KEMPEN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai sampai pada kemuncaknya hari ini. Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing melihat peluang kemenangan sama rata untuk mendapat mandat kerusi DUN di... Klik di sini untuk terus membaca

KEMPEN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai sampai pada kemuncaknya hari ini.

Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing melihat peluang kemenangan sama rata untuk mendapat mandat kerusi DUN di kawasan itu.

Walaupun masing-masing lantang menyatakan keyakinan mereka untuk menang, sandaran yang diletakkan mereka masih lagi samar sehinggalah berlangsungnya hari pengundian esok.


Ini kerana jumlah peratusan keluar mengundi Melayu pada PRK DUN Pelangai Sabtu ini bakal menjadi penentu bagi merealisasikan keyakinan dua gabungan parti kerajaan dan pembangkang itu untuk dinobatkan sebagai pemenang.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin meramalkan parti itu akan menang jika 90 peratus pengundi menjalankan tanggungjawab mereka.

Parti itu yakin dengan undi orang muda bawah umur 30 tahun yang berjumlah 7,639 berbanding 16,456 jumlah pengundi DUN Pelangai keseluruhannya.

Naratif yang dibawa PN sejak awal kempen bahawa penempatan Felda kini bukan lagi kubu kuat UMNO juga disebut mampu memberi kesan kepada BN khususnya undi orang Melayu.

Menurut sumber dalaman PN, berdasarkan gerakan memanggil pengundi luar, potensi kemenangan PN agak cerah jika peratusan mengundi tinggi seperti pada pilihan raya umum lalu, namun diakui hanya dengan majoriti tipis.

Katanya, undi anak muda yang tinggal di Lembah Klang dan sokongan orang Melayu Felda akan menyumbang kepada kemenangan calon mereka, Kasim Samat atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Kasim.

Cikgu Kasim menyantuni penduduk khususnya di kawasan Felda DUN Pelangai.

"Kalau menang pun majoriti hanya seribu lebih atau kurang daripada seribu sebab UMNO masih ada pengundi tegar di Pelangai khususnya saluran satu dan dua.

"Tapi untuk saluran tiga dan seterusnya, undi akan memihak kepada PN kerana anak-anak muda yang akan pulang untuk mengundi,” katanya kepada Sinar Harian.

Harapan

Dengan jarak perjalanan kurang tiga jam dari Lembah Klang ke Pelangai, harapan tinggi diletakkan kepada kira-kira 2,000 pengundi luar untuk pulang menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka.Lebih spesifik, wakil rakyat yang akan mewakili ibu bapa dan keluarga yang tinggal di kawasan tersebut.

Walaupun dianggap ia akan menggugat BN untuk mengekalkan kerusi tradisi UMNO itu, namun calonnya, Datuk Amizar Abu Adam optimis tanpa mengharapkan pengundi luar khususnya anak muda untuk tidak pulang mengundi.

Beliau berkata, pengundi luar bertanggungjawab memilih BN sebagai wakil rakyat yang mampu membantu dan berkhidmat untuk ahli keluarga dan orang kampung mereka sesuai dengan tagline BN ‘Tiada janji, lihat bukti’.

"Dalam peperangan, keyakinan kita tetap ada sebab ini kubu kuat BN dan saya rasa tidak gundah gulana.

"Pengundi luar pun kena faham, lepas mengundi, dia balik, tetapi yang tinggal mak ayah dan kawan-kawan dia yang tinggal di sini.

"Kalau kawan-kawan, ibu bapa yang ada masalah, siapa yang ada di sini dan siapa yang akan menanggung dan membantu?” katanya yang turut mengingatkan pengundi muda Felda tidak membuat keputusan ‘syok sendiri’.

Sementara itu, calon PN, Kasim Samat dilihat lebih banyak melakukan pendekatan kempen dalam skala kecil dengan ziarah ke rumah-rumah pengundi.

Dengan tagline ‘Mudoh Bawok Bincang’, kawasan penempatan Felda dilihat menjadi fokus gerakan kempennya, khususnya Felda Chemomoi dan Felda Sungai Kemahal yang mempunyai jumlah pengundi seramai 5,803 pengundi.

Ini kerana kedudukan sokongan PN dikatakan agak selesa bagi satu lagi tanah rancangan, iaitu Felda Kemasul yang mempunyai 2,180 pengundi.

Menerusi perkongsian di Facebooknya, Cikgu Kasim berkata, semangat luar biasa dirasai beliau apabila ke kawasan Felda kerana mood pengundi yang dilabel sebagai kubu kuat UMNO.

Dalam satu siri kempennya di Felda Sungai Kemahal, beliau telah menziarahi hampir 50 buah rumah dengan berjalan kaki dari awal pagi hingga ke lewat petang.

"Entahlah, dulu orang kata Felda ni kubu kuat UMNO, tapi sekarang ni lain. Itu yang buat saya jadi semangat luar biasa. Tak kenal dah apa itu penat,” tulisnya dalam hantaran tersebut.

Namun lebih jelas ketika ini, PN amat bersandarkan pada pecutan akhir atas pentas ceramah grand finale yang menampilkan tokoh politik berpengaruh, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mempengaruhi undi atas pagar khususnya.

Kelebihan

Sebalik keyakinan PN, BN pula mempunyai kelebihan daripada peralihan undi Pakatan Harapan (PH) sebanyak 2,031 undi khususnya daripada pengundi Cina dan India dan hampir 600 pengundi Orang Asli.

Selain itu, pengaruh bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob yang turun padang pada minggu kedua kempen juga menguatkan lagi keyakinan BN mengekalkan kerusi tradisi mereka.

Bagaimanapun, di sebalik persaingan sengit yang ketara antara dua blok gabungan parti BN dan PN, kemunculan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli tidak boleh dipandang ringan walaupun tidak kelihatan sebarang bendera lambang kereta sepanjang kempen PRK Pelangai ini.

Tanpa bendera lambang kereta, Haslihelmy juga tidak begitu aktif untuk memaklumkan pergerakan kempen kepada petugas media dan selesa bergerak sendiri menyantuni pengundi.

Haslihelmy mendakwa berlaku serangan daripada BN dan PH seolah-olah memberi isyarat kedua-dua gabungan itu merasa tergugat.

"Saya bukan gajah, bukan juga kancil, saya hanya insan kerdil biasa yang mahu memberikan pilihan kepada pengundi dan rakyat di Pelangai.

"Adakah tanda awal saya hendak menang sehingga menyebabkan parti besar ini terus menyerang termasuk mengungkit kisah silam saya,” katanya yang melancarkan manifesto meliputi enam teras utama bagi rakyat Pelangai dalam tempoh kurang 48 jam sebelum tamat waktu kempen.

Buat masa ini, tiada calon yang dilihat boleh menang kerana undi 73 peratus orang Melayu khususnya pengundi muda dan warga Felda yang masih sukar dibaca.

Bagi menjawab siapakah calon yang menjadi pilihan rakyat Pelangai esok?

Hanya 16,456 pemilih yang benar-benar mahu merayakan sistem demokrasi akan membuat penentuan.

Klik di sini untuk terus membaca