JAKARTA - Indonesia sekali lagi menafikan jerebu berbahaya akibat pembakaran hutan di beberapa wilayah di negara itu telah tersebar hingga ke Malaysia.
Menteri Alam Sekitar Indonesia, Siti Nurbaya Bakar berkata, tiada jerebu dari negaranya dikesan menuju ke Malaysia.
Katanya, kebakaran hutan semakin berkurangan di pulau Sumatera dan Kalimantan.
"Kami sudah berusaha mencegah dan memadamkan api, tetapi ia bukan permintaan daripada Malaysia.
"Saya tidak tahu asas apa digunakan Malaysia mengeluarkan kenyataan bahawa jerebu datang dari Indonesia," katanya dipetik Reuters.
Tambahnya, Indonesia menggunakan helikopter untuk memadamkan kebakaran selain melakukan kaedah pembenihan awan.
Komen itu dibuat selepas rakan sejawatannya dari Malaysia, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, beliau menulis sepucuk surat yang meminta Indonesia menangani jerebu tersebut.
Isnin lalu, Siti Nurbaya menerusi satu kenyataan rasmi berkata aduan Malaysia mengenai kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia telah menyebabkan jerebu di Malaysia adalah tidak tepat.
Pada masa sama, ujarnya, kerajaan Indonesia sedang meneruskan usaha untuk memadamkan kebakaran di negara itu selain memberi amaran kepada 203 syarikat dengan 20 syarikat telah ditutup kerana penglibatan mereka dalam kebakaran, termasuk anak syarikat dari Malaysia.
Dalam pada itu, Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) pada Jumaat mengesan 121 titik panas di Kalimantan, 67 di Sumatera, Indonesia berbanding satu saja di Sabah dan Sarawak setakat Khamis (5 Oktober), menyebabkan berlaku jerebu rentas sempadan di Sarawak.
Menurut portal ASMC, sepanjang bulan Oktober, sebanyak 961 titik panas dikesan di Kalimantan, 289 di Sumatera, 13 di Sabah dan Sarawak dan satu titik panas di Semenanjung Malaysia.
"Keadaan jerebu serantau terkini adalah cuaca kering berterusan di sebahagian besar wilayah selatan ASEAN semalaman, kecuali bahagian utara Sumatera dan utara Borneo.
"Titik panas kecil dikesan di selatan Sumatera manakala titik panas berkelompok dikesan di selatan Kalimantan," katanya.
ASMC juga meramalkan beberapa hari akan datang, peningkatan taburan hujan di wilayah berhampiran garisan Khatulistiwa, sementara cuaca kering dijangka berterusan di selatan dan tengah Sumatera, dan selatan Kalimantan.
"Titik panas yang tinggi dan jerebu asap sederhana hingga tebal berkemungkinan berterusan di kawasan yang terdedah kepada kebakaran di kawasan ini. Risiko jerebu merentas sempadan kekal, dengan angin di selatan ASEAN diramalkan bertiup terutamanya dari tenggara ke selatan dan kadang-kadang dari barat daya," katanya.
Isu jerebu rentas sempadan telah berlarutan selama beberapa tahun malah beberapa pihak baru-baru ini termasuk bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membangkitkan tentang perlunya kerajaan mengenakan tindakan saman terhadap Indonesia.
Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil selaras dengan dasar undang-undang antarabangsa di mana melarang segala aktiviti yang memudaratkan negara lain.
Sementara itu, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) melaporkan setakat jam 3.30 petang Jumaat, Nilai, Negeri Sembilan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu 139 manakala 57 stesen lain di seluruh negara merekodkan IPU tahap sederhana.
Klik di sini untuk terus membaca