BARU-baru ini kecoh sekejap berkenaan bayaran yang peniaga nak kena bayar jika mereka terima urus niaga menggunakan kod QR.
Walaupun kadarnya amat kecil, biasalah tak ada orang nak bayar lebih walaupun itu sebenarnya memudahkan pelanggan membuat pembayaran tanpa perlu bawa wang yang banyak.
Mungkin ramai peniaga sudah lupa cabaran jika menerima pembayaran melalui tunai. Nak kena jaga, kumpul dan dibawa ke bank. Sebelum sampai bank, kena cari parkir, kemudian tunggu giliran sebelum boleh depositkan kutipan ke dalam akaun. Jika dikira kosnya, barulah sedar murahnya kemudahan yang dibangunkan itu.
Sebenarnya banyak bisnes amat bergantung kepada teknologi sama ada teknologi dimiliki sendiri atau menggunakan kemudahan orang lain. Nak buat tawaran secara langsung kepada pelanggan boleh gunakan pelbagai media, sama ada berbayar atau tidak.
Pembayaran boleh diterima dalam talian dan boleh diautomasikan. Nak beli barang dengan orang lain pun sama. Tekan dua tiga butang dalam talian, buat pembayaran dan tunggu barang di muka pintu rumah sahaja.
Malah, banyak model perniagaan baharu yang muncul diupayakan oleh teknologi. Jika dahulu kalau nak jual secara borong, perlu jual kepada pasar raya.
Kini kita ada pelbagai platform yang membolehkan penjual menjual secara langsung kepada pelanggan melalui platform tersebut, cuma kena kreatif untuk menarik perhatian pelanggan termasuk kena menari-nari. Tak apa, asalkan barang laku.
Platform yang berasal dari luar negara itu pun ambil peluang jual barangan dari negara asal mereka dengan harga murah. Walaupun ia bagus bagi pengguna di negara ini, kesannya susah bagi pengeluar di negara kita untuk bersaing menjual barangan sama. Mereka ada skala yang besar, kita tiada.
Mungkin itulah sebabnya ada negara jiran telah mengharamkan sebuah platform terkenal kerana apabila ditolak campur, mungkin negara jiran kita itu nampak kaedah tersebut lebih banyak bahaya daripada manfaat terutama bagi jangka masa panjang.
Saya dimaklumkan ada satu platform yang hanya memulangkan kutipan jualan menerusinya selepas 14 hari. Itu bermakna mereka dapat mendepositkan kutipan tersebut di pasaran wang dan boleh mengutip faedahnya sebelum duit itu dikembalikan kepada penjual.
Nak buat macam mana, nak tubuhkan platform itu pun bukannya murah. Ada banyak kos diperlukan dari segi mendapatkan teknologi, modal insan, menyambungkan rantaian bekalan dan lebih penting, keselamatan siber.
Ramai peniaga yang mungkin mengabaikan bab keselamatan siber. Ini kerana penjenayah siber, kita tak nampak bila mereka menceroboh ke kedai kita. Mereka masuk senyap-senyap. Mungkin mereka tak curi duit kita tetapi mencuri pelbagai data yang ada kerana itu lebih bernilai bagi penjenayah siber.
Namun, bagi perniagaan besar, keselamatan siber dah jadi lebih mahal kosnya berbanding keselamatan fizikal. Malah, ada perniagaan sudah ada ketua pegawai keselamatan siber. Ia adalah ‘pak guard’ bagi melindungi perniagaan daripada dicerobohi secara siber. Mahal gaji ‘pak guard’ ni.
Bisnes akan terus bergantung kepada teknologi kerana ia bukan sahaja menyenangkan tetapi membolehkan bisnes membesarkan lagi pasaran dengan kos lebih rendah.
Bagaimanapun, jangan abaikan bab risiko-risiko baharu yang datang bersekali dengan peluang dan kemudahan itu. Jangan bila kita dah terduduk, baru sibuk nak cari tok bomoh siber. Takut nasi dah jadi bubur ketika itu.
*Datuk Nik Mohd Hasyudden Yusoff ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji
Klik di sini untuk terus membaca