kepada internet. Institusi pengajian tinggi (IPT) tidak sepatutnya berhadapan dengan masalah seperti capaian internet kerana ia merupakan perkara yang wajib disediakan kepada seluruh mahasiswa tanpa sebarang alasan dan kompromi.
Oleh sebab itu, penulis memuji usaha baik KPT dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dalam usaha menambah baik capaian internet di setiap IPT di negara ini.
Pada pandangan penulis, KSP RMK12 merupakan kerangka dasar yang penting buat masa ini kerana segala perkara yang berkaitan dengan pembangunan ekonomi dan penstrukturan perancangan adalah dipacu oleh KSP RMK12 ini.
Malah, RMK12 sudah memasuki tahun ketiga pelaksanaannya dan negara kita berhadapan dengan kekangan pada fasa awal akibat penutupan sektor ekonomi pada tahun 2021 dan dibuka sepenuhnya pada tahun 2022 menyebabkan pelaksanaan RMK12 bergerak sedikit perlahan daripada yang dirancang.
Sekiranya pada kajian separuh penggal ini berhadapan masalah dan tidak mampu untuk mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030, seharusnya perlu wujud langkah progresif untuk mengubah dasar, merencanakan rancangan baharu bagi memastikan RMK12 ini mampu menempuh cabaran masa hadapan.
Diharapkan melalui usul KSP RMK12 yang telah diluluskan ini dapat memberikan sinar baharu buat mahasiswa dalam konteks pendigitalan pendidikan memandangkan kita sedang berada dalam Revolusi Industri 4.0.
*Muhammad Aqua Nafis Mohd Nasir ialah Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Sejarah (PERMAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Dr Nurul Asyikin Hassan ialah Penasihat PERMAS UPSI.
Klik di sini untuk terus membaca