SHAH ALAM - Pakar pertanian mencadangkan dua penyelesaian menang-menang bagi memastikan semua pihak bermula daripada petani hingga pengguna tidak terbeban susulan krisis padi dan beras negara ketika ini. Pensyarah Kanan Jabatan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakar pertanian mencadangkan dua penyelesaian menang-menang bagi memastikan semua pihak bermula daripada petani hingga pengguna tidak terbeban susulan krisis padi dan beras negara ketika ini.

Pensyarah Kanan Jabatan Perniagaantani dan Ekonomi Biosumber, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia, Dr Ahmad Hanis Izani Abdul Hadi berkata, dua penyelesaian itu ialah dengan mengapungkan harga beras mengikut pasaran dan memberikan subsidi bersasar kepada golongan B40.

Katanya, penyelesaian jangka panjang itu perlu dibuat bagi memastikan beban ditanggung rakyat ditangani dan bekalan beras tempatan juga mencukupi.

"Pada pandangan saya, kerajaan sepatutnya apungkan harga (beras tempatan) mengikut harga pasaran daripada tetapkan RM2.60 sekilogram. Cuma benda ini kita perlu perhalusi yang mana kita tahu (kalau ikut kaedah ini) harga beras akan naik.

"Kalau untuk golongan T20, M40 dan ke atas itu sepatutnya tidak menjadi beban sangat sebab kalau kita tengok penggunaan beras berkapita kumpulan tersebut tidak tinggi. Anggaran kasar perbelanjaan untuk beli beras antara RM50-RM60 bagi satu keluarga sebulan.

"Bagi golongan B40 pula kerajaan berikan subsidi bersasar (untuk beli beras). Kaedah ini tidak membebankan golongan kurang berkemampuan dan dalam masa sama petani akan dapat menjual padi dengan harga yang lebih tinggi," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, ditanya mengenai kemungkinan terdapat kumpulan petani khususnya yang mengusahakan sawah secara kecil-kecilan bertindak untuk tidak mengusahakan tanah pertanian mereka disebabkan margin keuntungan yang kecil, Ahmad Hanis Izani tidak menolak kemungkinan tersebut.

"Kita berbalik kepada kepuasan petani. Apabila mereka buat pelaburan ia perlulah berbaloi dengan tenaga dan keuntungan yang dapat. Melihat kepada harga input seperti baja dan racun yang semakin meningkat ini, saya bimbang ramai yang tidak berminat untuk mengusahakan tanaman padi lagi selepas ini.

"Jika keadaan ini berlaku ia pasti mengakibatkan pengeluaran padi negara akan terjejas. Jadi sebab itulah perlu penyelesaian segera terhadap isu ini,"katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Pengajian Sains Pertanian dan Bioteknologi, Fakulti Biosumber dan Industri Makanan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Mohd Fahmi Abu Bakar berkata, kaedah terbaik untuk menangani krisis tersebut adalah dengan menghasilkan lebih banyak padi di negara ini.

Jelasnya, untuk mendapatkan hasil yang banyak itu, kerajaan atau agensi terlibat disyorkan supaya mewujudkan konsortium supaya dapat meringankan beban kos pengeluaran khususnya membababitkan petani kecil.

"Dengan adanya konsortium untuk pesawah melibatkan antara 10 atau lebih petani itu ia dapat mengurangkan beban kos kerana kos seperti sewaan mesin dan sebagainya ditanggung oleh konsortium.

"Pada saya inilah perkara yang perlu dilihat secara teliti kerana ia bukan sahaja dapat menghasilkan padi yang lebih banyak tetapi dalam masa sama juga membantu petani," ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca