DUNIA teknologi sinonim dengan istilah inovasi dan perubahan. Perlumbaan dalam dunia teknologi akan dimenangi seseorang, sebuah pertubuhan, negeri atau negara yang sentiasa lebih dahulu memperkenalkan inovasi terkini atau perubahan ketara.
Benar bak kata Steve Jobs betapa inovasi membezakan pemimpin dan pengikut. Albert Einstein pula menegaskan tanda kecerdasan sebenar bukan pengetahuan, tetapi imaginasi.
Sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC), penulis juga sentiasa menegaskan keperluan inovasi, kepantasan berfikir dan bertindak serta peka kepada perubahan. Segala perubahan mesti berpaksi kepada konsep masa nyata (real-time) atau secara information pull and push.
Malangnya, tatkala mahu berlepas untuk menunaikan umrah di Makkah pada pertengahan bulan lalu, penulis berdepan situasi ‘memalukan’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Penulis tidak dibenarkan keluar negara kerana didakwa gagal melunaskan baki hutang cukai pendapatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Walhal penulis telahpun membayar semua tagihan yang dikemukakan LHDN awal tahun ini.
Timbul satu pertanyaan kepada penulis siapakah antara Jabatan Imigresen dan LHDN yang gagal mengemaskinikan status seseorang dalam sistem perjalanan keluar negara?
Sepanjang penerbangan ke Makkah, penulis cuba melayari pelbagai berita dan laporan tentang bilangan individu yang dihalang keluar negara atas sebab gagal melangsaikan cukai pendapatan. Bagaimanapun, melalui pembacaan dan tinjauan literatur, ada beberapa laporan tentang individu terkandas akibat sistem lapuk Jabatan Imigresen.
Misalnya, seorang individu gagal keluar negara kerana pasportnya disenaraikan hilang meskipun telah menggantikan dengan yang baharu. Dalam kes lain, seorang individu disekat oleh Jabatan Imigresen kerana didakwa gagal melangsaikan cukai LHDN, dan beberapa kes lagi yang hampir serupa.
Justeru, bagi mengelak dilabel memiliki ‘sistem ketinggalan zaman’, penulis mencadangkan agar sistem pengurusan kerajaan perlu dikemas kini secara dalam talian dan real-time. Ia juga harus boleh dilayari dengan cekap antara jabatan yang berkaitan khususnya Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Ada beberapa cara untuk mengemas kini sistem bagi mencapai matlamat tersebut. Antaranya ialah membangunkan pangkalan data berpusat yang boleh menyimpan semua maklumat berkaitan dengan pembayaran cukai, larangan perjalanan dan data berkaitan.
Pangkalan data tersebut sentiasa boleh diakses oleh pelbagai agensi kerajaan, kedutaan dan agensi pelancongan secara real-time. Penulis juga mencadangkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) berasaskan teknologi pengendalian secara pemprosesan bahasa asli atau natural language processing (NLP), pembelajaran mesin atau machine learning (ML) dan rangkaian saraf tiruan atau artificial neural networks (ANN) tanpa mengetepikan sistem keselamatan siber terkini. Sistem ini penting untuk mengesan penipuan dan penyelewengan lain dalam sebarang transaksi kerajaan.
Penulis berharap kerajaan Malaysia boleh mempertimbangkan cadangan ini bagi memastikan semua sistem jabatan kerajaan khususnya Jabatan Imigresen yang menjadi pintu keluar masuk, berada pada tahap paling canggih dan terkini.
Teknologi dicipta sebenarnya ialah untuk memudahkan sesuatu perkara atau kebaikan. Misalnya China melakukan inovasi dengan melancarkan ‘bulan tiruan buatan manusia’ untuk menerangkan Chengdu – sebuah bandar purba di Wilayah Sichuan.
Bandar ini pernah dikenali sebagai Chengtu dan dianggap ‘Negara di Syurga’ oleh masyarakat China. Paling menarik, 260 daripada syarikat yang disenarai dalam Fortune 500 terletak di Chengdu.
Kesimpulannya, semua jabatan kerajaan di negara ini mesti peka kepada inovasi dan konsep masa nyata bagi memastikan sistem tidak ketinggalan zaman!
* Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)
Klik di sini untuk terus membaca