SHAH ALAM - Keputusan Thailand melaksanakan pengecualian visa selama lima bulan dengan menyasarkan pelancong dari China, berupaya menjejaskan sumber pendapatan dan memperlahankan ekonomi industri pelancongan Malaysia.
Timbalan Presiden Pelancongan Dalaman, Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Nariza Mohd Zabidi berkata, negara bakal kekurangan pelancong China yang gaya hidupnya sinonim dengan membuat keputusan melancong tanpa dirancang.
Menurutnya, pelancong China sering tertumpu kepada negara yang memberikan kemudahan untuk mendapatkan visa.
"Impaknya, Malaysia akan kehilangan sumber pendapatan kerana kurangnya kemasukan pelancong China dan ia secara langsung memperlahankan pemulihan ekonomi industri pelancongan keseluruhannya,” katanya pada Khamis.
Beliau mengulas inisiatif Thailand untuk menarik kira-kira 2.9 juta pelancong dari China yang mampu menyumbang sehingga 140.3 bilion baht (RM18.8 bilion) susulan pelaksanaan pengecualian visa selama lima bulan.
Menurut Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand, sehingga 25 September lalu, negara itu merekodkan jumlah pelancong paling tinggi dari Malaysia iaitu 3.2 juta, diikuti China seramai 2.4 juta orang.
Mengulas lanjut, Nariza berkata, inisiatif itu merupakan perkara yang bijak dan wajar dijadikan contoh kepada sektor pelancongan di negara ini.
"Namun, kami (Bumitra) mencadangkan Malaysia supaya turut mengikut jejak langkah Thailand dengan melaksanakan pengecualian visa dan memberikan tempoh yang lebih panjang seperti enam bulan.
"Sudah pasti pengecualian visa ini perlu dilaksanakan tetapi pada masa sama, tidak mengetepikan keselamatan negara dan mekanisme yang mesra serta selamat mesti diperkenalkan,” ujarnya.
Sementara itu, beliau mencadangkan supaya penerbangan berjadual diperbanyakkan dan insentif sedia ditambah baik untuk memudahkan kemasukan pelancong dari China.
"Perbanyakan penerbangan masuk ke negara ini melalui pintu-pintu masuk yang ada, selain dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” ulasnya.
Klik di sini untuk terus membaca