SHAH ALAM - Sudah tiba masanya kerajaan memperkenal akta baharu yang membolehkan hukuman setimpal dikenakan kepada mereka yang menyeleweng barangan bersubsidi.
Pakar Kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berpandangan, hukuman seperti penjara minimum lima tahun dan sebatan mandatori mengikut jenis kesalahan juga perlu dipertimbangkan supaya bakal penjenayah takut untuk melakukannya.
"Saya pernah menyuarakan agar kerajaan menghapuskan kartel barangan subsidi, jika kartel tidak wujud maka barang-barang ini mudah untuk dapat di pasaran.
"Kalau kerajaan wujudkan satu undang-undang yang memberi hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan mandatori, saya pasti mereka tidak berani untuk sorok barangan.
"Selain membebankan kerajaan, perbuatan mereka juga telah menyusahkan rakyat yang terdesak untuk mendapatkan bekalan barang keperluan,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dilapor mencadangkan kerajaan agar mengkaji hukuman penjara dan sebatan kepada pihak yang menyeleweng subsidi kerajaan terutama kartel-kartel.
Shahul Hamid turut mengakui hukuman berbentuk denda sudah tidak relevan kerana pesalah mampu melunaskan bayaran meskipun mencecah RM100,000.Malah jumlah tersebut tidak menjejaskan keuntungan hasil memanipulasi barangan terlibat, katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kriminologi Pusat Penyelidikan Dasar, Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Datuk Dr P Sundramoorthy berpendapat tindakan memenjarakan pesalah yang tidak terlibat dengan keganasan serius akan menyumbang kepada kesesakan di penjara.
Jelas beliau, kesesakan berlebihan boleh menyebabkan sumber tidak mencukupi selain program pemulihan menjadi terhad.
"Ia juga meningkatkan peluang untuk menjalin rangkaian dengan pelbagai jenis pesalah melalui sosialisasi dan interaksi yang kerap serta tingkah laku jenayah baharu akan dipelajari di penjara.
"Daripada memberi tumpuan kepada hukuman, kerajaan harus mengutamakan pemulihan. Pemenjaraan tidak menangani isu sosial asas yang mungkin menyumbang kepada tingkah laku jenayah.
"Mereka masih perlu dihukum tetapi bukan dengan hukuman penjara. Inilah sebab mengapa garis panduan hukuman amat penting,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca