BANGKOK - Serangan tembakan yang menggemparkan sebuah pusat beli-belah di ibu kota Thailand sekali lagi memaparkan masalah keganasan senjata api yang melanda negara itu.
Ia didakwa berpunca daripada tindakan tidak bertanggungjawab segelintir anggota polis yang tergamak menjual senjata api di pasaran gelap dan budaya belia yang ‘mengagungkan’ pemilikan pistol sebagai simbol kuasa.
Dalam kejadian terbaharu pada Selasa, dua terbunuh manakala lima lagi cedera selepas seorang remaja berusia 14 tahun yang dipercayai mengalami masalah mental bertindak melepaskan tembakan di gedung mewah, Siam Paragon yang turut mendapat perhatian komuniti antarabangsa.
Insiden itu berlaku beberapa hari menjelang ulang tahun pertama memperingati serangan ganas dilancarkan bekas anggota polis bersenjatakan pisau dan pistol, Panya Khamrab yang meragut 36 nyawa termasuk 24 kanak-kanak di sebuah taska di Nong Bua Lamphu, utara Bangkok.
Sejurus tragedi itu, kerajaan Thailand berjanji untuk melaksanakan kawalan senjata api, namun kejadian serangan sama masih berulang dan dilaporkan hampir setiap minggu berikutan tiada tindakan tegas diambil.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Anutin Charnvirakul berikrar untuk menguatkuasakan ‘sekatan lebih ketat’ terhadap lesen pemilikan senjata api.
Tetapi, janji yang dibuat masih gagal menangani masalah itu malah pakar juga skeptikal dengan pelaksanaan tindakan lebih efektif seperti diuar-uarkan kerajaan.
Boonwara Sumano daripada Institut Penyelidikan Pembangunan Thailand mendakwa, norma budaya yang menggalakkan pemilikan senjata api sejak usia muda menyumbang kepada permasalahan tersebut.
"Ia adalah perkara biasa kepada golongan pelajar institut pendidikan vokasional untuk menghasilkan senjata mereka sendiri,” ujarnya.
Siasatan awal polis mendapati penyerang di pusat beli-belah Bangkok tersebut menggunakan pistol penembak kosong yang diubah suai untuk diisi peluru hidup.
"Budaya ‘normal’ masyarakat akhirnya membawa padah kerana mereka menganggap senjata api sebagai simbol kuasa dan kekuatan,” kata Boonwara lagi.
Skim kebajikan senjata api jadi punca Thailand mengawal ketat import senjata api dengan peniaga dihadkan kepada kuota tahunan yang kecil dengan harga yang tinggi.
Di bawah syarat itu, pembeli mestilah berusia 20 tahun ke atas dan menjalani pemeriksaan latar belakang serta menyatakan sebab munasabah mahu memiliki senjata api seperti untuk melindungi diri.
Namun, program kebajikan senjata api dikendalikan kerajaan telah menyaksikan edaran ratusan ribu senjata api ke seluruh negara dan kebanyakannya adalah dari Amerika Syarikat (AS).
Oleh itu, wajarlah Thailand digelar sebagai ‘AS kedua’ kerana ia kini turut berdepan insiden keganasan senjata api yang semakin tidak terkawal.
"Ia jelas berpunca daripada program kebajikan senjata api,” kata penyelidik bebas, Michael Picard.
Di bawah skim itu, kakitangan kerajaan diberikan diskaun untuk membeli senjata api peribadi dan bukannya melalui proses pelesenan awam.
Program itu juga tidak mengenakan sebarang had walaupun terdapat sekatan tentang jumlah senjata api dan peluru yang boleh dimiliki individu persendirian di bawah lesen biasa.
"Perkara ini membawa kepada status quo yang berbahaya kerana ada anggota polis mengambil peluang menjual senjata api tersebut di pasaran gelap untuk meraih keuntungan sendiri,” jelas Picard.
Selepas insiden pembunuhan beramai-ramai di taska pada tahun lalu, polis mengumumkan penggantungan program kontroversi itu.
Tetapi, sumber rapat anggota keselamatan mendedahkan skim tersebut masih berjalan seperti biasa dan pengumuman itu hanya untuk mengaburi mata umum.
Anggota baharu dan berpangkat rendah tidak mampu untuk membeli senjata api kerana harga yang ditawarkan adalah kira-kira 100,000 baht (RM12,727).
Tetapi, melalui program kebajikan itu, ia hanya dijual pada harga 30,000 baht (RM3,818) hingga 40,000 baht (RM5,090).
Sehingga kini, perubahan dijanjikan seperti langkah pemeriksaan kesihatan mental dan mengetatkan syarat untuk pemilikan senjata api masih gagal dilaksanakan.
"Rakyat terpaksa mencari cara untuk melindungi keselamatan mereka walaupun ia mungkin melanggar undang-undang kerana bimbang dengan insiden rampasan kuasa oleh tentera yang berulang kali menggulingkan kerajaan.
"Akhirnya, senjata api yang ‘menang’ dalam situasi ini,” ujar Boonwara. - AFP
Info:
- Menurut laman GunPolicy.org, Thailand mempunyai kadar pemilikan senjata api tertinggi di rantau Asia Tenggara dengan 10 juta senjata api dalam edaran iaitu bersamaan satu untuk setiap tujuh rakyat negara itu.
- Negara itu merekodkan hampir 1,300 kematian akibat keganasan senjata api pada 2019 berbanding 130 dilaporkan di Vietnam yang berpopulasi kira-kira 40 peratus lebih ramai berbanding Thailand.
Klik di sini untuk terus membaca