TOKYO - Fasa kedua pembuangan sisa air terawat radioaktif dari loji nuklear Fukushima Daiichi di Jepun bermula pada Khamis di bawah proses yang dijangka mengambil masa selama beberapa dekad dan turut menerima kritikan negara jiran mereka terutamanya China.
Langkah itu dilakukan beberapa minggu selepas fasa pertama dilancarkan pada 24 Ogos dan berakhir pada 11 September lalu, kira-kira 12 tahun selepas bencana berganda melumpuhkan sebahagian daripada reaktor di kemudahan tersebut.
Pengendali kompleks itu, Tokyo Electric Power Company (TEPCO) mengesahkan kira-kira 7,800 tan sisa air terawat radioaktif daripada 10 tangki telah dilepaskan ke Lautan Pasifik sepanjang tempoh tersebut.
Ia merancang untuk membuang kira-kira 7,800 tan lagi di bawah fasa seterusnya yang dijangka mengambil masa selama 17 hari.
Sehingga kini, Jepun berusaha meyakinkan orang ramai dengan memberi jaminan sisa air terawat itu tidak memberi impak kepada kesihatan seperti dikhuatiri banyak pihak malah laporan mereka turut disokong Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
TEPCO menegaskan sisa air tersebut telah ditapis daripada segala unsur radioaktif tritium yang disahkan selamat mengikut standard antarabangsa.
Jurucakap kerajaan, Hirokazu Matsuno memaklumkan mereka akan terus berkomunikasi di peringkat domestik dan antarabangsa berhubung laporan pemantauan data dengan telus.
TEPCO dan Tokyo memaklumkan langkah pembuangan sisa air itu tidak dapat dielakkan kerana tangki simpanan akan mencapai kapasiti penuh pada awal 2024 selain ruang di kemudahan tersebut yang perlu melalui proses penyahtauliahan yang dijangka mengambil masa beberapa dekad.
Segelintir saintis bagaimanapun masih skeptikal dengan langkah tersebut dan menyatakan pembuang sisa air terawat radioaktif pada tahap rendah tidak pernah dilakukan sebelum ini dan ia perlu dipantau dengan teliti dari masa ke masa.
Ketika ini, Jepun turut menubuhkan dana bantuan untuk membantu industri perikanan mendapatkan pasaran baharu bagi mengurangkan impak larangan import produk makanan laut dikenakan China.
Ia juga melakukan pelbagai langkah untuk mengelakkan sumber pendapatan golongan itu terjejas termasuk pembelian sementara dan pembekuan serta penyimpanan produk makanan laut.
Data Kementerian Kewangan menunjukkan eksport produk makanan laut dari Tokyo ke Beijing dilaporkan menjunam 41.2 peratus pada Ogos kepada 14 bilion yen (RM444 juta).
China mendakwa Jepun menggunakan laut sebagai 'saluran pembetungan' tanpa menghiraukan kesannya kepada ekosistem.
Ketika fasa pertama, sampel air yang diambil TEPCO menunjukkan tahap radioaktiviti berada pada tahap selamat dengan kepekatan tritium di bawah 1,500 Bq/L.
Bagi peringkat seterusnya, ia memberi jaminan proses itu akan dilakukan mengikut prosedur ditetapkan dengan memastikan tiada pelepasan 'sisa air berbahaya' ke laut.