DALAM banyak-banyak orang yang berkempen di Pelangai, Awang tertarik dengan kenyataan Tan Sri Adnan Yaakob. Dia nafi tohmahan PN bahawa UMNO dan BN tak bawa pembangunan ke Pelangai selama ini.
Kata beliau; "Takkan nak kita bawa Bank Negara, KLCC, KLIA semua ke Pelangai baru nak kata membangun, ada kemajuan”.
Geli hati Awang. Betul sangat kata Long Nan (nama manja diberikan oleh rakyat Pahang padanya) dalam konteks itu. Tak ada siapa boleh nafi sumbangan UMNO dan BN selama ini.
Long Nan bukan sembarangan orang. Beliau Menteri Besar Pahang paling lama dalam sejarah, kalau tak silap Awang berkhidmat selama 19 tahun.
Long Nan ni pun jenis orang berani, cakap pun lepas, tapi rakyat suka dia. Dari awal lagi dia dah tegur nasib UMNO kalau pemimpin tak jaga diri. Selepas UMNO dan BN kalah teruk pada tahun 2018, beliau pernah kata; "UMNO pun dah nak bungkus dah, bungkus lipat”.
Tapi Awang percaya dia masih sayangkan UMNO. Oleh sebab itu, dia turun berkempen di Pelangai.
Mungkin dengan kehadirannya, memberi semangat pada pasukan BN dan PH yang berkempen kuat untuk calon mereka Datuk Amizar di situ.
Hari ini adalah hari penentuan di DUN Pelangai.
SUBSIDI TETAP SUBSIDI
TIDAKLAH Awang terperanjat dengan kenyataan Tuk Seri PM10 bahawa subsidi negara akan cecah RM81 bilion tahun ini.
Ini termasuklah subsidi beras, elektrik, minyak masak, minyak petrol, ayam, telur, dan macam-macam lagi.
Betul sangatlah kata PM10, tak ada kerajaan di dunia yang boleh bertahan dengan subsidi sebanyak itu setiap tahun. Subsidi ayam dan telur sahaja dah RM3.8 bilion di negara ini.
Tapi kerajaan Malaysia tidak akan mengurangkan subsidi melainkan setelah melihat kesan dan keperluannya pada rakyat.
Kata PM10 lagi, itulah puncanya rasionalisasi subsidi perlu dibuat. Tak semua pihak patut terima subsidi. Subsidi bersasar perlu.
Apakan daya, kita terpaksa pertahan subsidi apa cara sekalipun. Indonesia pula dah hapuskan banyak subsidi ekoran desakan Bank Dunia pada era akhir Presiden Suharto. Pada masa itu rakyat protes dan akibatnya kerajaan Suharto tumbang.
Hari ini minyak petrol, minyak masak dan beras di Indonesia lebih tinggi dari kita. Harga beras di Indonesia kedua tertinggi di ASEAN selepas Brunei.
Bagi rakyat Indonesia, nikmat subsidi amat terbatas. Sekarang rakyat Indonesia sudah terbiasa hidup tanpa subsidi.
Klik di sini untuk terus membaca