SHAH ALAM - Kerajaan tidak perlu membuat akta baharu, sebaliknya hanya melakukan pindaan pada Seksyen 22, Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 jika ingin melaksanakan hukuman lebih berat seperti penjara dan sebatan kepada pengkhianat subsidi.
Pakar perlembagaan yang juga Felo Penyelidik Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, buat masa ini, hukuman penjara hanya dikenakan kepada pesalah individu dan tiada peruntukan sebat.
"Hukuman bagi kesalahan yang melibatkan kartel beras dan padi ini tertakluk kepada Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 atau Akta 522. Kalau kesalahan itu dibuat oleh individu, hukumannya adalah penjara dua tahun dan denda tidak lebih RM15,000.
"Bagi kesalahan kedua, penjara boleh dikenakan sehingga empat tahun dan denda tidak melebihi RM25,000. Sementara jika kesalahan itu dibuat oleh syarikat, denda yang dikenakan adalah sebanyak RM25,000 manakala bagi kesalahan kedua, denda sebanyak RM50,000,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang mahu kerajaan mengkaji semula hukuman lebih berat seperti penjara dan sebatan kepada pengkhianat subsidi yang diberikan kepada rakyat dengan cara memanipulasi bekalan beras dalam negara.
Menurutnya, hukuman itu bukan semata-mata untuk menghukum namun lebih utama adalah memberi pengajaran khususnya kepada kartel-kartel makanan ruji itu agar tidak mengambil kesempatan dalam situasi rakyat sedang tertekan dengan ketiadaan bekalan beras tempatan.
Tambah Muhammad Fathi, kebiasaannya kesalahan itu dibuat oleh syarikat kerana bertindak sebagai pihak yang terlibat dengan pengilangan dan pengedaran beras.
Justeru, hukuman yang dikenakan berdasarkan Seksyen 22 (2) iaitu denda sebanyak RM25,000 sahaja adalah satu kadar yang rendah.
"Dicadangkan agar kadar denda itu ditingkatkan kepada jumlah besar sehingga boleh mencapai RM250,000. Pihak yang mengambil kesempatan daripada proses atau pengedaran beras dalam negara ini, kadangkala mengaut keuntungan lebih besar daripada denda yang dikenakan.
"Sepatutnya, kadar denda yang dikenakan itu perlu lebih tinggi daripada keuntungan mereka supaya ia dapat menimbulkan kegerunan dan mengelakkan pihak lain daripada melakukan kesalahan sama.
"Kerajaan juga dicadang mewujudkan satu klausa yang mengenakan liabiliti atau tanggungjawab kepada pihak menguruskan syarikat atau bertanggungjawab membuat keputusan bagi sesebuah syarikat, bagi dikenakan hukuman penjara,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca