BIARPUN pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal diadakan tahun depan, namun kehangatan bahangnya kini terasa apabila timbul dakwaan wujudnya ‘perang dingin’ antara Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Mantan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman ketika dihubungi berkata, walaupun tiada perbalahan secara terbuka, namun beliau nampak memang wujud pergeseran antara Muhyiddin dan Hamzah kerana pelbagai isu.
Difahamkan, pergeseran itu berlaku kerana Hamzah terasa hati dengan tindakan Muhyiddin yang tidak melibatkan beliau dalam urusan pemilihan calon Bersatu yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Justeru katanya, tidak hairanlah jika Hamzah sering menyatakan bahawa beliau lebih selesa mengadakan mesyuarat di luar ibu pejabat Bersatu dengan alasan ruang sempit.
"Keadaan bertambah meruncing apabila wujud suara akar umbi Bersatu yang mahu melihat Hamzah mengambil alih pucuk pimpinan parti daripada Muhyiddin susulan perkembangan politik tanah air mutakhir ini.
"Bagi akar umbi, Bersatu memerlukan seorang pemimpin yang kuat seperti Hamzah untuk memimpin parti kerana kepimpinan Muhyiddin semakin lemah selepas Perikatan Nasional (PN) kalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, bulan lalu.
"Mereka melihat kekalahan PN dalam dua PRK itu menunjukkan pengaruh dan aura Muhyiddin kini semakin berkurangan termasuk di negeri kelahirannya sendiri, Johor,” ujarnya.
Tambahnya, Muhyiddin juga melakukan beberapa kesilapan yang akhirnya menjadi ‘senjata makan tuan’ misalnya pelantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Kewangan dengan harapan beliau akan menyertai Bersatu.
Bagaimanapun ulasnya, perkara sebaliknya berlaku apabila Tengku Zafrul bukan hanya tidak menyertai Bersatu, malah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu sebenarnya sudah lama menjadi ahli UMNO.
"Kelemahan dan keputusan Muhyiddin itu menunjukkan beliau kini tidak lagi layak untuk terus menerajui Bersatu dan PN,” katanya.
Jelasnya, walaupun kurang sebulu dengan Muhyiddin, namun Hamzah tidak akan ‘melanggar’ bekas Perdana Menteri itu untuk merebut jawatan Presiden, sebaliknya beliau lebih selesa bertanding kerusi nombor dua parti yang kini disandang oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Muhammad Faiz tidak menolak kemungkinan berlaku pertembungan sengit antara kumpulan pemimpin yang menyokong Muhyiddin dan Hamzah dalam pemilihan parti tahun depan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden, ketua sayap dan MPT.
Antara pemimpin menyokong Hamzah yang mungkin bertanding jawatan Naib Presiden dan Ahli MPT Bersatu termasuklah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, mantan Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Dr Ab Latiff Ahmad, bekas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid dan mantan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Kem Muhyiddin pula terdiri daripada Ahmad Faizal, mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin serta mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rina Harun.
"Keputusan sama ada Hamzah berani mencabar kedudukan Muhyiddin atau tidak bergantung kepada sama ada bekas Menteri Dalam Negeri itu melepasi syarat tempoh minimum berapa tahun menjadi ahli dan berapa lama memegang jawatan dalam parti,” katanya.
Sementara itu, berdasarkan perlembagaan parti, mana-mana ahli yang berhasrat untuk bertanding jawatan Top 5 atau kedudukan lima tertinggi parti perlu menganggotai MPT sekurang-kurangnya dua penggal penuh.
Antara pemimpin MPT yang dikatakan melepasi syarat sudah menjadi ahli selama dua penggal untuk bertanding jawatan Top 5 termasuklah Hamzah, Ahmad Faizal, Rosol, Mohd Radzi, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (penyandang Naib Presiden).
Penganalisis politik daripada Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan pula berpandangan, Hamzah adalah individu paling layak menggantikan Muhyiddin sekiranya bekas Perdana Menteri itu enggan mempertahankan jawatan Presiden, dalam pemilihan parti akan datang.
Bagaimanapun ujarnya, jika Muhyiddin memilih untuk mempertahankan kerusi Presiden, maka besar kemungkinan Hamzah akan bersaing sengit dengan Ahmad Faizal untuk merebut jawatan Timbalan Presiden Bersatu.
"Saya melihat Ahmad Faizal mungkin bergelut untuk mempertahankan kerusi Timbalan Presiden jika dicabar oleh Hamzah kerana aura dan pengaruhnya tidak sekuat Ahli Parlimen Larut yang kini memegang jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen,” ulasnya.
Sebelum ini, Bersatu menangguhkan proses pemilihan pemimpin parti di peringkat akar umbi dan tertinggi selama 18 bulan mulai November 2022 bagi memberi laluan kepada PRU15 dan pilihan raya negeri (PRN), baru-baru ini.
Dalam pada itu, Azmi juga tidak menolak kemungkinan Rina dan Ketua Armada Bersatu (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tidak akan mempertahankan kerusi masing-masing kerana berhasrat bertanding merebut jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti akan datang.
Tegasnya, jika Rina dan Wan Ahmad Fayhsal masih mahu mempertahankan kerusi Ketua Srikandi Wanita dan Ketua Armada, maka mereka akan dicabar oleh pemimpin lebih muda dan segar.
Klik di sini untuk terus membaca